Bangkit merintis perdamaian kekal antara Turkiye, Syria

- Advertisement -

PADA 6 Februari yang lalu, kita dikejutkan dengan kejadian gempa bumi berukuran antara 7.4 – 7.8 magnitud yang amat dahsyat di selatan Turkiye dan utara Syria. Ketika ini jumlah angka korban telah melepasi angka 21,000 ribu dengan ribuan lagi yang mengalami kecederaan dan kehilangan tempat tinggal.

- Advertisement -

Jumlah angka korban dijangka terus meningkat berikutan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa masih lagi diteruskan dan harapan untuk menemui mangsa yang terselamat semakin tipis setelah beberapa hari telah berlalu.

Gempa bumi tersebut juga telah mengakibatkan kemusnahan yang amat besar di kedua-dua negara terutamanya kediaman, perniagaan dan juga infrastruktur. Akan tetapi keadaan di Syria amat mencabar berikutan suhu yang amat sejuk dan kemusnahan besar kem-kem pelarian yang menjadi tempat berlindung sebilangan besar warganya di utara negara tersebut.

Di anggarkan kerugian harta benda dan ekonomi akibat daripada gempa bumi tersebut mencecah USD2 – 4 billion dan dijangka memakan masa bertahun lamanya untuk memulih dan membangunkan semula ekonomi, bandar dan kampung-kampung yang musnah teruk akibat kejadian tersebut.

Ketika ini dunia terutamanya negara-negara Dunia Islam sedang bersolidariti dengan Turkiye dan Syria serta menghulurkan pelbagai jenis bantuan samada dengan menghantar pasukan mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan dan kewangan.

Namun disebalik kejadian yang menyayat hati tersebut, sebenarnya hubungan antara Turkiye dan Syria masih lagi agak dingin dan sedang dalam proses pemulihan dengan bantuan Rusia sebagai pengantara.

Sebelum ini telah berlangsung pertemuan di peringkat tertinggi antara pegawai dan diplomat kedua-dua negara yang berjalan lancar sebelum dimuktamadkan dengan pertemuan antara Recep Tayyip Edrogan dan Basyar Al Assad yang sedang diusahakan Rusia.

Agenda utama imperialis Barat di Timur Tengah adalah untuk mengekal dan mengukuhkan cengakaman serta hegomoninya termasuk mengaut hasil mahsul bumi yang kaya di rantau tersebut. Di samping itu juga, ia bertujuan untuk menjaga keselamatan dan menguatkan negara haram Israel supaya menjadi negara yang tidak mampu ditandingi di rantau tersebut.

Maka untuk melampiaskan tujuannya, Barat bertindak melaga-lagakan negara-negara Timur Tengah dengan merosakkan hubungan sesama mereka dan “membangkitkan“ perang psikologi seperti membangkitkan ketegangan antara mazhab, kaum dan puak yang bertujuan untuk melonggarkan dan “memecahkan“ ikatan dan ukhuwah yang selama ini disandarkan atas Islam sebagaimana seperti yang kita lihat hari ini yang mengakibatkan konflik dan peperangan yang berterusan.

Ketegangan antara Turkiye dan Syria bermula selepas berlakunya Arab Spring yang bermula di Tunisia dan merebak di kebanyakan negara-negara Arab.

Ramai penganalisa geopolitik dunia berpandangan bahawa sebenarnya Arab Spring dicetuskan oleh Barat bertujuan untuk mewujudkan ketidakstabilan di Timur Tengah dan seterusnya memudahkan mereka melakukan regime change di negara-negara yang “tidak mesra“ dan menjadi seteru kepada Barat dan negara haram Israel.

Sebelum berlakunya Arab Spring, boleh dikatakan keadaan dan hubungan antara negara-negara Timur Tengah agak stabil termasuk juga antara Turkiye dan Iran walaupun sedikit sebanyak berlaku juga konflik antara mereka.

Namun selepas berlakunya Arab Spring, Timur Tengah menjadi porak peranda dengan krisis berlaku di Syria, Yaman, Mesir, Tunisia, Iraq, Qatar, Libya dan Lubnan yang jelas dilihat hari ini memberi manfaat yang amat besar kepada Barat dan sudah semestinya negara haram Israel.

Syria antara negara utama yang menjadi sasaran Barat ketika berlangsungnya Arab Spring untuk mencetuskan ketidakstabilan seterusnya melakukan regime change. Presiden Syria, Basyar Al Assad dianggap Barat sebagai seteru berikutan sikap tidak mesra Barat dan menjadi sekutu utama Iran dan Rusia di samping menjadi ancaman utama kepada negara haram Israel berikutan sikap anti zionis tegar yang dipaparkan serta memberikan sokongan kuat kepada kumpulan pejuang Palestin.

Di samping itu juga kedudukan Syria yang amat strategik berserta hasil buminya yang banyak menjadikannya sasaran utama untuk Barat bagi mengekal dan memperluaskan hegemoninya di samping mampu menjadikan negara haram Israel lebih selamat dan berpengaruh. Akibat muslihat dan tipudaya Barat, majoriti negara-negara Timur Tengah menentang Syria.

Dengan muslihat dan tipudaya itu juga, Barat berjaya mengheret Turkiye secara tidak langsung untuk bersama-sama dengan mereka dalam konflik tersebut. Tidak lama selepas itu, kritikan Recep Tayyip Erdogan ke atas Basyar Al Assad ketika gelombang Arab Spring melanda Syria mula memburukkan hubungan antara kedua-kedua negara.

Keadaan bertambah buruk apabila Barat menjadikan Turkiye sebagai “markas“ utama mereka dalam menjalankan pelbagai operasi ke atas Syria dan secara beransur-ansur menjadikan Turkiye terbabit secara langsung bersama Barat dalam konflik di Syria. Keadaan seterusnya menjadi amat tegang antara kedua-dua negara apabila tentera Syria menembak jatuh jet pejuang Turkiye dan seterusnya berlangsung pertempuran hebat antara tentera kedua-dua negara di sempadan Turkiye dan Syria.

Namun kini semuanya bakal menjadi sejarah kerana dengan izin dan rahmat Allah SWT, kebenaran akhirnya berjaya mengatasi kebatilan di mana muslihat dan tipudaya Barat akhirnya terlerai dan terbongkar.

Sejak tahun lalu jalan perdamaian telah mula dirintis antara negara-negara Timur Tengah dan Syria. Pertemuan antara pemimpin-pemimpin dan diplomat tertinggi negara Arab dan Basyar Al Assad telah beberapa kali berlangsung dalam usaha untuk memulihkan hubungan dan mula berjalan lancar. Liga Arab turut memberikan petanda positif dengan memulakan inisiatif untuk memasukkan semula Syria ke dalam pertubuhan tersebut.

Kini tiba pula giliran Turkiye dan Syria untuk memulih dan mengeratkan kembali hubungan diplomatik. Jika kedua-dunya berjaya menangani segala permasalahan berbangkit yang menjadi punca ketegangan mereka sebelum ini, percayalah bahawa perdamaian dan ukhuwah akan mampu dicapai dengan jayanya.

Dalam masa yang sama Barat tidak akan duduk diam dan senang dengan perkembangan yang berlaku kerana semestinya ia akan menjadi ancaman besar kepada mereka dalam usaha untuk terus mengekalkan penguasaan dan hegemoninya baik ke atas rantau Timur Tengah serta menjaga keselamatan Israel.

Jika segala usaha perdamaian ini disandarkan atas Islam, ukhuwah dan perpaduan, percayalah bahawa ia pasti akan berjaya direalisasikan kerana sesungguhnya Islam adalah asas kepada penyatuan dan perpaduan ummah. Insyallah dengan rahmat dan ihsan Allah SWT, tidak lama lagi akan terbentanglah jalan perdamaian yang berkekalan antara Syria, Turkiye dan negara-negara Timur Tengah yang kemudiannya akan menstabilkan rantau Asia Barat seterusnya memerdekakan bumi Palestin.

Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan dan keselamatan saudara-saudara kita di Turkiye dan Syria yang sedang dilanda ujian yang amat berat ketika ini. Semoga Allah SWT meringankan beban yang ditanggung mereka seterusnya menguatkan semangat untuk bangkit kembali dalam membina kehidupan dan masa depan mereka.

Malaysia Sejahtera.

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 11/2/2023

- Advertisement -