Keadilan di luar tabii

- Advertisement -

BARU bulan lepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan menolak permohonan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal.

Kata Hakim Mahkamah Tinggi, “Tiada mana-mana individu atau golongan yang boleh melangkaui undang-undang. Oleh itu permohonan pemohon untuk mendapatkan pasportnya secara kekal adalah ditolak.” 

Disangka cerah hingga ke petang rupanya hujan di siang hari.

Hari ini, Mahkamah Rayuan telah membenarkan Zahid Hamidi mendapatkan pasport secara kekal.

Yang lebih mengecewakan apabila Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memberitahu mahkamah bahawa beliau mendapat arahan untuk tidak membantah permohonan yang dikemukakan oleh Zahid Hamidi.

Siapakah yang memberi arahan kepada Timbalan Pendakwa Raya?

Siapakah yang begitu berkuasa sehingga dapat mengeluarkan arahan sedemikian?

Pertuduhan 47 kes mahkamah belum selesai, namun sudah mendapat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, dapat kekal sebagai Presiden Umno dan kini dipulangkan pula pasport secara kekal. 

Kasihan anak muda, kena blacklist PTPTN pun diharamkan dari keluar negara. Tapi individu dengan 47 kes mahkamah diberi pasport, boleh keluar tanpa perlu memohon kebenaran mahkamah. Inilah keadilan kerajaan madani.

Apa yang dirisaukan rakyat akhirnya berlaku. Terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana melantik kluster mahkamah memegang jawatan dalam Kabinet. Apa sahaja boleh berlaku demi menjaga kuasa kan?

Takziah kepada Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang berdiam diri dalam isu ini. Dalam kempen PRU sungguh-sungguh menjerit, “Kita hantar Zahid ke penjara!”, tiba-tiba hari ini tutup mata, diam seribu bahasa.

ZURK AHMAD
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -