Usul untuk muktamadkan isu kalimah Allah ditolak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail, mengemukakan usul persendirian untuk meminda Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) bagi memuktamadkan tafsiran dan penggunaan kalimah Allah di negara ini.

- Advertisement -

Usul untuk membawa pindaan Rang Undang-Undang Tafsiran (RUU 388) ke Dewan Rakyat itu dikemukakan Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) itu pada 25 Mei lalu.

Antara lain, usul itu mencadangkan supaya kalimah Allah dimasukkan dalam akta itu dan tafsirannya bersandarkan kepada Surah Al-Ikhlas.

Tuan Guru Zulkifli berkata, usul itu mencadangkan supaya Seksyen 66 Akta 388 dipinda dengan memasukkan makna, terjemahan dan tafsiran kalimah Allah yang selaras dengan Surah Al-Ikhlas.

Berdasarkan surah itu, katanya kalimah Allah perlu ditafsirkan sebagai Tuhan yang esa, tempat meminta segala sesuatu, tidak mempunyai anak dan tidak pula diperanakkan, serta tidak ada sesuatu yang setara dengan-Nya.

“Sebarang makna dan terjemahan tafsiran yang selain daripada ini adalah batal dan tidak sah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu selepas memaklumkan usul itu dalam Dewan Rakyat, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau memaklumkan usul persendirian itu ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Saya dimaklumkan usul ini telah ditolak dan kalau tidak puas hati boleh buat usul di bawah Peraturan Mesyuarat 43,” katanya.

Tuan Guru Zulkifli ketika menyatakan usul berhubung kalimah Allah

Sementara itu, mengulas sama ada cadangan pindaan Akta 388 itu akan menghalang golongan bukan Islam di negara ini menggunakan kalimah Allah, Ahli Parlimen Jasin memaklumkan RUU 388 itu memperincikan makna, terjemahan, tafsiran dan penggunaan kalimah Allah dalam mana-mana penerbitan.

Katanya, pindaan ini membolehkan menteri berkenaan menggunakan Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) untuk mengeluarkan perintah melarang apa-apa penerbitan yang mengguna pakai kalimah Allah, yang boleh membawa makna, terjemahan dan tafsiran yang berbeza dengan tafsiran dalam RUU ini.

Berikutan penolakan usul persendirian itu, Tuan Guru Zulkifli memohon perkenan Sultan Selangor untuk menerima Ahli Parlimen PN mengadap baginda bagi memberi penjelasan mengenai RUU berkenaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pula memaklumkan PN akan mencari waktu sesuai sebelum memohon perkenan untuk mengadap Sultan Selangor.

“Kita nak jelaskan usul ini kerana kami berpandangan melalui pindaan Akta 388, ia antara cara untuk memastikan kalimah Allah tidak disalahgunakan.

“Sesiapa saja boleh guna, tapi biarlah dengan tafsiran yang betul. Kalau semua pihak faham kalimah Allah mengikut tafsiran yang ada dalam undang-undang, mudah untuk diterima pakai semua pihak dalam negara,” kata Ahli Parlimen Larut. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -