KUALA TERENGGANU: Ketika berada di saf pembangkang pemimpin Pakatan Harapan (PH) sering memperjuangkan kebebasan bersuara, namun selepas mendapat kuasa keadaan sebaliknya pula berlaku.
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pada Jun lepas terdapat laman portal berita disekat selama 48 jam tanpa penjelasan dibuat menteri bertanggungjawab.
Kemudian pada Julai sebuah portal berita TV turut disekat dan terbaru, portal berita TV berkaitan politik turut disekat.
“Keadaan yang berlaku itu menggambarkan kerajaan PH-BN mengekang kebebasan bersuara. Ia memberi imej buruk kepada kerajaan yang dilihat cakap tak serupa bikin,” katanya ketika dihubungi.
Pada 7 Ogos lepas Portal berita UtusanTV disekat akses di laman TikTok. Laman itu mempunyai 2.9 juta.
Sebelum itu portal berita MalaysiaNow, Malaysia Today serta laman blog bekas ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong turut disekat.
Shahir juga berkata, kerajaan tidak perlu mewujudkan undang-undang baharu berkaitan 3R (agama, raja, kaum) kerana peraturan yang sedia ada sudah mencukupi.
“Perbincangan orang Melayu untuk menyelesaikan masalah mereka seharusnya tidak disekat. Kenapa boleh bercakap tentang masalah pelbagai kaum, tetapi sensitif bercakap masalah yang dihadapi kaum tertentu.
“Kerajaan perlu terbuka untuk orang Melayu bercakap tentang masalah orang Melayu, orang India bercakap tentang isu kaum India, dan orang Cina bercakap tentang isu orang Cina.
“Ruang seluas-luasnya perlu diberikan untuk memupuk sikap toleransi antara kaum,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia sebuah negara yang berpegang kepada demokrasi, kebebasan bersuara dinyatakan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Kata beliau fasal itu menyatakan kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan merupakan kebebasan asasi yang diberi kepada setiap warga negara. – HARAKAHDAILY 12/9/2023