Jumlah korban gempa bumi Turkiye-Syria hampiri 24,000

Visual menunjukkan banyak bangunan tinggi kediaman penduduk yang runtuh menyembah bumi dirakam di Hatay, Turkiye pada 9 Feb 2023. (FOTO: DW)
- Advertisement -

GAZIANTEP, Turkiye: Jumlah kematian mencecah hampir 24,000 disahkan di tenggara Turkiye dan barat laut Syria akibat gempa bumi paling dahsyat di rantau itu dalam tempoh 20 tahun –  empat hari selepas dua gempa bumi kuat melanda pada Isnin (6 Feb) lalu.

- Advertisement -

Laporan mengenai jumlah kematian terkini di Turkiye dan Syria dilaporkan pada hari ini (11 Feb) termasuk media-media antarabangsa yang berkaliber termasuk Al Jazeera, Associated Press (AP), The Guardian, JogoNews24.com, dan The Wall Street Journal.

Menurut laporan AP, jumlah kematian akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria kini menghampiri angka 24,000 dan 80,000 yang lain mengalami kecederaan, sementara jumlah mangsa yang kehilangan tempat  tinggal mencecah angka lebih sejuta.

Berikut maklumat terkini sebagaimana dilaporkan Al Jazeera pada hari ini, 11 Feb 2023:

– Angka kematian mencecah lebih 23,700 di tenggara Turkiye dan barat laut Syria ketika usaha menyelamat diteruskan.

– Jumlah kematian yang dicatat semalam, Jumaat (10 Feb) di Turkiye meningkat kepada lebih 20,213 manakala lebih 3,500 terbunuh di Syria.

– Korban akibat gempa bumi pertama berukuran 7.7 magnitud, yang melanda pada jam 4.17  pagi Isnin (6 Feb) serta beberapa gegaran susulan kuat, sehubungan itu telah melepasi jumlah lebih 17,000 yang terkorban pada 1999 apabila gempa bumi yang sama kuat melanda barat laut Turkiye.

– Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  berkata, kira-kira 5.3 juta penduduk di Syria kehilangan tempat tinggal selepas gempa bumi tersebut, manakala hampir 900,000 penduduk sangat memerlukan bekalan makanan panas di Turkiye dan Syria.

– Media kerajaan melaporkan bahawa kerajaan Syria telah meluluskan penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan yang dilanda gempa bumi di luar kawalannya.

– Pihak berkuasa Turkiye berkata, ia sedang berusaha untuk membuka dua laluan baharu ke bahagian Syria yang dikuasai pemberontak.

– Operasi mencari dan menyelamat disifatkan sebagai ajaib diteruskan lebih 100 jam selepas gegaran gempa bumi pertama melanda pada 6 Feb lepas. – HARAKAHDAILY 11/2/2023

- Advertisement -