
ISTANBUL: Jumlah bilangan mangsa yang terkorban susulan gempa bumi di Turkiye dan Syria boleh mencecah sehingga 20,000 orang dalam tempoh beberapa hari akan datang ini.
Jumlah kematian di Turkiye sehingga jam 9 pagi Selasa (7 Feb), waktu tempatan, kini meningkat kepada 3,381, manakala di Syria pula 1,444 menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban mencecah 4,825, lapor Anadolu Agency yang memetik kenyataan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye dan Syria.
Sehubungan itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengeluarkan amaran bahawa jumlah kematian boleh meningkat kepada lebih daripada empat kali ganda angka tersebut, atau kira-kira 20,000, dalam beberapa hari akan datang.

Terdahulu, ketika jumlah keseluruhan angka kematian di kedua-dua negara dicatat pada 2,600, Pegawai Kanan Kecemasan WHO untuk Eropah, Catherine Smallwood memberitahu AFP, terdapat potensi bangunan runtuh yang berterusan akan berlaku, khususnya di Turkiye.
“Maka, apa yang sering dilihat, jumlah korban adalah dalam susunan lapan kali ganda peningkatan daripada jumlah awal – ia boleh mencecah sehingga 20,000 orang,” katanya yang menekankan fakta berdasarkan laporan awal bilangan mangsa yang telah meninggal dunia atau yang cedera akan meningkat dengan ketara pada minggu berikutnya
Sementara, misi menyelamat antarabangsa telah bergegas ke Turki dan Syria selepas salah satu gempa bumi paling kuat melanda wilayah di kedua-dua negara itu dalam tempoh sekurang-kurangnya satu abad menyebabkan lebih 4,800 orang terkorban, ribuan cedera dan bilangan yang tidak diketahui terperangkap dalam runtuhan.

Gempa awal pagi Isnin (6 Feb) dan berpuluh-puluh gegaran susulan meruntuhkan majoriti blok pangsapuri di Turkiye dan menimbulkan lebih banyak kemusnahan ke atas komuniti Syria yang sudah musnah akibat perang selama sedekad.
Gempa bumi pertama melanda ketika orang ramai tidur dan mengukur magnitud 7.8, menjadikannya salah satu yang paling kuat di rantau ini dalam sekurang-kurangnya tempoh satu abad.
Ia dirasai sejauh Cyprus dan Kaherah, Mesir, yang mana Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC) berkata, data awal menunjukkan gempa besar kedua berukuran 7.7 magnitud dan berpusat 67 kilometer (42 batu) timur laut Kahramanmaraş, Turki, pada kedalaman 2km.
Pada tahun 1999, apabila gempa bumi dengan magnitud yang sama melanda wilayah timur Laut Marmara yang berpenduduk padat berhampiran Istanbul, lebih daripada 17,000 terkorban.

Sementara, pegawai pengurusan bencana Turki, Orhan Tatar berkata, lebih 7,800 mengsa berjaya diselamatkan di 10 wilayah negara itu
Setakat 6 pagi, awal 13,000 pekerja penyelamat, kebanyakannya sukarelawan, telah meninggalkan Istanbul untuk membantu di kawasan terjejas, lapor agensi berita, Sabah Daily yang memetik kenyataan Gabenor Istanbul.
“Ramai pekerja penyelamat menuju ke Hatay, sebuah wilayah terletak di sebelah selatan Turki di bahagian tengah, di pesisir Laut Tengah dan bersempadan dengan Syria – lokasi di mana, menurut laporan, terdapat kemarahan yang semakin meningkat dalam kalangan orang ramai kerana kekurangan bantuan untuk mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Dalam pada itu, ketua perkhidmatan pertahanan awam yang dikendalikan parti pembangkang Syria pada hari ini, Selasa (7 Feb) berkata, beratus-ratus keluarga masih terperangkap di bawah runtuhan.

“Masa semakin suntuk untuk menyelamatkan ratusan keluarga yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang musnah selepas gempa bumi dahsyat minggu ini,” katanya.
Dalam pada itu, Associated Press melaporkan bahawa kebakaran di pelabuhan İskenderun, Turkiye di Laut Mediterranean susulan dua gempa bumi pada Isnin (6 Feb), berterusan untuk hari kedua pada hari ini, Selasa (7 Feb).
Imej siaran televisyen tempatan menunjukkan asap hitam tebal naik dari bekas terbakar yang telah tumbang apabila gempa melanda pada Isnin.
Agensi berita milik kerajaan Turki, Anadolu Agency berkata, sebuah kapal pengawal pantai Turkiye sedang membantu usaha memadamkan kebakaran tersebut. – HARAKAHDAILY 7/2/2023