Angka kematian gempa bumi Maghribi cecah lebih 2,800

Operasi menyelamat mangsa gempa bumi yang tertimbus di bawah runtuhan konkrit di Maghribi diteruskan ketika bilangan yang terkorban menghampiri angka 3,000. (FOTO: Morocco World News)
- Advertisement -

MARRAKESH: Angka kematian akibat gempa bumi di Maghribi kini telah melebihi 2,800 ketika usaha menyelamat berterusan dilakukan bagi menyelamatkan mangsa yang tertimbus dalam bangunan yang ranap.

Kementerian Dalam Negeri Maghribi dalam kenyataannya berkata, sehingga Isnin (11 Sept), angkta korban mencecah 2,862, manakala 2,562 yang lain mengalami kecederaan dan kira-kira 300,000 penduduk terjejas akibat gempa bumi 6.8 magnitud yang melanda negara itu pada Jumaat (8 Sept) lalu.

- Advertisement -

Sementara beratus-ratus orang berbaris selama berjam-jam di luar tabung darah di bandar Marrakech tengah Maghribi pada Isnin, malah ada yang pengsan akibat panas, tetapi semua mereka bertekad melakukan apa sahaja untuk negara mereka, lapor CBS News.

Rakaman video berterusan muncul pada hujung minggu yang merakamkan tahap kemusnahan dan detik-detik kegilaan sejurus selepas gempa bumi melanda negara Afrika Utara itu.

Usaha giat dilakukam untuk mencari mangsa yang terselamat masih dijalankan, sementara yang lain berpaling untuk meratapi orang tersayang.

“Kami sedang makan malam,” cerita seorang mangsa, Hamid Ben Henna. 

“Saya meminta anak saya membawa pisau dari dapur untuk memotong pencuci mulut, tetapi dia tidak sempat melakukannya kerana sebaik keluar dari dapur, gempa bumi melanda. Dia tertimbus dalam runtuhan setinggu enam kaki,” ujarnya sebak.

Pekerja kecemasan mengeluarkan mayat dari runtuhan konkrit di Amizmiz, Maghribi pada 10 Sept, 2023. (FOTO: REUTERS)

Kemusnahan yang paling teruk adalah di Pergunungan Atlas Tinggi yang sebelum mempunyai panorama yang sangat  indah, lokasi di mana jalan tanah ke puncaknya dilitupi salji. 

Kebanyakan laluan itu telah disekat oleh gelongsor batu, menjadikannya mustahil untuk mencapai mangsa  yang masih terperangkap di bawah runtuhan kediaman mereka; dan ada yang masih boleh diselamatkan, tetapi banyak lagi yang perlu dicari dan dikebumikan.

“Kami tidak dapat membayangkan sesuatu seperti ini berlaku di sini, ia benar-benar telah memusnahkan segalanya,” kongsi Helen Gallagher yang berhijrah untuk menjadikan Maghribi sebagai rumahnya. 

“Kami hanya dalam mod survival dan cuba mendapatkan bantuan kepada orang yang paling memerlukannya, dan kami akan memprosesnya selepas itu,” tambahnya.

Pekerja penyelamat mengusung mangsa gempa bumi yang tercedera di Talat N’yaaqaub, Maghribi pada 11 Sept 2023. (FOTO: REUTERS)

Di bandar-bandar seperti Marrakesh, dengan Casbah yang terkenal, bangunan zaman pertengahan yang telah berdiri selama 1,000 tahun telah rosak teruk; dan keperluan untuk bantuan adalah sangat besar dan mendesak pada ketika ini.

Sementara Reliefweb.int melaporkan, walaupun Maghribi belum meminta bantuan kemanusiaan buat masa ini, pasukan mencari dan menyelamat bandar dari Qatar, Sepanyol, dan Britain telah tiba untuk membantu dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.

Ketika keperluan bantuan dinilai, Direct Relief sedang berkomunikasi dengan beberapa rangkaian di Maghribi, termasuk Kementerian Kesihatan Awam, Pusat Hospital Universiti Mohammed VI, Hospital Universiti Rabat, Yayasan Lalli Salma (Yayasan Bekas Wanita Pertama Maghribi), Pejabat Desa Eli Lilly, dan pakar perubatan Program Penyakit Nadir dalam negara.

Selain itu, Direct Relief juga berkomunikasi dengan organisasi antarabangsa yang bersedia untuk bertindak balas, termasuk Persatuan Perubatan Penjagaan Kritikal (SCCM telah menghubungi 30 ahlinya di Maghribi), jawatankuasa bencana Persekutuan Diabetes Antarabangsa, MedGlobal, dan Bahagian Kesihatan Awam dan Kecemasan IOM yang merupakan agensi PBB.

Memandangkan akses yang tepat pada masanya kepada dialisis adalah penting untuk mangsa remuk gempa bumi, Direct Relief juga berhubung dengan Persatuan Nefrologi Antarabangsa. – HARAKAHDAILY 12/9/2023

- Advertisement -