AI mampu jejaskan kepercayaan interaksi manusia

Kepercayaan manusia terhadap manusia lain dalam interaksi komunikasi teruji dengan kehadiran teknologi kecerdasan buatan (AI). (FOTO: USA Today)
- Advertisement -

Apabila teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence atau AI) kini menjadi semakin realistik dan masuk ke dalam rutin kehidupan manusia seperti melalui platform chatGPT dan Bard yang masing-masing diperkenalkan Microsoft dan Google, ia menjadikan kepercayaan kita sebagai manusia terhadap manusia lain yang berkomunikasi dengan kita mungkin dan makin terjejas.

Penyelidik di Universiti Gothenburg, Sweden baru-baru ini telah mengkaji cara sistem teknologi AI yang canggih memberi kesan kepada kepercayaan terhadap individu yang terbabit dalam berinteraksi.

- Advertisement -

Kumpulan saintis berkenaan telah menganalisis data yang tersedia di YouTube, dan mengkaji tiga jenis perbualan dan reaksi, serta  komen audiens.

Jenis kajian  interaksi perbualan pertama, robot AI  menghubungi manusia untuk menempah temu janji mendandan rambut, tanpa diketahui oleh orang di hujung talian telefon yang satu lagi itu bahawa dia sebenarnya dihubungi robot. 

Dalam jenis kajian perbualan kedua, seseorang (manusia) memanggil orang lain (yang juga manusia) untuk tujuan yang sama. 

Menerusi jenis kajian perbualan ketiga, telemarketer (manusia) dipindahkan ke sistem komputer dengan ucapan pra-rakam sebelum berinteraksi dengan manusia.

Bakal penipu yang ditipu

Dalam satu senario jenis kajian perbualan ketiga ini, seorang bakal penipu, percaya dia berhadapan dengan mangsa penipuannya, seorang ‘lelaki tua’ yang sebenarnya ialah robot AI yang disambungkan ke sistem komputer dan berkomunikasi melalui gelung pra-rakam.

Sedangkan lelaki itu yang sebenarnya ditipu (dan diuji tahap penipuannya), kerana dia sebenarnya bukan berinteraksi dengan manusia, tetapi sebaliknya mesin (robot AI).

Pada masa hadapan, manusia mungkin tidak akan menyedari ‘manusia’ yang menghubungi mereka melalui telefon sebenarnya ialah robot AI. (FOTO: Datafloq)

Lelaki itu telah menghabiskan banyak masa cuba untuk cuba menipu ‘lelaki tua’ itu, tetapi dengan sabar mendengar ceritanya yang agak mengelirukan dan berulang-ulang.

Profesor Komunikasi di Universiti Gothenburg, Oskar Lindwall dalam pemerhatian hasil kajian tersebut mendapati bahawa ia selalunya mengambil masa yang lama untuk orang ramai menyedari bahawa mereka sebenarnya berinteraksi dengan sistem teknikal yang dalam kes ini ialah ‘lelaki’ tua atau robot AI berkenaan.

Beliau telah, dengan kerjasama Profesor Informatika Universiti Gothenburg, Jonas Ivarsson, baru-baru ini telah menghasilkan jurnal berjudul, Suspicious Minds: The Problem of Trust and Conversational Agents (Minda yang Meragukan: Masalah Agen Perbualan dan Kepercayaan), yang meneroka cara individu mentafsir dan mengaitkan situasi di mana salah satu pihak mungkin menjadi ejen AI.

Jurnal itu menyerlahkan akibat negatif daripada menyimpan syak wasangka terhadap orang lain, seperti kerosakan yang boleh ditimbulkannya kepada perhubungan dalam interaksi antara manusia.

Hubungan percintaan manusia turut akan dipengaruhi sekirarnya robot AI mencampuri urusan cinta mereka. (FOTO: Techtalks)

Hubungan cinta

Ivarsson memberikan contoh dalam hubungan percintaan, yang melibatkan isu kepercayaan pasangan yang bercinta timbul, membawa kepada perasaan cemburu dan peningkatan kecenderungan untuk mencari bukti terhadap penipuan pasangan yang masing-masing.

Penyelidik berpendapat bahawa sikap tidak dapat mempercayai sepenuhnya niat dan identiti rakan perbualan boleh mengakibatkan syak wasangka yang berlebihan walaupun tidak ada sebab untuknya.

Kajian mereka mendapati bahawa semasa interaksi antara dua manusia, beberapa tingkah laku ditafsirkan sebagai tanda bahawa salah seorang daripada mereka sebenarnya adalah robot.

Penyelidik mencadangkan bahawa perspektif reka bentuk yang meluas memacu pembangunan AI dengan ciri yang semakin menyamai seperti manusia.

Walaupun ini mungkin menarik dalam beberapa konteks, ia juga boleh menimbulkan masalah, terutamanya apabila tidak jelas dengan siapa anda berkomunikasi.

Ivarsson mempersoalkan sama ada AI sepatutnya mempunyai suara seperti manusia, kerana ia mewujudkan rasa keintiman dan membawa orang untuk membentuk tanggapan berdasarkan suara sahaja.

Perhubungan komunikasi antara sesama manusia bakal terkesan dengan kemunculan teknologi moden seumpama robot AI. (FOTO: USA Today)

Dalam kes bakal penipu yang cuba menipu lelaki tua berkenaan, penipuan itu hanya terdedah selepas tempoh masa yang lama, yang Lindwall dan Ivarsson mengaitkannya dengan kebolehpercayaan suara manusia dan andaian bahawa tingkah laku yang keliru itu disebabkan oleh usia.

“Sebaik sahaja AI mempunyai suara, kami membuat kesimpulan atribut seperti jantina, umur dan latar belakang sosioekonomi, menjadikannya lebih sukar untuk mengenal pasti bahawa kami (manusia) sebenarnya sedang  berinteraksi dengan komputer,” kata Lindwall.

“Justeru, hasil kajian kami mencadangkan bahawa mencipta AI dengan suara yang berfungsi dengan baik dan fasih yang masih jelas sintetik, meningkatkan ketelusan dalam interaksi.

“Komunikasi dengan orang lain bukan semata-mata melibatkan penipuan tetapi juga membina hubungan dan mencipta pengalaman yang bermakna bersama-sama,” jelasnya.

Tambah beliau, ketidakpastian sama ada seseorang itu bercakap dengan manusia atau komputer (dalam kes ini robot AI) telah mempengaruhi aspek dalam perhubungan komunikasi.

“Walaupun ia mungkin tidak penting dalam beberapa situasi, seperti terapi kognitif-tingkah laku, bentuk terapi lain yang memerlukan lebih banyak hubungan manusia mungkin terjejas secara negatif,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/5/2023

- Advertisement -