Keberkatan hidup menerusi rezeki halal ketika Ramadan

- Advertisement -

Kedatangan bulan Ramadan sangat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Bulan Ramadan disebutkan sebagai bulan yang diberkati dan dilimpahkan dengan pelbagai rezeki dan keberkatan daripada Allah SWT.

Pada bulan mulia ini, dimaklumi oleh orang Islam dengan pelbagai peristiwa penting sama ada untuk dihayati atau berusaha untuk mencapainya.

Dalam bulan ini, diturunkan al-Quran yang merupakan Kalam Allah SWT yang Maha Mulia yang menjadi petunjuk kepada kehidupan manusia.   

- Advertisement -

Pada bulan ini juga, Jibril AS turun untuk menyemak bacaan al-Quran oleh Rasulullah SAW. Allah SWT menyatakan bahawa pada bulan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu Lailatul Qadar yang sangat didambakan oleh orang yang beriman yang mahu melipat gandakan pahala amalannya. 

Rasulullah SAW juga menyatakan bahawa pada bulan ini, para syaitan telah dirantai sehingga mereka tidak boleh lagi mengganggu dan menghasut manusia yang beriman. 

Peristiwa peperangan Badar juga berlaku pada bulan Ramadan. Kesemua ini menunjukkan kepada kelebihan yang khusus terhadap bulan ini. Sudah pasti kita sebagai hamba Allah dan umat Nabi SAW, berusaha untuk meningkatkan ibadah dan amalan kebaikan pada bulan ini.

Namun, kedatangan bulan Ramadan tahun ini berturutan dengan persekolahan anak-anak. Diikuti pula dalam beberapa minggu lagi, umat Islam disibukkan pula dengan persediaan menyambut Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi. 

Apa yang kita sedia maklum, pertembungan antara beberapa keperluan sudah pasti memberikan satu bebanan kepada ramai orang bagi menanggung kos keperluan tersebut dalam satu masa yang sama.

Persekolahan anak-anak memerlukan persediaan kos yang agak banyak seperti keperluan pakaian sekolah, yuran pendaftaran sekolah, yuran pengajian dan sebahagiannya yuran asrama. 

Sementara pada bulan Ramadan pula, ibu bapa perlu menanggung kos persediaan menyambut Syawal yang telah menjadi tradisi masyarakat untuk berpakaian serba baru, persediaan jamuan, kelengkapan rumah dan sebagainya. Semuanya itu, itu tertakluk kepada kos yang perlu ditanggung oleh setiap keluarga.

Walaupun demikian, sebagai umat Islam, kita mempunyai keyakinan bahawa setiap orang telah ditentukan rezekinya masing-masing dan kita perlu berusaha untuk mencari rezeki tersebut. 

Bak kata pepatah, ‘rezeki tidak datang bergolek’ dan ‘siapa yang berusaha dia akan berjaya’. Dalam kesempitan mencari rezeki, sudah pasti ada dari kalangan kita yang tidak mengendahkan aspek daripada mana sumber rezeki tersebut dan kemungkinan ada juga yang mengabaikan aspek penting dan utama kepada sumber rezeki berkenaan. 

Setiap orang Islam perlu memastikan bahawa segala sumber rezeki berkenaan datangnya daripada sumber yang halal atau melalui jalan yang dibenarkan dalam syariat Islam.

Firman Allah SWT, maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (Al-Baqarah 2:186)

Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyir RA berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang lagi jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang lagi jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya”. (HR Muslim, no. hadis; 4178)

Sumber rezeki tersebut boleh jadi daripada sumber pendapatannya melalui upah pekerjaan yang dilakukan atau hasil keuntungan dalam perniagaan yang dijalankan. Termasuk juga hasil pendapatan yang diperoleh melalui perniagaan online sebagai contohnya.

Maka, tidak sewajarnya kita mengambil kesempatan dengan melakukan perkara yang bertentangan dengan tuntutan agama dalam aspek pencarian rezeki tersebut. Jika berniaga online, maka barang yang diniagakan mestilah sama sepertimana iklan yang dipaparkan, bukan ‘indah khabar dari rupa’. 

Demikian juga, ketika mana dalam bulan puasa, apabila kita menawarkan sesuatu jualan, sama ada dalam bentuk barangan atau makanan, hendaklah berlaku jujur dan amanah dengan apa yang dijual tersebut. 

Heboh di media sosial tentang harga sebungkus nasi kukus ayam yang ayamnya digoreng sehingga hangit dan tidak sesuai dengan harga RM15.00 sebungkus. 

Sama juga harga satu roti nan yang hangit dan harga yang tidak sesuai dengan makanan tersebut. Perkara ini berlaku dalam bulan Ramadan yang penuh barakah ini. 

Sewajarnya sebagai seorang Islam, perkara sebegini tidak akan berlaku kerana atas dasar amanah dan jujur dalam menjalankan perniagaan. Jika begini, bolehkah rezeki yang diperoleh itu diberkati oleh Allah atau hasil jualan tersebut adalah hasil yang diberkati?

Tidakkah kita boleh mengambil pengajaran daripada kaum yang diturunkan azab oleh Allah SWT kerana menipu dalam perniagaan mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kecelakaan besarlah bagi orang yang menipu, (iaitu) orang yang apabila menerima timbangan dari orang lain mereka minta dicukupkan dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.” (Al-Mutaffifin, ayat 1-3) dan ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.” (Al-Rahman ayat 9)

Dalam hadis juga digambarkan oleh Nabi SAW. Daripada ‘Ubaid bin Rifa`ah daripada bapanya berkata: “Suatu ketika dia keluar bersama Nabi SAW ke tempat solat lalu Baginda nampak orang ramai sedang berjual beli. 

Baginda bersabda: Wahai para peniaga! Mereka menyahut penggilan Nabi SAW itu sambil menjenguk ke arah Baginda. Nabi SAW bersabda: “Pada hari kiamat kelak para peniaga akan dibangkitkan sebagai orang-orang yang jahat kecuali orang yang takutkan Allah, berbuat baik dan jujur.” (HR al-Tirmidhi, no.hadis 1210)

Justeru, bagaimana untuk mengatakan bahawa rezeki seseorang itu berkat jika sumber dan cara mendapatkannya sudah bercanggah dengan tuntutan syarak atau dari sumber yang tidak betul? Keberkatan dalam rezeki tertakluk kepada beberapa perkara yang memerlukan tindakan daripada diri individu itu sendiri.

Jadi, jika seseorang itu menerima upah dalam bentuk gaji, sudah pasti perlu dipastikan bahawa segala ketetapan yang telah ditetapkan oleh majikan dilaksanakan dengan baik, dalam tempoh yang ditetapkan dan skop bidang kerja yang telah dipersetujui bersama. 

Bukan menggunakan jawatan yang ada hanya untuk mendapatkan gaji semata-mata, sedangkan kerja tidak dilakukan atau dilakukan oleh pihak lain. Bahkan, dari sudut waktu dan tempoh bekerja juga dijaga dengan baik sesuai dengan ketetapan yang telah ditetapkan. 

Jika, asyik bersembang di kedai kopi, atau banyak berada di luar pejabat sedangkan pekerjaan kita menjaga kaunter pertanyaan atau banyak urusan di kuanter, sudah pasti keberkatan itu tidak akan diperoleh kerana tidak melaksanakan amanah pekerjaan itu dengan baik.

Demikian juga, jika kita seorang peniaga, contohnya peniaga makanan di bazar Ramadan, bagi menjana keberkatan kita perlu memastikan barang yang diniagakan adalah barangan yang baik, jelas, bukan barangan atau makanan yang telah rosak, atau disulam antara barang yang rosak dengan yang tidak rosak. 

Sangat baik lagi apabila perniagaan yang kita lakukan itu menjadi medan dan ruang untuk kita meningkatkan amalan sedekah disamping tempat kita menjana pendapatan. 

Boleh jadi, kita lebihkan kadar timbangan bagi sesuatu barang yang dibeli, menghadiahkan sesuatu barang lain dan sebagainya lagi. 

Perkara ini sesuai dengan saranan hadis daripada Abu Sa’id RA, Nabi SAW bersabda: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.” (HR al-Tirmidhi, no.hadis 1209).

Soal keberkatan bukan merupakan soal mainan kerana sepanjang kehidupan kita, keberkatan merupakan aspek yang penting. 

Bahkan kita senantiasa diminta untuk memastikan apa sahaja yang dilakukan mendapat keberkatan dari Allah SWT. Keberkatan dalam majlis ilmu, dalam menuntut ilmu, dalam mencari harta, dalam beribadah dan sebagainya. 

Tambahan lagi apabila berada dalam bulan Ramadan yang merupakan bulan yang diberkati Allah dalam semua aspek, sudah pasti kita tidak akan mensia-siakannya. 

Gunakanlah kesempatan rezeki dikurniakan berada dalam bulan Ramadan ini untuk melakukan pelbagai ibadah kerana mengharapkan agar hidup kita diberkati dan dibawah perhatian Allah SWT dan dapat merealisasikan matlamat seorang yang berpuasa untuk diletakkan sebagai orang yang bertaqwa di sisi Allah. 

Justeru, peningkatan diri kepada nilai taqwa tersebut adalah tanda amalan yang dilakukan diterima diberkati Allah SWT.

Jadikanlah aspek mencari keberkatan dalam kehidupan sebagai perkara penting dalam kehidupan kita. Mungkin kita punyai sedikit harta, tetapi ia cukup untuk kita melayari kehidupan tanpa meminta dan bergantung kepada orang lain. 

Jangan jadi orang yang kaya, namun tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimiliki, bahkan sanggup menipu kerana meraih  keuntungan dunia. 

Sesuai dengan kata-kata, biar kaya hati dan jiwa daripada kaya harta dan dunia semata-mata. Akhir sekali, ingatlah bahawa sebagai seorang hamba, kebergantungan dan berharap kepada Allah SWT adalah segala-galanya. 

Dengan keberkatan daripada-Nya, kehidupan akan dipenuhi dengan nilai kebahagian yang didambakan oleh semua orang yang beriman dan bertaqwa. 

Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan orang yang senantiasa di bawah bayangan barakah-Nya. – HARAKAHDAILY 3/4/2023

– Dr Khadher Ahmad ialah Profesor Madya di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

- Advertisement -