Tukar saja `keterjaminan’ kepada `tak terjamin’

KUALA LUMPUR: Kenaikan mendadak harga beras menyebabkan Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mencadangkan nama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan diubah kepada Kementerian Pertanian dan Tak Terjamin Makanan.

Selain itu, beliau mempersoalkan langkah intervensi kerajaan bagi menghadapi kenaikan harga itu.

Advertisement

“Tadi ada menteri (Datuk Seri Mohamad Sabu) mengatakan bahawa beras mencukupi. Cuma persoalan sekarang, di kalangan rakyat di bawah ialah harganya yang melambung tinggi.

Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Mohamad pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau ingin tahu langkah kementerian untuk mengatasi masalah kenaikan harga yang mendadak.

Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan ada mengambil tindakan intervensi menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) seperti yang dilakukan ketika isu bekalan ayam sebelum ini. – HARAKAHDAILY 18/9/2023