PBB bimbang jumlah kematian akibat gempa lebih 60,000

Lembah sepanjang 300 meter, dengan kelebaran mencecah 50 meter, sedalam 40 meter terbentuk di kawasan sebuah ladang buah zaitun dalam daerah Altinozu, Hatay, tenggara Turkiye pada 11 Feb 2023 berikutan dua gempa bumi kuat 6 Feb. (FOTO: DHA)
- Advertisement -

HATAY, Turkiye: Jumlah kematian akibat dua gempa bumi kuat yang melanda Turkiye dan Syria yang kini mencecah 36,000 orang setakat 13 Feb, waktu tempatan, menimbulkan kebimbangan ia akan bertambah kira-kira dua kali lebih banyak sehingga mencecah 60,000.

- Advertisement -

Seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths berkata, sukar untuk menganggarkan dengan tepat jumlah kematian mangsa gempa bumi tersebut kerana tidak diketahui berapa ramai lagi yang berada di bawah runtuhan konkrit bangunan,  tetapi beliau pasti ia akan berganda sebanyak dua kali atau lebih, lapor Sky News.

“Itu sangat menakutkan. Ini adalah sifat (alam) menyerang balik dengan cara yang sangat keras.

“Ia amat mengejutkan… idea bahawa ‘gunung’ runtuhan konkrit masih memerangkap mangsa yang  sebahagian daripada mereka masih hidup… Kami belum benar-benar mula mengira jumlah kematian.”

“Ia adalah gempa bumi yang paling dahsyat dalam tempoh seratus tahun,” ungkapnya, sambil menyatakan beliau sangat  mengalu-alukan bantuan antarabangsa yang ditawarkan kepada Türkiye.

Griffiths juga menyeru Damsyik untuk mengambil langkah selanjutnya bagi  menyokong kawasan pembangkang di negara itu selepas membenarkan ketibaan bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Syria yang dilanda perang saudara, yang mana angka kematian  berjumlah 3,575 pada Ahad, selain kira-kira 5,300 yang cedera – kebanyakannya di kawasan yang dikawal pembangkang di bahagian barat laut.

Di kawasan pemberontak di Idlib dan Aleppo pula, sejumlah 2,167 terkorban dan 2,950 cedera, manakala 1,408 kematian dan 2,341 kecederaan dilaporkan di kawasan yang dikuasai kerajaan kerajaan Bashar al-Assad. 

Sementara itu, konvoi bantuan kemanusiaan PBB pertama tiba di barat laut Syria Khamis lalu, hampir empat hari selepas gempa bumi, dan bekalan pertama tidak dihantar sehingga Sabtu. 

21 negara mohon mendarat di Syria

Konvoi PBB baharu pula tiba di barat laut Syria dari Türkiye pada Ahad, tetapi Griffiths menegaskan lebih banyak bantuan sokongan diperlukan. 

Sehubungan itu, kerajaan Syria mengumumkan telah meluluskan penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan yang dikuasai pemberontak di luar kawalannya di Idlib dan konvoi itu sepatutnya berlepas pada Ahad, walaupun ia kemudian ditangguhkan.

Sementara itu, Pengarah Penerbangan Awam Syria, Basem Mansour mengumumkan bahawa bilangan negara yang meminta kebenaran mendarat di lapangan terbang Syria untuk memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat gempa bumi mencecah 21. 

Dalam satu kenyataan kepada agensi berita SANA, Mansour berkata bahawa empat negara mengemukakan permintaan pendaratan dlam 24 jam lepas, dan telah diluluskan, iaitu, Arab Saudi, Cyprus, Sudan dan Belarus.

“Syria mengalu-alukan dan berterima kasih kepada semua pihak yang menyumbang untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi yang dahsyat, dan akan menerima pendaratan pesawat dari semua negara yang ingin menghantar bantuan,” katanya.

Dalam pada itu di Türkiye, berpuluh-puluh orang telah ditangkap kerana merompak di tengah-tengah keadaan musim sejuk yang teruk dalam pada masa sama  penduduk terus membidas tindak balas kerajaan yang perlahan dan kualiti buruk dalam menangani kira-kira 12,000 bangunan yang runtuh atau terjejas teruk angkara dua gempa bumi maut itu. 

Pihak berkuasa Turkiye juga  telah menahan 12 orang, termasuk beberapa pemaju hartanah, berhubung isu ini.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 26 juta orang terjejas akibat gempa bumi itu dan melancarkan rayuan segera untuk mengumpul AS$2.8 juta bagi membiayai keperluan kesihatan yang mendesak.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa Majlis Keselamatan membenarkan pembukaan lebih banyak titik lintasan sempadan untuk menghantar bantuan ke kawasan pemberontak Syria dari Türkiye.

Tenaga 500 bom atom

Mengenai peluang mencari lebih ramai mangsa yang terselamat, Griffith berhujah bahawa “pasukan penyelamat mengatakan 72 jam adalah tempoh keemasan (untuk menyelamat)… tetapi baru-baru ini mereka telah menarik keluar seseorang dalam keadaan hidup sejam dua lalu,” akuinya. 

“Mesti sukar untuk memutuskan bila untuk menghentikan fasa menyelamat ini dan beralih ke fasa seterusnya yang juga akan menghadapi masalah,” tambahnya.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana (AFAD) Türkiye pada Sabtu lalu berkata, dua gempa bumi dahsyat yang melanda Türkiye dan Syria pada Isnin lalu mempunyai kesan dan tenaga menyamai 500 bom atom,

Pengurus Besar Pengurangan Risiko Gempa Bumi agensi itu, Orhan Tatar berkata lebih 2,000 gegaran susulan telah berlaku berikutan gempa itu, yang kebanyakannya mempunyai magnitud melebihi 4 pada skala Ritcher. 

“Kita sedang menghadapi bencana yang jauh melebihi jangkaan kita,” kata Tatar yang menurutnya, ‘kesan pemusnahan’ gempa bumi pertama adalah dalam tempoh 65 saat, manakala yang kedua berlangsung selama 45 saat.

“Kawasan pusat gempa  itu digoncang dengan sangat kuat selama kira-kira 2 minit,” ujarnya lagi.

Menurut agensi berita Türkiye, Anadolu Agency, kira-kira 32,000 orang telah dikerah dalam operasi  mencari dan menyelamat yang turut disertai  lebih daripada 8,000 penyelamat asing pelbagai negara termasuk Malaysia, Korea Selatan dan India. – HARAKAHDAILY 14/2/2023

- Advertisement -