
SHANGHAI: Saintis China telah mula menggerudi lubang 10,000 meter (32,808 kaki) ke dalam kerak bumi, ketika kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu meneroka sempadan baharu di atas dan di bawah permukaan planet ini.
Penggerudian untuk apa yang ditetapkan sebagai lubang gerudi terdalam di China itu bermula di wilayah Xinjiang yang kaya dengan sumber petroleum itu pada Selasa (27 Mei) lalu, lapor agensi berita rasmi China, Xinhua.
Pada awal pagi Selasa itu juga, China telah menghantar angkasawan awam pertamanya ke angkasa lepas dari Gurun Gobi.
Struktur mirip paip yang sempit mula dibina ke dalam tanah akan menembusi lebih daripada 10 strata benua, atau lapisan batu, menurut laporan Xinxua, bermatlamat untuk mencapai sistem lapisan kapur dalam kerak bumi, yang mempunyai kandungan batuan sejak kira-kira 145 juta tahun.
“Kesukaran merealisasikan projek penggerudian (ke dalam kerak bumi) boleh dibandingkan dengan trak besar yang memandu melalui dua kabel keluli nipis,” kata seorang saintis di Akademi Kejuruteraan China, Sun Jinsheng kepada Xinhua.
Terdahulu, Presiden China, Xi Jinping menyeru agar kemajuan yang lebih besar dalam sektor penerokaan lapisan bumi dalam dalam ucapan di hadapan beberapa saintis terkemuka negara itu pada tahun 2021.
Menurutnya, usaha sedemikian bolehmembawa kepada penemuan dalam mengenal pasti sumber mineral dan tenaga serta membantu menilai risiko bencana alam sekitar seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi.
Rekod lubang buatan manusia paling dalam di dunia pernah digerudi di bawah lapisan bumi kini dipegang oleh Lubang Kola Superdeep Rusia, yang mencapai kedalaman 12,262 meter (40,230 kaki) pada tahun 1989, selepas 20 tahun penggerudian dijalankan. – HARAKAHDAILY 1/6/2023