Rafizi perlu tepati janji turunkan harga bahan mentah

- Advertisement -

PADANG BESAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, berkata hasil turun padang di akar umbi negeri ini mendapati harga bahan mentah, terutama telur masih belum turun.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis berkata, keadaan itu jauh berbeza berbanding kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mendakwa sebaliknya.

- Advertisement -

Katanya, harga barang di pasaran negeri ini masih belum turun dan rakyat juga belum dapat merasai keadaan itu seperti yang dijanjikan.

“Rafizi perlu berusaha lebih keras bagi memastikan kenyataan beliau sebelum ini menjadi realiti. Beliau perlu berusaha lagi bagi memastikan harga barangan turun dan kita pun faham, keadaan ekonomi dunia sekarang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kira-kira sebulan lalu, Rafizi menyatakan pemimpin PN yang mempertikai kenyataannya berhubung isu penawaran dan permintaan barangan akan ‘terduduk’ setelah formula penurunan harga yang beliau sarankan difahami seluruh rakyat dengan rasional.

Katanya, usaha untuk menyuntik keanjalan dalam permintaan diperlukan sebagai satu mekanisme kawalan harga.

“Kerajaan banyak data harga yang boleh digunakan rakyat. Kita mula dengan yang ini. Jangan takut dengan pandangan umum. Insya-Allah rakyat yang rasional akan mula memahami dan ikut serta.

“Dalam sebulan lagi, geng-geng PN yang pertikai semua akan terduduk. Sama macam mereka terduduk soal-soal lain yang asalnya kontroversial tapi bila hujahnya dibentang satu persatu, rakyat yang cerdik faham,” kata Rafizi dalam Twitter. – HARAKAHDAILY 27/1/23