MB Pahang didesak buktikan tuduhan fitnah

- Advertisement -

KUALA KRAU: Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail didesak mengemukakan bukti di atas pembohongan kenyataan beliau yang berunsur tuduhan fitnah terhadap ADUN-ADUN PAS negeri ini.

ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim al-Hafiz bahkan menjawab setiap tuduhan dilemparkan Wan Rosdy yang turut telah melabelkan pimpinan PAS sebagai tikam belakang dan khianat.

Jelas beliau, tuduhan kononnya ADUN-ADUN PAS menggunakan pemberian peruntukan RM20,000 sebulan bagi bantuan projek kecil kepada tujuan lain daripada itu adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, tuduhan Wan Rosdy bahawa peruntukan itu digunakan di Melaka dan Johor yang dipercayai merujuk kepada PRN di kedua-dua negeri itu dengan maksud menyeleweng, sama sekali tidak berlaku.

“Peruntukan RM20,000 setiap bulan itu bukan diberikan secara terus kepada YB-YB PAS, tetapi secara claim (tuntutan). YB kena kemukakan resit pembuktian bahawa duit itu diberi dan dibelanjakan kepada siapa.

“Resit itu mesti diserahkan kepada Pegawai Kewangan Negeri baru kerajaan negeri ganti balik RM20,000 yang diberikan itu,” terangnya turut memaklumkan peruntukan itu juga tidak boleh digunakan di DUN lain dalam Pahang.

Tambah beliau, semua tuntutan tersebut berlaku dengan serahan pembuktian yakni resit yang mempunyai butiran pihak penerima dan jumlah diberikan bagi tujuan tersebut.

“Paling menyedihkan lagi dan fitnah terbesar yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy, PRN Johor pada 12 Mac 2022, sedangkan bantuan khas kerajaan negeri RM20,000 itu telah diberhentikan bermula Januari 2022. 

“PRN bulan Mac (2022). Pemberhentian dia stop peruntukan pada Januari 2022,” ujar Ustaz Shahril menyangkal dan menyanggah tuduhan tidak logik dikemukakan oleh Wan Rosdy. 

Berhubung dakwaan Wan Rosdy bahawa pada sumbangan diberi turut diletakkan bersama gambar ADUN berkenaan, jelasnya ia kerana ketika itu kedua pihak berada dalam Muafakat Nasional.

“Masa itu kita Muafakat Nasional. Kita bukan buang gambar Menteri Besar itu, kita letak bersebelahan gambar kita dengan gambar Menteri Besar. Kita bukan khianat, bukan buang gambar Menteri Besar.

“Tetapi kerana atas dasar Muafakat Nasional, maka kita letak kebersamaan lagipun DUN kita. DUN kita, kita letak gambar kita bersama dengan Menteri Besar dalam memberikan peruntukan duit-duit rakyat.

“Jadi MN, Muafakat Nasional nakkan kebersamaan pada ketika itu? Tak ada unsur khianat pun di situ. Maknanya MB sudah menganggap kita khianat sedangkan kita Muafakat Nasional pada waktu itu kerja bersama untuk membantu rakyat.

“Inilah Umno Barisan Nasional, masa dia patah kaki nyawa nak habis dulu kita bantu dia, kita hidupkan, kita sanggup bersama dia. Bila dia kuat, dia tikam kita belakang kita pula. Jadi saya harap MB berhati-hati dalam menyatakan kenyataan. 

“Kita pun nak kena rujuk kepada peguam boleh saman ke atau tidak. Sebab kita tengok dalam media sosial ucapan MB itu telah delete, di TikTok dan di page Facebook mereka.

“Semoga penjelasan ini dapat memberikan pencerahan yang sebenar kepada rakyat, pastikan PRN di enam negeri ini, kita tumbangkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, Umno dan DAP,” serunya. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -