Bahas LKAN: Luar dari amalan biasa Parlimen?

- Advertisement -

LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) akan diletakkan di atas meja (lay on the table) Ahli Parlimen. Bukan untuk dibahas. Itu peraturan biasa setiap kali sidang.

Habis itu, buat apa diberikan kepada Ahli Parlimen jika bukan untuk dibahas?  Sebab;

1. Laporan Ketua Audit Negara disediakan oleh Pegawai Kerajaan, untuk disemak oleh kerajaan dan Ahli Parlimen. Mana mungkin mana-mana pegawai kerajaan boleh menjawab dalam Parlimen jika ada persoalan berbangkit, kerana mereka bukan Ahli Parlimen.

2. Laporan Ketua Audit Negara dibentang dan dibahas di dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (Public Account Committee – PAC). PAC adalah jawatankuasa khas di Parlimen. PAC boleh memanggil mana-mana pegawai kerajaan atau mana-mana jabatan, jika perlu, untuk menjelaskan apa-apa persoalan atau kekeliruan. Selepas itu biasanya PAC akan memberi laporan kepada Parlimen.

3. Laporan PAC terbuka untuk perbahasan di dalam Parlimen. Di situlah Laporan Audit Negara boleh dibangkitkan, jika berkaitan, dan Menteri berkenaan boleh menjawab kepada Ahli Parlimen yang berbahas atau yang memerlukan penjelasan.

Itulah peraturan mesyuarat (Standing Order) di Parlimen, sepanjang pengetahuan saya. Sebab, peraturan yang sama diamalkan di Dewan negeri.

Sebab itu, saya hairan mengapa Laporan Audit Negara patut dibahaskan di dalam Parlimen. 

Bagi saya, jikapun Speaker membenarkannya, dengan alasan bahawa Speaker ada kuasa ‘mengenepikan apa-apa peraturan jika perlu’, tindakan itu sangat tidak adil kepada kakitangan kerajaan yang terdedah kepada tohmahan, sedang mereka tidak berupaya menjelaskannya. 

Mereka tidak boleh menjawab di dalam Dewan (sebab mereka bukan Ahli Parlimen), dan mereka tidak boleh menjawab di luar Dewan (sebab itu boleh dianggap melanggar disiplin seorang penjawat awam). Luar daripada amalan biasa Parlimen. 

Wallahu a’lam.

USTAZ MOHD SHAFIE NGAH
Yang Dipertua PAS
Kawasan Bangi – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -