Tan Sri Noh Omar yang saya kenali (1)

- Advertisement -

(SAYA bukan ahli Umno. Tapi tidak bermakna saya tiada hak mengulas kerana Umno di Selangor pernah bersama PAS melalui MN dan jalinan ukhuwah antara kedua parti cukup intim. Saya kenal dan bersama Tan Sri Noh semasa membina dan memperkukuhkan MN Selangor. Ini coretan saya berkenaan pemimpin Melayu Islam Selangor yang saya anggap hebat ini. Terkejut dan simpati apabila Umno tergamak bertindak memecat beliau.)

Sebagai musuh politik PAS, gelagat dan tindak-tanduk Umno sering diperhatikan dan dianalisa demi menyusun langkah dan strategi. PAS dan Umno di Selangor sebagaimana di negeri lain bertarung untuk memenangi sokongan para pengundi khasnya orang-orang Melayu. Hubungan kedua parti tidak pernah tenang, musuh politiklah katakan.

Di Selangor sejurus selesai PRU14 Tan Sri Noh Omar melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan Negeri sebagaimana Datuk Seri Najib di pusat kerana memikul tanggungjawab atas prestasi merudum Umno dalam PRU berkenaan.

Di Selangor Umno tinggal dua kerusi Parlimen, Tg Karang dan Sabak Bernam (MP Sabak Bernam kemudiannya lompat sertai BERSATU) dan 4 kerusi DUN (H.Bernam, Sg Burong, Sg Air Tawar dan Sg Panjang). 

Dato’ Sri Ismail Sabri selaku Naib Presiden dilantik memegang jawatan Pengerusi. Di zaman Ismaillah berlaku PRK DUN Semenyih beberapa minggu setelah PRK Parlimen Cameron Highlands sejurus PRU14.

PAS ketika itu bukan sahaja beri laluan pada Umno di Semenyih tetapi membantu sepenuhnya calon Umno.

Ringkas cerita Umno.menang Semenyih sebagai kerusi kelimanya di Selangor atas bantuan PAS. PH mula cemas. 

Kemudian Ismail serah jawatan Pengerusi ke Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang terlibat dalam meletakkan asas awal Muafakat Nasional Selangor.

Umno selepas itu memutuskan menyerahkan kembali kepada Noh jawatan Pengerusi. Beliau terima dan terus bina kembali kekuatan Umno negeri dan menumpu tenaga pada memantapkan jentera MN Selangor.

Bersama kepimpinan PAS Noh bina MN di setiap 22 bahagian Parlimen di Selangor. Sebagai negeri PH terbukti umat Melayu Islam di sini cukup lega dan berpuas hati dengan penubuhan MN, ia malah menerima sambutan luar biasa seluruh Selangor.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan gandingan Noh dan Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi telah menjadikan Selangor sebagai negeri yang jentera MN-nya paling mantap dalam negara.

Saya ingat dikhabarkan bila Noh berpeluang jumpa Tuan Guru Presiden PAS ketika itu beliau merayu pada Tuan Guru, PAS jangan tinggalkan Umno. Beliau sebut ini pada kami dan saya sendiri dimaklumkan Tuan Guru perkara yang sama.

Noh dan pimpinan Umno sebagaimana dari PAS nampak bahawa jika umat Melayu Islam bersatu melalui MN dan MN hadapi PH satu lawan satu, Selangor mampu dirampas dari cengkaman PH.

Hampir setiap ruang dan peluang digunakan untuk menjayakan misi bersama ini

(bersambung)

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 30/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -