CPTPP: Impak terhadap sektor pertanian

- Advertisement -

PENDAHULUAN

- Advertisement -

[1] CPTPP adalah perjanjian perdagangan bebas yang dibentuk oleh 11 negara iaitu Australia, Brunei Darussalam, Canada, Chile, Japan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapore dan Vietnam (CPTPP: Overview and Issues for Congress, 2022).

Malaysia telah meratifikasi CPTPP disebabkan keadaan persekitaran ekonomi global yang tidak stabil dan perjanjian tersebut dikuatkuasa pada 29 November 2022. 

Bahkan, kerajaan baharu kali ini juga masih meneruskan CPTPP tanpa melakukan penilaian semula terhadap perjanjian tersebut. 

Dalam teks perjanjian CPTPP mempunyai 30 bab yang merangkumi 6 bab mengenai perdagangan konvensional barangan. 

Manakala 24 bab lagi tidak berkait dengan perdagangan seperti harta intelek, buruh, persekitaran, pembangunan, perolehan kerajaan dan lain-lain (Amir, 2021). 

Laporan daripada Kos dan Faedah (CBA) menyatakan pelbagai manfaat positif yang diperoleh Malaysia dalam meratifikasi CPTPP antaranya termasuk peningkatan [2] KDNK negara. 

Ia sekali gus dapat merancakkan ekonomi negara dalam pemulihan pasca COVID-19. 

Malahan, CPTPP juga dapat mempertingkat akses pasaran negara, memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur luar untuk memulakan pelaburan di negara ini dan meningkatkan tenaga mahir negara serta mewujudkan pertukaran teknologi baharu yang melibatkan negara-negara luar. 

Walau bagaimanapun, CPTPP juga memberi impak yang lebih besar secara keseluruhannya kepada negara terutama golongan yang terkesan iaitu melibatkan syarikat tempatan, petani, pesawah, penternak dan lain-lain. 

Perjanjian CPTPP yang high level dan rumit sukar difahami oleh golongan biasa. 

Apatah lagi, peraturan-peraturan yang terdapat dalam perjanjian ini sedikit sebanyak menghalang dasar dan polisi kerajaan dalam menjaga dan melindungi hak-hak rakyat Bumiputera.

Hakikatnya, perjanjian ini lebih tertumpu kepada agenda syarikat multinasional berbanding menjaga kepentingan rakyat tempatan. 

Bahkan, persaingan yang tinggi juga akan wujud antara syarikat luar dan syarikat tempatan yang memberi akan implikasi kepada negara. 

Sehubungan itu, selain pengenalan mengenai CPTPP, sudut pandang positif CPTPP berdasarkan laporan CBA juga dinyatakan dalam penulisan ini. 

Impak besar CPTPP kepada golongan rakyat biasa seperti petani, nelayan, penternak dan syarikat tempatan juga turut dihuraikan kerana mereka antara golongan yang sangat terkesan apabila CPTPP ini diratifikasi dan menggugatkan keterjaminan makanan negara.

Apa itu CPTPP?

CPTPP merupakan perjanjian daripada kesinambungan [3] TPPA yang telah ditambahbaik secara keseluruhannya.

Perjanjian perdagangan bebas ini telah dibentuk dan dirunding semula oleh 11 negara selepas Amerika Syarikat di bawah pemerintahan Trump menarik diri daripada TPPA pada tahun 2017 (CPTPP: Overview and Issues for Congress, 2022). 

Pada 8 Mac 2018 secara rasminya CPTPP ditandatangani oleh 11 negara tersebut. 

CPTPP yang ditambahbaik daripada perjanjian TPPA yang berat sebelah sehingga kini telah dianggotai oleh Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand dan Singapura yang telah meratifikasi CPTPP sejak 30 Disember 2018. 

Manakala, Vietnam pada 14 Januari 2019 dan Peru pada 19 September 2021. 

Malaysia pula merupakan antara negara ke-9 yang meratifikasi perjanjian CPTPP pada 5 Oktober 2022. 

Selain itu, Brunei dan Chile telah menandatangani perjanjian tersebut tetapi belum mengesahkannya.

CPTPP mengandungi 30 bab undang-undang iaitu enam berkaitan dengan perdagangan manakala bakinya mengenai bukan perdagangan. 

Bahkan, dalam perjanjian ini juga meletakkan beberapa peraturan baharu seperti penyelesaian pertikaian pelabur-negara (ISDS), hak harta intelek, perolehan kerajaan, perusahaan milik kerajaan, perdagangan elektronik, perusahaan kecil dan sederhana, buruh dan persekitaran. 

CPTPP boleh dikatakan melangkaui semua akses pasaran untuk perkhidmatan, pelaburan dan barangan selari dengan penyelarasan peraturan perdagangan baharu merentas pelbagai sektor. 

Sudut pandang positif CPTPP 

Laporan terakhir CBA oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada Mac 2022 telah menyatakan Malaysia akan memperoleh manfaat ekonomi bersih dalam meratifikasi CPTPP dan dapat memulihkan serta merancakkan ekonomi negara dalam pasca COVID-19 (PricewaterhouseCoopers, 2022). 

Perkara ini disetujui oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang menjadikan laporan CBA sebagai indikator dalam keperluan Malaysia meratifikasi CPTPP.

Antara perkara pokok yang menjadi keutamaan kajian CBA ini adalah bagi menilai potensi manfaat ekonomi yang diperoleh Malaysia apabila meratifikasi CPTPP. 

Antaranya peningkatan KDNK sebanyak USD56.5 bilion dari tahun 2021 hingga 2030 iaitu 1.9 peratus KDNK yang meningkat pada tahun 2030. 

Selain itu, pelaburan tambahan bernilai USD112.3 bilion sepanjang tahun 2021 hingga 2030 yang menyaksikan unjuran Malaysia memperoleh lebihan dagangan berterusan sebanyak 8.5 peratus dalam KDNK pada 2030 (IDEAS, 2022). 

Malahan, apabila dua negara besar iaitu UK dan China menganggotai CPTPP, tidak mustahil KDNK akan meningkat kepada 4.2 peratus iaitu berjumlah USD125.4 bilion pada tahun 2030 yang sudah pasti melebihi angka dasar untuk tempoh yang sama (PricewaterhouseCoopers, 2022).

Berdasarkan rajah 3 menunjukkan unjuran impak positif ekonomi Malaysia dalam meratifikasi CPTPP dengan menggunakan model Computable General Equilibrium (CGE).

Impak besar CPTPP 

Penguatkuasaan CPTPP sebenarnya mempunyai impak yang begitu besar sehingga memberi kesan terhadap rakyat Malaysia untuk jangka yang panjang. 

Apatah lagi, perjanjian ini lebih memberi manfaat besar kepada pelabur asing mahupun syarikat-syarikat luar (multinasional corporation) yang lebih mengaut keuntungan dalam negara kita berbanding menjaga kebajikan dan hak-hak rakyat tempatan. 

Sudah pastinya, golongan yang terkesan seperti petani, nelayan, pesawah dan penternak membantah perjanjian ini yang tidak menguntungkan malah merugikan mereka. 

Di samping itu, perjanjian ini turut memberi kesan terhadap syarikat tempatan [4] PMKS dari sudut persaingan dengan lambakan barangan import dalam semua industri dengan penghapusan tarif import diperkenalkan. 

Semua orang percaya apabila tarif import dihapuskan, sudah tentu pemasaran barangan buatan PMKS terpaksa bersaing dengan syarikat asing yang menyebabkan mereka mengalami kerugian selain kehilangan lebih ramai pekerja tempatan. 

Apatah lagi peluang perniagaan untuk usahawan tempatan semakin tipis apabila pelabur asing diberikan kebebasan dalam menyediakan perkhidmatan dan sebagainya tanpa had limit dalam negara ini (Zek Master, 2022). 

Antara sebab lain yang menjadi kebimbangan ramai pihak dalam kerajaan meratifikasi CPTPP adalah mekanisme [5] ISDS sendiri yang lebih berpihak kepada pelabur asing untuk menyaman negara anggota CPTPP di luar negara sekali gus boleh menjejaskan kedaulatan negara.

Apatah lagi, kos perundangan yang tinggi juga terpaksa ditanggung oleh kerajaan apabila pelabur asing menyaman ganti rugi kepada kerajaan menggunakan mekanisme ISDS (Hazwan Faisal, 2023).

Di samping itu, dalam bab pelaburan dan perolehan kerajaan, ia dianggap melanggari undang-undang dalam CPTPP apabila dasar kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum dilakukan. 

Sudah pasti, perkara ini akan terus meningkatkan jurang antara kaum dan kaum Melayu akan terus terpencil apabila yang mendominasikan ekonomi di bandar adalah kaum minoriti. 

Antara menjadi persoalan, adakah perjanjian ini benar-benar membantu ekonomi negara ataupun tanpa sedari menggugatkan keistimewaan orang Melayu apabila pelabur asing dan pelabur tempatan harus diberi layanan sama rata? 

Implikasi kepada sektor pertanian

1. Hak petani dinafikan.

Merujuk kepada Artikel 18.7.2 dalam bab 18 harta intelek CPTPP menyatakan kewajipan parti (anggota negara) untuk menyertai Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 1991 (UPOV) 1991. 

Article 18.7: International Agreements 

2. Each Party shall ratify or accede to each of the following agreements, if it is not already a party to that agreement, by the date of entry into force of this Agreement for that Party: UPOV 1991(Canada, 2016).

Konvensyen yang ditubuhkan pada 1961 merupakan organisasi antara kerajaan yang berpusat di Geneva, Switzerland (Tang Daren, 2021).

Terdapat banyak kelompangan dan ketidakadilan dalam konvensyen ini yang secara jelas tidak sesuai untuk diaplikasikan dalam negara ini. 

Antaranya, Konvensyen UPOV 1991 telah mewujudkan hak harta intelek yang lebih berpihak kepada hak pembiak baka tumbuhan negara asing berbanding pembiak baka tumbuhan atau penyelidik awam tempatan di Malaysia. 

Harta intelek ini secara terang-terangan telah menjejaskan kepelbagaian biologi negara, hak dan kepentingan para petani serta penyelidik tempatan benih tumbuhan. 

Dalam pada itu, konvensyen tersebut hanya membenarkan para petani untuk menyimpan benih sahaja.

Manakala para petani tidak dibenarkan menjual dan berkongsi benih walhal hasil daripada ladang mereka sendiri. 

Sudah pasti, ianya bertentangan dengan amalan tradisi turun-temurun petani tempatan yang menjadi kebiasaan bagi mereka untuk menyimpan, menjual dan berkongsi benih yang dihasilkan diri tanpa sekatan selagi tidak dikomersialkan secara besar-besaran.

Walhal, induk yang digunakan bagi mendapat varieti baharu sudah tentu daripada varieti tradisional iaitu hasil yang dibiakkan oleh para petani tempatan secara turun-temurun. 

Bahkan, petani juga sama sekali tidak dibenarkan melakukan inovasi benih yang dihasilkan mereka sendiri. 

Banyak perkara dalam konvensyen ini bercanggah dengan Undang-undang Malaysia yang sedia ada iaitu Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (PNPV 2004).

Apatah lagi, PNPV 2004 secara jelas membenarkan para petani menyimpan, berkongsi dan menjual benih yang diusahakan oleh mereka secara bebas tanpa dilakukan secara komersial. 

2. Hak nelayan kecil dinafikan.

Hak para nelayan kecil untuk menangkap ikan di laut juga terjejas apabila Malaysia meratifikasi CPTPP. 

Perkara ini merujuk kepada Artikel 20.16 dalam teks CPTPP menyatakan sekiranya nelayan menangkap spesis ikan yang dikategorikan sebagai spesies berkurangan kerana terlalu banyak ditangkap, subsidi untuk nelayan boleh disekat. 

Tidak dinafikan tujuan peraturan ini diadakan untuk melindungi spesies ikan yang semakin berkurang, namun begitu permasalahan ini tidak boleh diletakkan kepada nelayan kecil yang merupakan punca sampingan sahaja dan bukannya punca utama atau pencetus (Amir, 2022). 

Sepatutnya kekurangan mahupun kepupusan spesis ikan tertentu di laut perlu ditangani secara lebih komprehensif bukannya menuding jari ke atas nelayan kecil. 

Isu kekurangan spesies ikan tertentu seharusnya dilihat secara menyeluruh dan spesifik akan punca-puncanya. 

Tidak mustahil, kepupusan spesies ikan disebabkan pencemaran dan penggunaan pukat haram oleh bot-bot tunda besar secara berleluasa tanpa kawalan. 

Dengan wujudnya peraturan sedemikian, sudah pasti sumber pendapatan nelayan akan semakin merosot. 

Ia juga tidak termasuk dengan pencerobohan nelayan asing yang sering menceroboh perairan negara dengan mengaut hasil laut sewenang-wenangnya.

3. Kos petani dan penternak meningkat.

Selain petani terpaksa membayar royalti benih bagi jangka masa yang lama, para petani juga terpaksa menanggung harga benih yang akan lebih meningkat empat kali ganda apabila kerajaan meratifikasi konvensyen UPOV 1991. 

Konvensyen ini akan menyebabkan kos benih padi dan racun pertanian akan melambung tinggi sehingga menjejaskan hasil tanaman yang diusahakan oleh petani sekali gus menjejaskan keterjaminan makanan negara.

Di samping itu, para penternak juga tidak terkecuali terpaksa menanggung kos ubat-ubatan veterinar yang lebih mahal akibat daripada bab harta intelek dalam perjanjian CPTPP. 

Persoalannya, sejauh mana jaminan yang diberikan kerajaan bagi memastikan kos petani dan penternak tidak melambung tinggi apabila kerajaan meratifikasi CPTPP?

Kesimpulan 

Dapat dirumuskan bahawa CPTPP mempunyai penilaian dua aspek yang berbeza apabila Malaysia meratifikasi perjanjian ini iaitu pandangan sudut positif ekonomi dan implikasi besar yang melibatkan golongan rakyat tempatan. 

Sudut positif perjanjian CPTPP ini dikatakan dapat meningkatkan KDNK dengan memberi akses pasaran yang lebih luas susulan pengurangan dan penghapusan duti import ke atas barangan eksport Malaysia. 

Namun begitu, analisis dan kajian yang dilakukan dalam CBA tidak menyeluruh dan separuh masak kerana implikasi perjanjian CPTPP terhadap petani, nelayan, penternak dan usahawan serta syarikat tempatan tidak dinyatakan secara jelas dalam laporan tersebut yang menyebabkan hanya satu sudut positif sahaja dinilai. 

Dalam pada itu, ada juga beberapa pihak yang tidak berkecuali dalam menentang keras CPTPP terutama dalam kalangan persatuan nelayan, petani dan penternak yang cukup-cukup terkesan akan perjanjian tersebut. 

Malahan, mereka menggesa kerajaan baharu untuk menarik semula CPTPP kerana mempunyai banyak impak yang lebih besar untuk jangka panjang terutama dalam sektor pertanian dan PMKS. 

Sehubungan itu, kerajaan disarankan membuat kajian dan penelitian secara lebih holistik dengan melakukan lebih kerap libat urus semua pihak yang terlibat sama ada pakar-pakar yang melibatkan ekonomi, pertanian dan sebagainya, persatuan dan wakil-wakil petani, nelayan, penternak serta pertubuhan bukan kerajaan. 

Hal ini kerana, bagi memastikan impak negatif CPTPP tidak mengugatkan kedaulatan dan keterjaminan bekalan makanan negara untuk masa akan datang. 

Banyak pihak sama ada ahli politik, pakar-pakar dan NGO yang berbeza latar belakang dan berkepentingan memberi kenyataan dan pendirian berbeza dari sudut positif dan negatif CPTPP yang merangkumi politik, ekonomi, sosial dan termasuk keterjaminan makanan negara demi menjaga kepentingan masing-masing. 

Meskipun, Perjanjian CPTPP ditambahbaik daripada Perjanjian TPPA mengikut kesesuaian negara-negara selepas Amerika Syarikat menarik diri, namun begitu CPTPP juga dilihat tidak kurang menyumbang implikasi kepada negara terutama dalam sektor pertanian. 

Kerajaan seharusnya mengutamakan kemaslahatan rakyat berbanding kepentingan tersendiri.

Rujukan:

[1] Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik.
[2] Keluaran Dalam Negara Kasar.
[3] Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik.
[4] Perbadanan Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana.
[5] Penyelesaian Pertikaian Pelabur Negara.
[6] Amir, F. (2021). CPTPP dan Sektor Pertanian.
[7] Amir, F. (2022). Memorandum CPTPP. [8] Canada, G. (2016). Consolidated TPP Text Chapter 18 Intellectual Property Section A : General Provisions. 1–103. 
[8] CPTPP: Overview and Issues for Congress. (2022). https://crsreports.congress.gov 
[9] Hazwan Faisal. (2023). CPTPP: Ada Kos Tersembunyi. Berita Harian. https://origin.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/01/1057408/cptpp-ada-kos-tersembunyi-ratifikasi-wajar-ditarik-balik-jomo IDEAS. (2022). 
[10] IDEAS mengalu-alukan Analisis Kos-Manfaat CPTPP dan menggesa ratifikasi perjanjian menjelang akhir tahun 2022. CBA CPTPP.
[11] PricewaterhouseCoopers. (2022). CPTPP Cost Benefit Analysis Final Report for Publication. 
[12] Tang Daren. (2021). What is UPOV? 
[13] Zek Master. (2022). CPTPP: Apa Yang Anda Perlu Tahu.

NOR SUZANA YUSOF
Penyelidik TSIS Kluster Alam Sekitar, Sumber Asli & Asas Tani – HARAKAHDAILY 14/2/2023

- Advertisement -