Zahid bunuh Umno?

- Advertisement -

SAYA antara orang yang sangat terkejut ketika Zahid Hamidi menyerah kepada Tun M setelah beberapa hari ditahan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu di awal era Reformasi. Beliau adalah pencetus reformasi Pemuda dalam perhimpunan Agong Umno melalui Ruslan Kasim yang menyaksikan gelombang reformasi dilaung Anwar bermula. Pendek kata Zahid adalah pencetus api perjuangan yang dipimpin Anwar melalui Pemuda. Mengapa semudah itu beliau menyerah setelah ditahan September 1998.

Perkara itu terus menjadi teka-teki namun Zahid terus mendaki hierarki kepimpinan Umno melalui Najib Razak. Desas-desus hubungan Zahid dan Anwar yang ‘terlarang’ selama ini mula muncul setelah Zahid dikatakan membawa sokongan beberapa Ahli Parlimen Umno menyokong Anwar di era pemerintahan Muhyiddin melalui PN yang turut didukungi Umno. Ia terus menyerlah apabila  teori jajaran baru muncul. Lebih awal melalui audio murid dan guru yang dinafikan awalnya.

Bagi mereka yang telah lama mengikuti perkembangan politik khususnya Anwar akan faham bahawa Zahid adalah ejen Anwar dalam Umno. Seorang lagi pimpinan Pemuda Umno paling lantang dan kemudiannya rebah di hadapan Najib ialah Lokman Nor Adam. Ada teori menyebut bahawa Lokman juga adalah ejen Anwar untuk perkuatkan Zahid di dalam Umno.

Keputusan PRU15 seakan membenarkan semua teori itu dan kini dilihat Zahid sedang memperkuatkan dirinya serta Anwar dengan melemahkan Umno. Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah mendedahkan maklumat yang diterima mengenai usaha Zahid melemahkan Umno agar Anwar menjadi Perdana Menteri dan Umno menyokongnya. Ia telah terjadi.

Zahid seakan tidak peduli mengenai apa yang berlaku kepada Umno. Gelombang jelas penolakan rakyat khususnya anak muda dalam PRU15 tidak diambil kisah. Kemarahan ‘akar umbi’ Umno sendiri dengan menolak ‘calon Zahid’ langsung tidak dipeduli. Apa sebenarnya yang dikehendaki Zahid?

Terkini dengan senarai pemecatan dan penggantungan pimpinan Umno yang dikenali sangat setia dengan Umno. Hishamudin yang dikatakan ‘merajuk’ selepas Umno kalah PRU14 adalah keturunan pengasas utama Umno. Begitu juga Noh Omar dan Umno Selangor adalah seakan isi dan kulit. Khairy Jamaluddin yang menyerlah dan masih meninggalkan legasi dalam kepimpinan Pemuda.

Apakah Zahid belum puas melemahkan Umno atau beliau mahu Umno mati? Apakah Zahid mahu memastikan Umno setia menyokong Anwar? 

Apakah teori selama ini bahawa Zahid adalah ejen Anwar untuk membunuh Umno itu benar? Hanya ahli Umno wajar menjawabnya. 

Jika ia benar, apakah ahli Umno masih ingin kekal dalam Umno dengan kaki dan tangan mereka terpasung sedangkan kepala mereka telah dipancung?

Sehingga kini PAS paling setia menyambut ahli dan pimpinan Umno dengan menghulur tangan ikhlas. Apatah lagi bahtera PN sangat luas dan kukuh untuk ahli Umno terus melayarkan perjuangan mendaulatkan ketuanan Melayu. 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 30/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -