Antara mempolitikkan Islam dan meng’Islam’kan politik

- Advertisement -

SERINGKALI apabila agama dilaung di dalam apa jua bidang akan mencetus suatu persoalan dan polemik apakah itu tuntutan agama ataupun semata-mata mempergunakan nama agama.

Islam mempunyai suatu kedudukan yang mulia di sisi manusia. Lebih lebih di kalangan masyarakat Melayu yang telah berkurun lamanya menganut agama dan ajaran Islam.

Namun, di setiap kali tugas menegakkan syariat Allah dan tuntutan Islam hendak dilaksanakan seringkali timbul persepsi di antara apakah benar perkara tersebut dibuat atas tuntutan agama ataupun ia hanya menunggang nama agama.

Pastinya di sana terdapat satu perbezaan yang besar di antara menunggang agama dan menegakkan agama, kerana bagi penunggang, mereka menunggang di atas sebab mempunyai kepentingan dan agenda tersendiri. 

Kemudian, yang turut menambah ruang perbezaan bagaimana persepsi dan perspektif orang yang mahu menilai tindakan tindakan yang mempunyai elemen agama itu. 

Mereka yang ikhlas dan ingin menegakkan hukum Allah sudah pasti terzahir dalam kerja buat mereka. Mengharamkan apa yang haram dan perkara perkara yang menjemput kemurkaan Allah.

Arak dan judi misalnya, hukumnya haram, tugas kerajaan mengharamkan arak dan judi adalah wajib buat mereka yang mahu memperjuangkan Islam. 

Namun musuh musuh politik yang lawan pada tindakan pihak kerajaan itu, hanya akan melihat tindakan pengharaman arak dan judi itu hanya alasan dan satu tunggangan terhadap agama. 

Jika anda ingin ‘menyerang’ dan bersikap ofensif terhadap golongan yang memperjuangkan syariat Allah dengan menggunakan alasan mereka ini mempergunakan agama, dan semata mata atas pertimbangan mereka itu musuh politik anda, maka sebenarnya yang sedang menunggang agama di sini ialah anda. 

Kerana andalah yang cuba mengapi apikan dan mencipta isu serta berkepentingan untuk memberi kefahaman kepada orang lain bahawa orang yang mahu memperjuangkan hukum Allah itu penunggang.

Sedangkan mereka itu cuba mengagamakan politik, anda pula mempolitikkan urusan urusan agama. 

Sama ada yang menilai itu bermusuh di atas dasar permusuhan politik atau dia benar-benar seteru dengan syariat dan agama Allah, hanya Allah sahaja yang mengetahui. 

AHMAD SYAKIR NORAZLI
Ketua Penerangan
Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz)
28 Syabaan 1444H bersamaan 20 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -