KUALA LUMPUR: Pergolakan politik yang melanda negara ketika ini membuatkan rakyat sudah jemu dan menganggap fokus utama kerajaan ketika ini tidak lebih hanya kepada kepentingan parti semata-mata.
Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan bahawa tidak perlu lagi diadakan rundingan untuk menyelesaikan permasalahan dalam politik negara kerana kedua-dua blok mempunyai kekuatan yang hampir sama.
Hal ini berikutan semalam, sidang pengarang Berita Harian, New Straits Times (NST) dan Harian Metro telah menggesa agar kekalutan politik yang melanda di negara ini dihentikan segera.
Justeru, ketiga-tiga media ini turut menyatakan juga komponen Kerajaan Perpaduan serta pembangkang perlu duduk semeja mencari kata sepakat dan memeterai memorandum persefahaman berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun begitu, Dr. Mohammad Tawfik turut memberitahu bahawa Malaysia perlu membuat sistem penggiliran parti untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan.
Beliau mencadangkan, dua tahun setengah di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN); dua tahun setengah lagi diberikan pula peluang kepada parti Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir negara.
Tambah beliau, rundingan yang diadakan tidak mengikat dari segi perundangan tetapi mengikat dari segi moral sahaja.
“Seterusnya, ahli parlimen Sabah dan Sarawak perlu membuat sebuah gabungan parti yang mewakili Borneo dan seterusnya menjadi King Maker iaitu siapa yang akan menjadi kerajaan.
“Namun begitu, dengan syarat wakil Borneo perlu menjadi Perdana Menteri buat kali pertama dalam sejarah politik negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2023