Kenaikan paras laut: Kenapa kita perlu bimbang?

- Advertisement -

PADA tahun 2022, peningkatan paras laut global sejak 1993 adalah 3.8 inci atau 97 mm. Kadar peningkatan ini adalah membimbangkan kerana peningkatan dari tahun 1880 sehingga tahun 2021 adalah 8 hingga 9 inci atau 21 hingga 24 cm.

Ini bermakna kadar peningkatan dalam tempoh lebih kurang 30 tahun yang lalu adalah lebih pantas dari kadarnya untuk tempoh lebih 100 tahun yang lalu.

Kajian menunjukkan kadar peningkatan tahunan paras laut telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh 2006 hingga 2015 berbanding sebahagian besar abad ke 20. Dari 0.06 inci (1.14 mm) setahun kepada 0.14 inci (3.6 mm) setahun.

Menurut National Geographic, satu kajian yang diterbitkan pada 15 Februari 2022 menunjukkan purata paras laut global akan meningkatkan sehingga 1 kaki atau 0.3 meter pada tahun 2050. Tetapi menurut Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), peningkatan paras laut pada tahun 2100 adalah 1.1 meter atau lebih 3 kaki. Akibatnya 1.1 bilion penduduk dunia akan terdedah kepada banjir akibat peningkatan tersebut.

Walau bagaimanapun paras ini adalah berbeza menurut lokasi bergantung kepada faktor-faktor tempatan seperti pemendapan, hakisan dan arus lautan serantau.

Terdapat satu lagi unjuran yang lebih membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan paras laut di Amerika Syarikat adalah 7.2 kaki (2.2 meter) pada tahun 2100 dan 13 kaki (3.9 meter) pada tahun 2150 berbanding tahun 2000 jika trend peningkatan hari ini berterusan. Bayangkan berapa luas daratan akan tenggelam dengan peningkatan tersebut.

Terdapat beberapa sebab kenapa paras laut ini meningkat. Di antaranya adalah kesan pemanasan global (global warming) yang mengakibatkan ais di kutub cair. Glasier (sungai air batu) dan ais di gunung-ganang juga mencair akibat pemanasan global. Akhirnya air di lautan akan bertambah dan paras laut akan meningkat.

Kehilangan ais (ice loss) di kutub Selatan (Antartika) telah meningkat 4 kali ganda dari 51 bilion tan setahun di antara 1992 dan 2001 kepada 199 bilion tan setahun di antara 2012 dan 2016.

Kehilangan ais di Greenland pula meningkat 7 kali ganda dari 34 bilion tan setahun di antara 1992 dan 2001 kepada 247 bilion tan setahun di antara 2012 dan 2016.

Ais yang cair telah mengalir ke lautan mengakibatkan kenaikan paras lautan.

Pemanasan global juga mengakibatkan lautan menjadi panas. Aktiviti manusia melepaskan gas-gas rumah kaca atau ‘greenhouse gases‘ (GHG) dan 90 peratus dari haba gas tersebut diserap oleh lautan. Akibatnya isipadu lautan (volume of the ocean) semakin mengembang dan paras laut akan meningkat.

Selain dari menenggelamkan kawasan-kawasan berhampiran pantai, apakah kesan kenaikan paras laut ini kepada kita semua?

Apabila laut bergerak menenggelamkan kawasan pantai, air masin akan meresapkan ke dalam sumber air tawar yang diperlukan oleh manusia. Kesannya bukan sahaja kepada mereka yang tinggal di tepi pantai tetapi juga penduduk yang memerlukan sumber air tersebut.

Walaupun tidak mustahil untuk merawat air yang telah tercemar dengan air laut yang masin namun ia akan melibatkan kos.

Kesan air yang tercemar dengan ini juga akan memberi kesan kepada pertanian. Air di dalam tanah yang telah diresapi oleh air laut akan memberi kesan negatif kepada tanaman. Ia boleh melambatkan pembesaran tanaman atau membunuhnya.

Kenaikan paras laut juga akan mengubah komposisi tumbuhan-tumbuhan di pesisiran pantai (coastal plant life). Apabila air laut meresap ke tanah-tanah di kawasan pesisiran pantai, bukan semua tumbuhan yang dapat hidup di tanah itu. Ada yang tidak mampu  bertahan dan akan hilang dari kawasan tersebut. Sudah tentu ekosistem (ecosystem) di situ akan mengalami perubahan.

Jika tumbuhan-tumbuhan di pesisiran pantai menerima kesan akibat peningkatan paras laut, haiwan-haiwan yang tinggal di situ juga menerima kesannya. Seperti tumbuhan-tumbuhan, ada yang tidak mampu bertahan di dalam keadaan yang baharu. Sama ada ia akan pupus dari kawasan tersebut atau akan bergerak ke kawasan-kawasan jauh dari pantai. Jika ia bergerak ke kawasan baharu, sudah tentu ia boleh mengganggu ekosistem kawasan itu.

Implikasi kepada ekonomi sudah tentu lebih drastik apabila paras air laut meningkat. Bandaraya dan penempatan di pesisiran pantai akan terancam. Negara-negara pulau seperti di Lautan Pasifik berhadapan dengan bahaya ditenggelami. Kebanyakan darinya sedang membuat persediaan untuk berhadapan dengan malapetaka tersebut.

14 dari 17 bandaraya terbesar di dunia terletak di pesisiran pantai. Menurut 2050 Climate Change City Index, 2 bandaraya di Asia Tenggara adalah di antara yang paling terancam. Bandaraya-bandaraya tersebut adalah Bangkok di Thailand dan Bandaraya Ho Chi Minh di Vietnam. Justeru tidak mustahil bandar-bandar dan penempatan-penempatan di negara kita juga akan terancam. Perancangan di negara kita perlu mengambil kira peningkatan ini terutamanya jika manusia gagal mengurangkan pelepasan GHG sekali gus gagal menghadkan pemanasan global. Oleh yang demikian, hati-hati bila membeli tanah di pesisiran pantai.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 30/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -