DAP sudah menerima Negara Islam?

- Advertisement -

PADA 24 Januari 2023 yang lalu, genap dua bulan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Setelah bulan pertama berlalu, Anwar dilihat berusaha memulihkan imej dan membina keyakinan rakyat terhadap beliau dengan tindakan-tindakan bersifat populis. Manakala pada bulan kedua pula, Anwar mula menggagaskan model bernegara yang beliau ingin ketengahkan.

Seperti yang dijangka, Anwar menyegarkan semula model bernegara yang pernah beliau gagaskan sebelum ini, iaitu Negara Madani. Beliau telah menggariskan beberapa rangka kasar untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Madani. Gagasan Malaysia Madani yang dikemukakan oleh Anwar, telah disambut baik oleh banyak pihak termasuk rakan-rakan parti komponen PH dan BN di dalam Kerajaan Campuran.

Persoalan yang seharusnya ditimbulkan, adakah semua mereka memahami gagasan Malaysia Madani yang digagaskan oleh Anwar. Ketika memperkenalkan gagasan Malaysia Madani, Anwar tidak menjelaskan konsepnya dengan lengkap. Boleh jadi Anwar tidak mahu mereka memahaminya, kerana dibimbangi ada rakan-rakan parti komponen tidak bersetuju setelah mengetahui konsep ‘Madani’ yang sebenar.

Konsep Madani secara hakikatnya adalah merujuk kepada pembinaan negara yang bersumberkan kepada negara Madinah yang dibangunkan oleh Rasulullah S.A.W. Nama Madinah yang ditentukan oleh Rasulullah S.A.W kepada sebuah wilayah yang sebelumnya bernama Yathrib, bermaksud sebuah negara yang berteraskan agama (Islam). Dengan pengertian lain, Negara Madani merujuk kepada Negara Islam atau Islamic State.

Melainkan Anwar cuba memberi tafsiran yang berbeza, Negara Madani pada hakikatnya adalah negara yang mengambil model negara yang dibangunkan oleh Rasulullah S.A.W selama 10 tahun di Madinah, yang kemudiannya menjadi sebuah peradaban manusia yang agung lebih dari 1,500 tahun. Pembinaan sebuah Negara Madani sudah tentu mengambil contoh kaedah Rasulullah S.A.W membangunkan Negara Islam Madinah.

Sekiranya itulah gagasan Malaysia Madani yang mahu dibawa oleh Anwar, bermakna Anwar berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Islam sebagaimana yang dibangunkan oleh Rasulullah S.A.W 1,400 yang lalu. Malah jika itulah hasrat Anwar, diyakini PAS bersedia mendukung gagasan itu, meskipun PAS tetap berada di blok pembangkang. Bagaimana pula dengan DAP, adakah mereka sudah boleh menerima Negara Islam?

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 31/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -