Pengusaha tanah jangan terlibat geran ‘lot lidi’

Sanusi menyerahkan geran tanah kepada seorang penduduk pada majlis penyerahan geran tanah di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling, Kedah pada hari ini, 30 Jan 2023.
- Advertisement -

BALING: Golongan pengusaha tanah di Kedah diingatkan agar tidak terlibat dengan geran ‘lot lidi’ yang jelas salah dan melanggar undang-undang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi boleh mengundang perbalahan di dalam masyarakat kerana masalah laluan keluar masuk dan sebagainya.

- Advertisement -

“Buat geran ‘lot lidi’ untuk jual tanah dengan mengharapkan keuntungan lumayan…perbuatan ini menyalahi undang-undang.

“Isu-isu seperti ini akan menjadi lebih rumit serta berlarutan tanpa penyelesaian kerana urusan jual belinya yang tidak mematuhi undang-undang,” kata beliau pada majlis penyerahan geran tanah di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling, di sini, hari ini. 

Pada majlis itu seramai 119 penduduk Daerah Baling menerima geran tanah masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Besar sendiri. 

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Isahak Murat, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Najmi Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kuala Ketil, Mansor Zakaria, ADUN Bayu, Mohd Nasir Idris; dan Ahli Parlimen Baling, Ustaz Hassan Saad.

Tidak ketinggalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Suhaimi Abdul Rahman dan Pegawai Daerah Baling, Shahadan Abdullah.

Sanusi dalam pada itu berkata, beliau mengharapkan agar tanah yang diperolehi dimanfaatkan sebaiknya agar pahala terus mengalir kepada orang yang mengusahakan sebelum ini.

Dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan proses meluluskan permohonan geran tanah mengambil masa yang agak lama dan kebanyakan yang hadir menerima pada hari ini bukan dari kalangan peneroka asal.

“Proses untuk mendapat hak milik tanah bukanlah mudah malah ia memerlukan penelitian serta disemak dari aspek teknikal dan perundangan,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, proses berkenaan perlu dilakukan dengan cermat untuk mengelak kesilapan kerana kondisi itu menjadi lebih sukar sekiranya geran hak milik telah dikeluarkan.

“Kerajaan negeri  menerima ribuan permohonan tanah untuk diproses, malah lebih 6,000 fail permohonan yang sedang disemak dan diteliti di setiap daerah,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/1/2023

- Advertisement -