Kenapa Rafizi gagal dalam formula turunkan harga barang?

- Advertisement -

PERTAMANYA kita melihat isu penurunan harga barangan dari perspektif yang lebih profesional, jauh daripada sentimen politik. Rafizi sejak sebulan lepas meyakini bahawa harga barangan akan turun dalam masa sebulan dan kelihatan begitu yakin sehingga membuat kenyataan yang ahli politik PN akan terduduk dalam masa sebulan. Hari ini terbukti gagal dan Rafizi ditroll dengan dahsyat sehingga 25 Januari 2023 diisytiharkan hari terduduk sedunia. 

Saya cuba ulas isu ini dari perspektif yang lebih profesional atau dengan kata lain ulasan secara BPMS. Kita yang gelakkan Rafizi adakah jika berada di tempatnya kita akan berjaya? Sememangnya sikap ahli politik akan ambil peluang troll musuh yang gagal sekalipun jika dia berada di tempat musuh politiknya, belum tentu dia berjaya. Dengan kata lain, jika nak turunkan harga barangan, kita mesti mempunyai kaedah dan formula yang tepat. Jika kaedah dan formula yang salah atau formula selapis sedangkan punca masalah adalah berlapis-lapis, maka masalah tidak akan selesai. Bila masalah tak selesai, hari ini aku gelakkan kamu dan esok pula kamu gelakkan saya. Pepatah Arab ada menyebut “كيف يستقيم الظل والعود اعوجاجا”. Maksudnya: Bagaimana bayang boleh dibetulkan sedangkan yang bengkok itu adalah tiang (yang membentuk bayang). 

Satu sudut, formula Rafizi turunkan harga barangan bertepatan dengan formula rule of demand and supply, iaitu apabila permintaan tinggi, barangan sedikit, maka harga akan melambung. Maka seruan Rafizi supaya pengguna memboikot kedai-kedai yang menjual harga tinggi adalah bertepatan dengan kaedah ini. Tetapi persoalannya, kenapa harga tidak turun? 

Jawapannya ialah kerana rule of demand supply bukan hanya bergantung kepada formula ‘permintaan tinggi harga akan naik’, tetapi di sana terdapat masalah di peringkat lapisan lain yang melibatkan Price Floor di mana sekuat manapun peniaga ditekan mereka tak akan turunkan harga kerana harga dah sampai ke Beam Price, bukan lagi Price Floor. Dengan kata lain, jika harga diturunkan lagi, maka peniaga akan mengalami kerugian. Contohnya pemborong dan pemborong ayam ditekan dengan kawalan harga manakala perbekalan untuk produksi ayam dicemari oleh unsur monopoli melalui AP dan lesen, seperti pengimport jagung yang menjadi kos tertinggi pengeluaran ayam, iaitu sebanyak 60 peratus.  Yang mempengaruhi harga lantai juga ialah kos statik pengeluaran dan kos sara hidup penternak seperti installment rumah, kereta, utiliti dan sebagainya. 

Semua kos-kos ini mempengaruhi beam price di mana, ditekan macam mana pun, peniaga tidak akan menurunkan harga barang, dan sampai satu tahap, baik tutup bisnes daripada turunkan harga barang. 

Kenapa? Jawapannya sebab rule of demand and supply dirosakkan oleh monopoli di peringkat huluan manakala ditekan ialah di peringkat hiliran. Sebenarnya, rules of demand and supply ini adalah kaedah hukum alam seperti hukum fizik; yang kecil boleh masuk ke dalam yang besar, yang bulat bergolek, yang ringan terapung dan sebagainya. Kaedah hukum alam ini disebutkan oleh Nabi S.A.W sebagai “إن الله هو المسعر” (Sesungguhnya Allahlah yang menentukan harga). Sebab itu di dalam sistem ekonomi Islam, hukum alam berkaitan rule of demand and supply ini perlu dipastikan tidak dicemari oleh تلقى الركبان (Hari ini dikenali sebagai AP), الحمي (hari ini dikenali sebagai sistem tanah yang kuasanya mutlak milik kerajaan), الاحتكار  (hari ini dikenali sebagai kartel yang kawal dan control supply) dan lain-lain pencemar kepada hukum alam rule of demand and supply. 

Jadi tugas kerajaan dalam Islam ialah memastikan semua unsur-unsur perosak kepada natural of demand and supply itu dihapuskan sama sekali, barulah rakyat sama ada peniaga (supply power) dan pembeli (demands power) dapat membentuk harga menjadi equilibrium price. Bukan terbalik sebagaimana yang dibuat oleh Rafizi iaitu kerajaan do nothing terhadap pencemar-pencemar harga sebaliknya kerajaan buat kerja rakyat iaitu ajak boikot kedai jual mahal. Memang formula terbalik habis. Sebab itu barangan tidak akan turun. 

Insya-Allah saya akan terangkan dari masa ke semasa berkenaan isu harga barangan ini. PAS melalui Dokumen Hijau telah memperkatakan isu ini melalui Dokumen Hijau di dalam poin ‘local production and local consumption’ serta 5 prinsip teras ekonomi Islam yang membentuk Dokumen Hijau. 

Sekian, terima kasih. 

ZAHARUDIN MUHAMMAD, 
Pengarah Dokumen Hijau, 
27 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 27/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -