Isu sekolah agama Selangor: NGO tuntut Melayu-Islam waspada

Kamarulzaman dan Nazilah dalam sidang media NGO Islam-Melayu Seru Tubuh Kerajaan Ummah Tanpa DAP di Negeri Sembilan dan Selangor di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada hari ini, 14 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

BANGI: Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam Selangor dan Negeri Sembilan menyuarakan rasa bimbang terhadap isu amaran penutupan sekolah agama di negeri Selangor yang dibuat oleh pimpinan bukan Islam.

Pengerusi Sekretariat NGO ISLAM Selangor, Datuk Nazilah Idris berkata, kira-kira 200 sekolah agama di Selangor didakwa mendapat surat amaran untuk keluar dari premis perniagaan.

- Advertisement -

“Apa yang berlaku hari ini di selangor, 200 lebih sekolah agama rakyat dinafikan apabila mereka diberikan surat amaran untuk keluar daripada premis perniagaan.

“Ini kerana kita membenarkan menteri DAP dari Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Ini sangat membahayakan agama dan bangsa Islam jika kita tidak bertindak sekarang,” katanya.

Nazilah turut menekankan perkara ini bukan isu remeh, malah ia melibatkan pendidikan orang Islam di negara ini.

“Kita tidak boleh leka dengan perkara-perkara ini. (Seramai) 40,000 pelajar Islam di Selangor dinafikan (haknya) apabila sekolah mereka ini perlu ditutup dan dipindah. 

“Malah mereka kena saman (walaupun) mereka tidak menyusahkan sesiapa,” katanya dalam sidang media badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam-Melayu Seru Tubuh Kerajaan Ummah Tanpa DAP di Negeri Sembilan dan Selangor di Hotel Tenera, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Pertubuhan PERKASA Malaysia, Syed Hassan Syed Ali; Naib Pengerusi Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) Wan Hairul Anuar; Pengerusi Ummah Mohd Zai Mustafa; dan Pengerusi NGO Ummah Negeri Sembilan, Rosmin Adam.

Sementara itu, Dr. Kamarulzaman turut berkongsi pandangan yang sama, yang mana kuasa orang bukan Islam dan Melayu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap isu ini.

“Kalau ikutkan akhir Disember ini, jika tidak mengikut syarat JAIS yang baru, PBT (Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor) yang kita pun tahu dikuasai oleh siapa, cuba menyekat dan mengeluarkan satu Garis Panduan & Operasi Standard (SOP) yang baru sehingga diarahkan tutup kalau tidak memenuhi SOP tersebut. Ini menyebabkan warga sekolah agama dan 40,000 pelajar (terkesan),” katanya.

Oleh yang demikian, Nazilah pula menggesa agar semua pemimpin parti politik tanpa mengira pandangan politik untuk mengutamakan kepentingan pendidikan berbanding kepentingan diri.

“Demi pendidikan rakyat, saya nak seru kepada semua pemimpin parti politik, ketepikan bab agama dan kaum ini ketepikan kerana pelajar ini lebih penting. Jadi jangan jadikan kepentingan diri sendiri sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.”

“Kesemua pemimpin ataupun parti politik Melayu Islam di Selangor perlu bersatu. Politik Melayu-Islam perlu kuat dan bersatu untuk memastikan agenda agama Islam dan bangsa Melayu dan tanah air kita terus terbela dan dijaga dengan baik,” katanya. HARAKAHDAILY 14/8/2023

- Advertisement -