‘Jom Ziarah Gereja’: Menteri Agama jaga kepentingan siapa?

- Advertisement -

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) nampaknya bermain wayang dengan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya dalam soal kebenaran program Jom Ziarah Gereja melibatkan belia kepada bidang kuasa kerajaan negeri.

Sebagai menteri yang diharapkan menjaga kesucian Islam, dan memegang prinsip keharmonian agama dan kaum, beliau seolah menteri lain yang langsung tidak bertanggungjawab terhadap anasir-anasir berunsur dakyah sebegini.

Semua kita pastinya masih segar mengingati betapa jantannya Menteri Agama ketika menghentam perarakan kostum oleh Pemuda PAS di Setiu. Dalam soal perarakan itu, tidak pula beliau menghormati bidang kuasa PBT Negeri yang meluluskan permit perarakan tetapi terus menghentam guna kedudukan Menteri Agama, kononnya perarakan kostum sebegitu boleh mengganggu keselamatan negara.

Jika boleh saya sebutkan, mahu saya jelaskan kepada menteri bahawa kiasan yang cuba dibuat bandingan dengan hukum tidak salah orang Islam memasuki rumah ibadah agama lain tidaklah sampai kepada dibolehkan kempen terbuka sebegini sebagai kerajaan, apa lagi melibatkan belia Islam.

Semacam menjadi satu ‘trend‘ di semua Kementerian Kerajaan Anwar-Zahid membuatkan keputusan yang jelas bercanggah di peringkat Persekutuan dan bila dibantah dengan mudah meletakkan beban sekatan kepada Kerajaan Negeri. Naratifnya jika negeri tidak sekat bermakna Kerajaan Negeri yang salah. Taktik ‘Tai Chi’ yang langsung tidak bertanggungjawab.

Sebagai mantan Ketua Hakim Syar’ie, Menteri Agama tidak seharusnya melupakan ‘kaedah-kaedah fiqhiah’ dalam memberikan pandangan terhadap isu melibatkan agama di Malaysia. Jika boleh saya ingatkan suatu kaedah Fekah yang besar dalam pentadbiran negara melibatkan kerajaan dalam isu gereja yang seharusnya dipegang oleh Menteri Agama iaitu:

- Advertisement -

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

“Keputusan kerajaan melibatkan isu rakyat perlu mengambil kira pertimbangan maslahah, iaitu mendatangkan manfaat dan menghalang mudharat.”

Kaedah popular seperti سد الذرائع iaitu menutup ruang mudharat dalam kes larangan ajakan Jom Ziarah Gereja sepatutnya dibuat di peringkat Persekutuan yang ‘jaringan sekatannya’ lebih besar bukan dilepaskan untuk dibuat di peringkat negeri yang ‘jaringan sekatannya’ lebih kecil.

Jika Menteri Agama tidak kompeten dalam mempertahankan kesucian agama di peringkat Persekutuan siapa lagi yang diharapkan?

Jika Menteri Agama yang kononnya bukan orang politik, telah bermain politik dalam urusan umat Islam, bagaimana harus kami para Pemuda Islam mampu berpeluk tubuh, berdiam diri?

Atas faktor keharmonian kaum dan kesucian agama, saya mohon Menteri Agama agar lebih berbisa dan tidak terperangkap dalam falasi politik kerajaan gabungan yang dominannya bukan-Melayu Islam termasuk DAP sebagai ‘the most influential partner’.

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -