Tan Sri Noh Omar yang saya kenali (2)

- Advertisement -

DALAM PRU ke-14, di Selangor Umno cuma menang dua kerusi Parlimen kemudiannya tinggal satu apabila MP Sabak Bernam melompat ke BERSATU dan empat DUN. PAS pula gagal menang walau satu kerusi di Parlimen dan hanya bertahan dengan satu kerusi DUN. PH ketika itu menang besar menyapu kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di negeri ini.

Ternyata apabila parti-parti Melayu bersaing sesama sendiri sebagaimana dalam PRU 14 khasnya di Selangor, undi Melayu akan berpecah dan ini memberi kelebihan pada PH kerana melalui DAP mereka akan mampu menguasai undi bukan-Melayu lantas muncul sebagai pemenang merugikan PAS dan Umno.

Atas kesedaran ini PAS dan Umno Selangor menyambut baik penubuhan MN. Dalam beberapa siri mesyuarat dan perjumpaan antara Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, dengan Tan Sri Noh yang saya hadiri, saya boleh melihat dan mengesan keikhlasan di wajah Tan Sri Noh terutama dalam membincangkan hala tuju ke hadapan buat MN di Selangor.

Beliau banyak bersedia bertolak-ansur, dan menerima pandangan PAS. Sikap besar jiwa beliau ini cukup menyenangkan kepimpinan PAS, kerana itu beliau cukup disenangi dan dihormati oleh pimpinan dan akar umbi PAS di Selangor. Saya melihat pengalaman luas beliau dalam politik menjadikan beliau cukup realistik dan matang dalam tindak-tanduknya.

Tiada Ketua Umno Bahagian seberani Tan Sri dalam menterjemahkan kesungguhan permuafakatan MN ini sehingga wajah Yang Dipertua PAS Kawasan Tanjong Karang, Dr Zamri Zainuldin dipaparkan besar-besaran bersebelah wajahnya di depan Bangunan Umno Tanjong Karang yang beliau adalah Ketua Bahagiannya. Beliau bukan seorang yang berpura-pura.

Beliau sedar tugas dan tanggungjawab bersama PAS dan Umno besar, tetapi yang lebih besar adalah keperluan untuk memutus dan menamatkan pemerintahan PH yang kuat didominasi DAP di negeri ini. Kerana itu Tan Sri menghargai peranan PAS dan banyak bergerak ke arah mengukuhkan hubungan sesama pimpinan PAS dan Umno di Selangor, biar terbentuk satu permuafakatan yang jitu, jentera yang bersatu hati dan jiwa, barulah PH dapat ditumbangkan.

Apabila berurusan dengan PAS beliau tidak angkuh atau besar kepala malah menghormati pimpinan PAS sehinggakan hubungan yang cukup kemas dan baik dapat terjalin antara PAS dan Umno di pelbagai peringkat di Selangor.

Dari pengalaman menjalin hubungan dengan beliau melalui MN saya melihat beliau cukup mesra dengan ahli-ahli akar umbi Umno dan rakyat jelata khasnya di Selangor. Beliau gunakan portfolio beliau mulanya sebagai Pengerusi PUNB dan kemudiannya Menteri Usahawan sepenuhnya untuk membantu dan menolong rakyat terutama golongan Bumiputera. Saya melihat sendiri beberapa usahawan yang berpotensi dibantu beliau walaupun beliau tidak mengenali mereka.

Bukan mudah melahirkan pimpinan sebegini. Kerana itu saya hairan, bagaimana tokoh umpama Tan Sri ini boleh dipandang serong, dicurigai dan malah akhirnya dibenci oleh pimpinan tertinggi partinya sendiri.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 31/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -