Isu tauliah ahli politik dan bukan ahli politik

- Advertisement -

PENDAHULUAN 

Siaran media MAIDAM yang melarang semua ahli politik sama ada YB atau bukan YB daripada menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di seluruh masjid dan surau di Negeri Terengganu, telah menjadi topik perbincangan yang agak hangat di media pada minggu lepas. 

Bukan ahli politik yang tidak ada tauliah MAIDAM juga dilarang.

Perkembangan susulan 

Hasilnya, Raja Kamarul Bahrin Pengerusi PH Terengganu membuat laporan polis terhadap Tan Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kerana meneruskan Kuliah Jumaat beliau di Masjid Rusila seperti biasa sejak lebih 40 tahun.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pula memaklumkan hanya seorang YB yang diberi tauliah mengajar di Negeri Terengganu, iaitu EXCO Dakwah. YB-YB yang lain tiada tauliah.

Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu pula memaklumkan Ustaz Azhar Idrus pun tidak diberi tauliah mengajar oleh pejabat itu.

Namun tiada ulasan daripada MAIDAM atau JHEAT mengenai filem Mentega Terbang setakat minggu lepas.

Percubaan memahami tindakan Ustaz Azhar Idrus yang tidak memohon tauliah

Saya dimaklumkan, Ustaz Azhar Idrus telah diberi peluang untuk mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri, tetapi beliau memilih untuk tidak memohon tauliah, dan tidak bercakap mengenai tauliah.

Saya membaca tindakan beliau itu ada kaitan dengan pihak berkuasa agama negeri yang sangat terdedah kepada amalan ‘berpolitik kepartian’ dalam pentadbiran sejak sekian lama. 

Mereka melarang asatizah berpolitik di dalam masjid, tetapi masyarakat melihat mereka berpolitik secara ‘kepartian’ di pejabat.

Dahulu sering kali siasatan ‘tak rasmi’ untuk seseorang diberi tauliah ialah mengetahui pendirian politik seseorang individu. Ustaz yang pernah naik pentas Umno tidak ada masalah untuk diberi tauliah. Ustaz yang pernah naik pentas PAS walaupun sekali, akan berhadapan isu tauliah. 

Pada masa itu, ramai asatizah gagal mendapatkan tauliah mengajar hanya kerana mereka dituduh menyokong PAS, walaupun mereka bukanlah penyokong PAS.

Mungkin Ustaz Azhar melahirkan kebersamaan beliau dengan para asatizah yang tidak mendapat layanan yang adil ini dengan cara beliau tidak memohon tauliah.

Semoga Allah S.W.T terus memelihara Ustaz Azhar Idrus, permata indah yang timbul di bumi Terengganu.

Proses pemberian tauliah yang telus

Isu pemberian tauliah sepatutnya tidak melibatkan pertimbangan politik kepartian. Ia sepatutnya hanya melibatkan isu kelayakan ilmiah seseorang pemohon dan keperibadiannya yang tinggi.

Syarat tidak boleh menyebarkan ‘politik kepartian’ di dalam masjid dan tidak mencetuskan ‘kebencian’ kepada mana-mana pihak di dalam kuliah adalah syarat yang logik. Hampir tidak ada asatizah yang tidak menyetujui syarat ini. Ia adalah syarat yang boleh disepakati.

Iaitu politik kepartian dengan maksud tidak boleh menyebut nama parti atau tokoh politik tempatan tertentu dalam masjid, atau berkempen untuk parti tertentu atau mengaibkan parti atau pemimpin tertentu.

Jika ada pemegang tauliah yang ditarik tauliahnya kerana berbuat begitu, ia tidak akan menimbulkan sebarang polemik.

Namun para asatizah yang menunaikan tanggungjawab amar makruf dan nahi munkar secara berhikmah dalam masjid, tidak diberi tauliah atau ditarik balik tauliahnya, ia tentulah tidak wajar.

Hak berpolitik pemegang tauliah di luar masjid

Sementara itu hak berpolitik pemegang tauliah adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan kepada setiap warganegara.

Pihak berkuasa agama tidak berhak menjadikan para pemegang tauliah sebagai non-partisan. Ini hanya menjadikan para asatizah warganegara yang tidak peka dengan masa depan negaranya sendiri. 

Mereka sepatutnya digalakkan untuk mengundi parti politik yang difikirkan boleh membawa kemakmuran kepada negara, bukan dihalang daripada mengundi. 

Kerana inilah Suruhanjaya Pilihan Raya ditubuhkan. Untuk mewujudkan warganegara yang faham mengenai hak mereka untuk mengundi dan memilih kerajaan. Dan menggalakkan setiap warganegara memanfaatkan setiap institusi demokrasi dalam memastikan kerajaan semasa sentiasa telus, terbuka menerima teguran dan peka dengan kehendak rakyat.

Oleh kerana itu, pemegang tauliah juga tidak patut dihalang untuk bertanding dalam sesuatu pilihan raya. Tapi janganlah memberikan ucapan kempen di dalam masjid.

Cadangan yang wajar daripada Dr. Zulkifli al-Bakri

Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri dalam artikel terbaru beliau berjudul ‘Polemik Tauliah Mengajar’ menyingkap isu ini secara ilmiah dan praktikal.

Setelah menerangkan dengan panjang lebar mengenai keperluan dan kepentingan mewujudkan ‘tauliah mengajar’, beliau mengemukakan beberapa syor agar pelaksanaan tauliah lebih dihormati dan difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Antaranya mengenai pengecualian atau tauliah khas diberikan kepada ahli politik yang memegang jawatan dalam kerajaan di peringkat Persekutuan atau negeri untuk berucap di masjid dengan syarat tidak menyentuh isu politik kepartian. Pengecualian dan tauliah khas juga boleh diberikan kepada tokoh-tokoh ulamak yang telah diakui keilmuannya dalam masyarakat.

Ia adalah cadangan yang wajar, adil dan sangat praktikal untuk diamalkan. 

Penutup 

Bulan Ramadan akan bertamu tidak beberapa hari saja lagi. Isu tauliah yang mengeruhkan hubungan asatizah yang tidak diberi tauliah dengan pihak MAIDAM dan JHEAT sepatutnya segera diharmonikan demi kebaikan dakwah di Negeri Terengganu.

Ia bukanlah isu mengenai tiada kelayakan ilmiah, tetapi isu pentadbiran sahaja.

Mungkin bulan Ramadan ini, MAIDAM dan JHEAT boleh membuka kaunter khusus untuk memudahkan urusan permohonan dan proses pemberian tauliah kepada asatizah yang belum pernah memohon tauliah, dan juga para asatizah yang pernah memohon tauliah sejak sekian lama, tetapi belum lagi menerima sebarang respons daripada pihak berkuasa agama setakat ini.

Semoga segala salah faham dapat dileraikan.

Semoga Allah S.W.T sentiasa memelihara bumi Terengganu yang terkenal dengan gabungan para umarak dan para ulamak dalam menguruskan pentadbiran negeri, terutamanya pada era Sultan Zainal Abidin III dan Tokku Paloh, rahimahumulLah.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL 
Marang,
20 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -