AKSB jawab isu bekalan air untuk mandikan jenazah warga emas

Seorang petugas sedang melakukan operasi penyelenggaraan Loji Rawatan Air Wakaf Bharu, Kelantan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak menerima permohonan daripada keluarga penduduk bagi mendapatkan bekalan air untuk memandikan seorang warga emas yang meninggal dunia di Kampung Paloh, Palekbang pada Jumaat lepas.

- Advertisement -

Pengurus Besar AKSB Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, ketika berlaku gangguan bekalan air baru-baru ini, AKSB membuat penghantaran bekalan air menggunakan dua lori tangki dan empat lori air kontrak ke kawasan yang memerlukan.

Menurutnya, penghantaran bekalan air dibuat memandangkan operasi Loji Rawatan Air Wakaf Bharu ditutup Jumaat lalu bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Notis bagi kerja-kerja penyelenggaraan berjadual dihebahkan lebih awal iaitu melalui akhbar, radio, website (laman web), Facebook, applikasi myAKSB dan infoblast kepada pengguna. 

“Sebagai tambahan notis juga telah disampaikan melalui pembaca meter dan kakitangan jajahan AKSB agar pengguna menyimpan air secukupnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Media baru-baru ini melaporkan sebuah keluarga seorang warga emas yang meninggal dunia di Kampung Paloh, Palekbang terpaksa menghubungi Bomba dan Penyelamat berikutan gangguan bekalan air yang menyukarkan urusan memandikan jenazah.

Tambah Dr Nazmi, AKSB tidak mendapat sebarang permintaan bagi penghantaran bekalan air untuk urusan memandikan jenazah keluarga terbabit.

Bagaimanapun katanya, bekalan air yang dihantar pasukan bomba ke rumah keluarga berkenaan mendapatkan sumber air terawat yang disediakan AKSB.

Menurutnya juga, pengadu yang merupakan cucu kepada warga emas yang meninggal dunia menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu bagi menghantar bekalan air ke rumahnya biar pun bekalan air tersebut merupakan air terawat diuruskan AKSB.

“Pengguna dinasihat sentiasa merujuk serta membuat aduan dalam platform yang disediakan AKSB berkaitan gangguan bekalan air dapat diatasi sebaik mungkin.

“AKSB juga membangunkan aplikasi myAKSB untuk menyalurkan maklumat mengenai gangguan dan aduan bekalan air selain menyediakan talian 15777 atau whatsapp ke 019-5755777 dan email [email protected] untuk memudahkan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2023

- Advertisement -