Isu tauliah: Untuk puaskan nafsu politik berkepentingan?

- Advertisement -

PERTUBUHAN Pendukung dan Pencinta Ulamak memandang berat terhadap isu-isu yang sedang berlaku belakangan ini di dalam negara kita. Terdapat langkah-langkah sumbang yang dilihat seolah-olah cuba menyekat masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara dari beberapa tokoh dan asatizah yang sebenarnya berkelayakan dan telah lama menjalankan usaha usaha dakwah ini. 

Gerakan dan langkah-langkah sumbang yang dilihat teratur serta disambut oleh beberapa pihak berkepentingan ini sedikit sebanyak menjejaskan usaha-usaha dakwah dan penyebaran ilmu yang selama ini subur dijalankan oleh para asatizah. Apakah salahnya seorang ahli politik atau asatizah yang mempunyai ideologi dan pandangan politik sehingga mereka-mereka ini disekat dari menyampaikan agama Allah di masjid-masjid dan surau-surau?

Sedangkan di antara kebanyakan asatizah yang dilarang untuk menyampaikan dakwah dan mengajar itu bukan semuanya tidak bertauliah. Ada yang sudah lepas tapisan dan ujian tauliah pihak agama Islam negeri, namun turut dihalang untuk mengajar hanya kerana ideologi seseorang yang menyertai politik.

Adakah ujian dan tapisan tauliah tidak lagi relevan dalam menapis seseorang untuk menyampaikan agama Allah di bumi Malaysia ini? Apakah sebenarnya isu tauliah ini sengaja digunapakai bukan bertujuan menyekat ajaran-ajaran menyimpang akan tetapi untuk memuaskan nafsu politik beberapa pihak yang berkepentingan dan bermusuhan dengan ideologi kebanyakan asatizah yang disekat? Amatlah melucukan apabila isu yang dibangkitkan ini kononnya untuk mengelakkan masjid dan surau menjadi agenda politik sedangkan isu ini sendiri merupakan agenda dan langkah politik yang berkepentingan. 

Geng Ustaz menyeru para asatizah di seluruh Malaysia supaya bersatu memperjuangkan hak menyebarluaskan dakwah di muka bumi ini. Geng Ustaz juga menggesa supaya pihak berwajib meneliti semula keputusan yang dibuat supaya tidak menjadi wajah-wajah yang mempromosikan sekatan dakwah dan ilmu syariat di bumi Malaysia ini walhal autoriti yang ada sepatutnya digunakan untuk memelihara dan menegakkan agama Allah.

PERTUBUHAN PENDUKUNG DAN PENCINTA ULAMAK (GENG USTAZ)
18 Syabaan 1444H bersamaan 10 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 10/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -