Sejarah cubaan Anwar ‘guling’ kerajaan

- Advertisement -

SEBAGAI ahli politik yang memimpin blok pembangkang dalam tempoh 25 tahun, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak sunyi daripada usaha-usaha menukar kerajaan sama ada melalui jalan PRU atau jalan Parlimen. Berikut adalah sebahagian contoh cubaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk ‘menggulingkan’ kerajaan melalui jalan Parlimen dalam episod politik tanah air.

1. Peristiwa 16 September, 2008.

Pada tahun 2008, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah berusaha untuk bekerjasama dengan hampir 40 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional yang berpaling tadah untuk melakukan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Ke-5, Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi sekali gus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri ke-6.

- Advertisement -

Namun, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah bertindak pantas dengan melakukan intervensi segera sehingga Langkah 16 September oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini tergendala dan gagal tersungkur menyembah bumi menuju jalan buntu.

2. Peristiwa Langkah Kajang, 2014.

Peristiwa Langkah Kajang adalah mengenai krisis perebutan kerusi Menteri Besar Selangor pada tahun 2014 yang mana bertujuan menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar ketika itu dan menggantikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Pada 27 Januari 2014, wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh telah diatur untuk meletak jawatan sebagai ADUN kawasan Kajang bagi memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi ADUN di Selangor.

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kronologi-krisis-menteri-besar-selangor-41800

Namun, Langkah Kajang ini menemui kegagalan apabila mahkamah memutuskan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersalah atas tuduhan meliwat dan akhirnya isteri beliau yang juga Presiden PKR pada ketika itu telah digantikan untuk bertanding di kerusi tersebut.

3. Peristiwa ‘strong, formidable and convincing‘.

Pada 30 Julai 2020, Bekas Ketua Menteri Negeri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah memohon dan telah diperkenan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN setelah mendapati beliau telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada ketika itu.

Maka Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memutuskan bahawa 26 September 2020 sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Namun apa yang melucukan ialah, 3 hari sebelum tarikh PRN Sabah secara tiba-tiba Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mendakwa bahawa beliau telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan atau lebih popular dengan istilah ‘strong, formidable and convincing‘ daripada beberapa Ahli Parlimen Umno untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan. 

Dalam sidang media tersebut Anwar turut mendakwa, ‘dengan sokongan, majoriti kukuh dan meyakinkan ini bermakna pada saat ini Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah jatuh,’.

https://www.hmetro.com.my/utama/2020/09/623529/anwar-umum-dapat-sokongan-kukuh-bentuk-kerajaan-baharu

Namun, sekali lagi cita-cita Anwar untuk menjatuhkan Perdana Menteri telah gagal sehinggalah ke PRU ke-15. 

Secara rumusannya, cita-cita untuk menukar kerajaan melalui jalan demokrasi seperti yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara biasa bagi pasukan blok pembangkang.

Buktinya, YAB Perdana Menteri Malaysia pada hari ini telah menunjukkan contoh tauladannya dalam sepanjang tempoh sejarah episod politik tanah air ketika beliau memimpin blok pembangkang.  Pembangkang itu oposisi.

Sekian.

ZURK AHMAD
Ketua Pengarah 
Jabatan Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/3/2023

- Advertisement -