Perlis lancar Kempen Nat Bebas Sampah

- Advertisement -

KANGAR: Selaras dengan salah satu matlamat di bawah Agenda Perlis Bersih Sihat (2021-2025), Perlis telah melancarkan Kempen Nat Bebas Sampah.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, masyarakat menyenangi keadaan persekitaran tempat tinggal dan kawasan perniagaan yang bersih.

- Advertisement -

“Justeru, Kempen Nat Bebas Sampah mempromosikan amalan kitar semula yang boleh dilakukan oleh peniaga untuk menguruskan sisa perniagaan dengan lebih baik dan teratur terutamanya di nat atau pasar pagi dan pasar malam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis program Walkabout Menteri Besar sempena Kempen Nat Bebas Sampah di Nat Behor Lateh, di sini, hari ini.

Menurut beliau, bagi merealiasikannya, kerajaan negeri menggesa semua pihak terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta penganjur-penganjur pasar pagi, pasar malam dan pasar tani untuk memperkemaskan serta menambah baik syarat-syarat dalam aspek penjagaan kebersihan.

“Semua pihak perlu bertanggungjawab termasuk pihak penganjur dan para peniaga agar aspek penjagaan kebersihan ini bukan terletak pada kerajaan dan jabatan sahaja.

“Kita yakin bahawa sekiranya aspek kebersihan di kawasan-kawasan perniagaan, termasuk di nat serta tempat-tempat makan ini ditingkatkan oleh peniaga dan pemilik premis.

“Dengan itu, kehadiran pengunjung akan meningkat, bahkan boleh menjadi lokasi tarikan pelancong juga serta sekali gus akan meningkatkan ekonomi mereka sendiri,” ujarnya.

Beliau juga berharap agar golongan peniaga dapat memberi kerjasama yang baik kepada pihak kerajaan melalui jabatan atau agensi yang mengawal selia dalam pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah di tempat tumpuan itu.

“Mohon patuhi amalan kebersihan dengan membuang sampah secara teratur di pusat-pusat tong sampah yang telah disediakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2023

- Advertisement -