Pasukan Anwar ditimpa kebimbangan kerajaan roboh

Perpaduan dan kestabilan dilaungkan rupanya kaca

- Advertisement -

PELUANG kedua dalam segala apapun yang diperolehi tentulah keberuntungan atau kesempatan sangat berharga dan pasti sukar berulang lagi. Atas keyakinan iman, ianya tidak datang bergolek, tetapi satu pilihan istimewa dan anugerah Allah SWT dalam takdir yang tertulis di Lauh Mahfuz.

Semua makhluk diciptakan-Nya telah ditetapkan hidup dua kali iaitu sementara di dunia dan abadi di syurga atau neraka. Pun begitu, ada hamba yang menyesal di alam kematiannya meminta peluang kedua untuk hidup seketika lagi di dunia supaya dapat berbuat amal kebaikan.

Dalam kehidupan sementara di dunia pun sebenarnya Allah SWT Yang Maha Pemurah telah menyediakan peluang kedua, bahkan berkali-kali dalam banyak ikhtiar atau usaha diizinkan-Nya kepada manusia. Namun, jalannya cuma dua iaitu baik atau buruk, yakni bermaksud pilihan pahala atau dosa, juga patuh atau ingkar.

Bagi manusia yang sedar, insaf dan bijak, mendapat peluang kedua bererti manfaat tidak sepatutnya dipersiakan sama sekali di mana mesti melakukan lonjakan atau penambahbaikan. Bukan bersikap sebaliknya yang lengah lewa serta lalai serta memungkinkan kerugian apatah lagi menatijahkan kerosakan.

Dari kehidupan yang negatif, jatuh, sedih dan gagal, maka peluang kedua harus menjadi lebih positif, bangkit, gembira dan berjaya. Dari keadaan yang lemah, sangsi, takut dan kalah, peluang kedua diubah kepada kuat, yakin, berani dan menang. Namun, tidak semua peluang kedua datang daripada kedudukan yang kurang.

Dalam sejarah negara

Malaysia memahat tidak sedikit sejarah peluang kedua yang hebat dan mengagumkan antaranya Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dua kali menerajui takhta Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Begitu juga Tun Dr Mahathir Mohamad dua kali memimpin selaku Perdana Menteri.

Kelantan juga rakyatnya mencipta sejarah apabila memilih kembali PAS untuk kali kedua pada tahun 1990 dan mengekalkan sokongan padu sehingga hari ini. Ia setelah mengalami realiti politik berada di bawah Umno (1978-1990) dan PAS (1959-1978) sebelum itu.

Terengganu bahkan merekodkan sejarah hampir serupa apabila rakyatnya dua kali menolak pemerintahan Umno. Umno kalah teruk PRU10 (1999) apabila tewas dengan keputusan 4-28. Walaupun diberi peluang kedua dengan menterbalikkan keputusan 28-4 pada PRU11 (2004), namun PRU14 (2018) Umno tewas 10-22 kepada PAS.

Kedah dua kali Dato’ Seri Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar melalui dua komponen berbeza iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Tetapi dua kali juga dia turun jawatan tanpa mencukupkan penggal, bahkan pada kali kedua langsung bertukar menjadi Pembangkang.

Umno-BN mencatat sejarah lebih teruk apabila tersungkur jatuh dari takhta 60 tahun Kerajaan Persekutuan. Namun setelah beroleh peluang kedua menerajui Pusat sehingga bulan ke-13, parti itu mendesak PRU awal. Malangnya Umno tersembam kali kedua dengan lebih teruk apabila cuma menang 30 kerusi.

Pakatan Harapan (PH) juga berjaya mendapat peluang kedua menerajui Kerajaan Persekutuan pasca-PRU15 setelah tumbang di tengah penggal PRU14. Dahulu ‘move’ menaikkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai PM menjadi penyebab ketidakstabilan Kerajaan PH.

Namun kali ini, kerajaan dipimpin Anwar tidak stabil disebabkan pelbagai faktor dalaman gabungan ‘Perpaduan’ itu sendiri. Beliau amat sedar mengenai hal tersebut sebagaimana ucapannya dalam memenuhi Titah YDPA supaya memberi penjelasan mengenai pembentukan kerajaan diketuainya itu.

Pengakuan dan perakuan

“Sepertimana dalam perlumbaan, dia boleh potong kita di pusingan pertama, kita potong dia di pusingan ketiga. Tapi yang pentingnya ialah garis penamat. Ternyata saya peroleh jumlah yang besar kerana orang yang beri pengakuan sebelumnya telah menarik balik sebelum (jam) 2 petang,” kata Anwar.

Penyataan ini sebenarnya satu perakuan bahawa Perikatan Nasional (PN) telah mendahului atau memiliki jumlah yang mencukupi. Namun setelah itu berlaku usaha-usaha di pihak Anwar dan perubahan pengakuan yang memihak kepadanya untuk membentuk kerajaan.

Kedudukan rapuh dan goyah tersebut mungkin antara sebab Anwar dilihat hilang fokus terhadap urusan pentadbiran, sebaliknya lebih terarah kepada saingan politik. Ini mengakibatkan suhu panas politik terus menjulang dan memicu pelbagai polemik serta risiko pertembungan.

Bererti suasana itu timbul berpunca dari pihak Anwar yang merasa terancam dan tergugat oleh permainan dicipta sendiri. Lalu kegusaran bahawa kerajaan dipimpin akan roboh sentiasa menghantui bagaikan dijangkiti ketakutan terhadap bayang-bayang diri sendiri.

Rasa cemas pasukannya semakin tidak dapat dibendung tatkala mendengar ucapan perbahasan RUU Perbekalan 2023 oleh Ahli Parlimen Marang, kelmarin. Lontaran Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS itu pastinya membangkit ‘trauma’ buat mereka.

Kata-kata seorang ulamak

Kerana sosok dicerca hina mereka itulah yang berjaya memimpin agenda Penyatuan Ummah hingga berlakunya Langkah Sheraton disusuli Gelombang Hijau. Kononnya mereka begitu yakin perkara seperti itu tidak berulang, tetapi ucapan Tuan Guru membongkar hati yang retak.

“Kalau partinya yang kecil bergabung dalam keadaan yang rapuh, laksana rumah berdinding kaca, jangan mudah-mudah melontar batu terhadap pihak lain bagi menutup kelemahannya yang ketara. Ini kerana dindingnya menampakkan segala yang berlaku di dalamnya dan mudah pecah berkecai,” ujar beliau.

Ternyata, peringatan tersebut meresah gelisahkan mereka dan sememangnya wajar begitu kerana prasangka buruk sedang bertembung sifat muraqabatullah. Kerana Rasulullah SAW pernah bersabda, “Takutilah pada firasat orang mukmin kerana sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah.” (HR Tarmidzi).

Malah, dalam program Dialog Ulama Negarawan di Hotel Tamu pada sebelah malamnya, beliau ditanya hadirin mengenai masa akan terjadinya keadaan seperti diperingatkannya itu. Lalu dijawab Tuan Guru dengan memetik ayat al-Quran yang bermaksud, “Bila berlakunya?” Katakanlah: “Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!” (Q:17-51)

“Mereka tanya bila berlaku. insya-Allah dekat,” sebut beliau menjawab ringkas pertanyaan tersebut bersandar ayat 51 surah al-Isra’ itu. Bila sampai masa terjadi tragedi tersebut nanti, bermakna Kerajaan PH jatuh lagi yakni untuk kali kedua, iaitu setelah diberikan peluang kedua. Silap siapa? Salah gopoh diri sendiri!

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -