Anwar peralat orang miskin untuk dirinya disanjung

- Advertisement -

TANJONG KARANG: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sekiranya benar mahu membela orang miskin, maka negeri Kedah yang berada di kedudukan kedua tercorot dari segi KDNK perlu dibantu oleh beliau.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, namun Anwar sebaliknya memperalatkan kemiskinan untuk menjadikan diri disanjung dan menaikkan namanya sebagaimana Demonstrasi Baling 1974.

Beliau yang juga Ketua Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN) Pusat berucap demikian pada Ceramah Perdana PN Selangor sempena program Jelajah Selangor Baharu yang diadakan di Kompleks PAS Tanjong Karang, di sini malam tadi.

“Mana lebih kenal orang miskin? (Orang) Yang betul-betul miskin bercakap pasal kemiskinan, dengan orang kaya yang berlakon berpura-pura seolah-olah dia pembela orang-orang miskin? Siapa yang lebih benar? 

“Kedah, walaupun produk kita banyak, tapi kerana kita tak ada pelabuhan, barang-barang kita dieksport daripada Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Singapura. KDNK kita dijumlah masuk dalam negeri-negeri itu.

“Kalau betul dia (Anwar) nak menoktahkan kemiskinan, benarkan Kedah laksanakan Kedah Aerotropolis. Itu baru betul cakap nak bela orang miskin. (Tapi) Jiwa dia koyak, hati tisu. Nak jadi Perdana Menteri hati tak boleh tisu. 

“Bukan nak menghadapi Sanusi seorang saja, jadi Perdana Menteri nak hadapi karenah 32 juta rakyat Malaysia. Kita nak menghadapi beratus negara luar punya dasar luar terhadap negara kita. 

“Kita nak menghadapi tindakan-tindakan intelligent antarabangsa, nak mempengaruhi dasar luar negara kita, hati kita tak boleh tisu. Hati kita kena kental. Jiwa kita kena kebal,” ujar beliau membidas tindakan pemimpin itu.

Tambah Sanusi lagi, Anwar sebagai Perdana Menteri perlu melayan semua negeri secara sama rata dan lebih-lebih lagi negeri miskin, misalnya Kedah yang menghasilkan padi terbesar negara dan membekalkan 43 peratus beras.

Kedah ujar beliau, sebagai negeri pengeluar makanan dipaksa berkorban di mana dalam Rancangan Fizikal Negara diarah mewartakan kawasan pengeluaran padi seluas 132,000 hektar bagi tujuan tersebut.

Katanya, dengan pewartaan dan pengorbanan tanah yang luas dibuat itu, Kedah sepatutnya diberi bayaran kerana tanah tidak boleh dibuat pembangunan lain seperti jalan, perumahan atau perindustrian.

Ceritanya lagi, apabila tanah digunakan untuk penanaman pengeluaran makanan, maka Kedah juga perlu membuat empangan bagi mencukupkan bekalan air, manakala untuk memelihara empangan terpaksa mewarta 341,000 hektar hutan simpanan.

Demikian itu Kedah menurutnya, perlu dipandang sebagai negeri penting kerana mengeluarkan makanan negara, namun sebaliknya kerana Anwar marah kepada beliau, projek-projek lain juga diabaikan.

Beritahu beliau, selain Kedah Aerotropolis, negeri itu juga membangunkan Kedah Rubber City, Kedah Science and Technology Park, North Corridor Highway, Special Border Economic Zone dan projek-projek ikonik lain.

Malangnya kesali beliau, sudah tiga kali beliau mengutuskan surat bagi pertemuan bersama Perdana Menteri untuk membincangkan kelulusan berkaitan, namun tidak diberikan jawapan.

Oleh itu kata Sanusi, dia akan ‘menghasut’ pengundi di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sehingga Anwar ‘jatuh’ secara proses demokrasi yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Malah beliau memberitahu tidak gentar dan takut terhadap gertakan dan ugutan dilakukan oleh pihak-pihak tertentu kepadanya kerana yakin membawa hujah-hujah yang benar. – HARAKAHDAILY 5/6/2023

- Advertisement -