Muhyiddin tidak akan tunduk, sedia buktikan kebenaran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerlahkan semangat juangnya dengan penegasan tidak akan bersekongkol dan tunduk kepada desakan mereka yang batil.

“Saya pilih untuk tegak berdiri di atas prinsip yang saya pegang. This is the price that I have to pay. Saya yakin dengan kuasa Allah. Saya berdoa semoga Allah SWT mengurniakan rahmah dan inayah-Nya ke atas saya.

“Melindungi saya dan sahabat-sahabat seperjuangan saya daripada fitnah jahat dan musibah buruk,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Kata Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau redha dengan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di mahkamah, sambil menganggapnya sebagai ujian Allah SWT dalam mengharungi cabaran dunia politik.

“Saya terima pertuduhan ke atas saya ini dengan sabar. Saya tahu dalam dunia politik, ramai musuh yang ingin menghancurkan saya, keluarga saya dan parti saya. Lebih-lebih lagi apabila saya berhadapan dengan musuh politik yang rakus,” ujarnya.

Bekas Perdana Menteri itu memaklumkan, beliau dan pasukan peguamnya akan berusaha membuktikan kebenaran bagi mendapatkan keadilan mahkamah, selain menyerahkan kepada Allah dan hakim yang adil.

Mengenai pertuduhan dikenakan, Muhyiddin memberitahu, ia dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 iaitu tohmahan salah guna kuasa, tetapi bukan atas kesalahan menerima rasuah bagi diri sendiri.

Ini kerana katanya, setelah siasatan dibuat, didapati tidak ada satu sen pun wang rakyat masuk ke poket beliau sendiri sepanjang menjadi Perdana Menteri.

“Ini berbeza sekali dengan fitnah yang dilemparkan ke atas saya kononnya saya menyeleweng RM600 bilion wang pakej rangsangan ekonomi semasa pandemik COVID-19. Kini terbukti tuduhan itu adalah satu fitnah jahat yang direka semata-mata untuk mencemarkan imej saya, keluarga saya dan parti saya.

“Oleh kerana saya tidak menerima rasuah, mereka mencipta kesalahan lain untuk mengesahkan dakwaan Presiden Umno (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) bahawa akan wujud Kluster Mahkamah baharu dalam kalangan pemimpin PN.

“Dia (Zahid) ingin menyamakan saya dengan dirinya. Tentu sekali berbeza. Dia (Zahid) dituduh menggunakan wang yayasan untuk kegunaan diri sendiri. Sedangkan saya, tidak ada satu sen pun wang yang masuk ke poket saya sendiri,” katanya lapor Agenda Daily.

Muhyiddin berkata beliau dituduh menyalahgunakan kuasa Perdana Menteri untuk melantik kontraktor-kontraktor Bumiputera bagi Projek Jana Wibawa, sedangkan beliau tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan semua projek itu.

Semua projek ini jelasnya, telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan mengikut peraturan dan tatacara perolehan yang sah, selain beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa untuk meluluskan Rayuan Pembatalan Pengecualian Cukai oleh Yayasan Al-Bukhary.

“Kelulusan rayuan pengecualian cukai ini dibuat oleh Kementerian Kewangan dan saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskannya. Inilah dua dakwaan yang mengakibatkan 7 pertuduhan yang dibuat ke atas saya,” katanya.

Presiden BERSATU itu mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap enam pertuduhan bermotifkan politik serta dendam, kononnya beliau menerima rasuah bagi pihak parti BERSATU dan pengubahan wang haram. – HARAKAHDAILY 10/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -