Persediaan spiritual hadapi jangkaan inflasi 2023

Inflasi yang dijangka lebih tinggi pada 2023 masih menjadi risiko utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi terutamanya kepada kuasa beli isi rumah dan aktiviti pelaburan yang lain. (Foto Hiasan)
- Advertisement -

Banyak pihak meramalkan pada tahun 2023 ini dunia akan mengalami kemelesetan dan inflasi kesan dan impak dari pemulihan ekonomi global susulan pandemik Covid-19. 

- Advertisement -

Hal ini dinyatakan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus bahawa Malaysia akan memasuki fasa mencabar pada tahun ini dengan memperlihatkan gangguan pada rantaian pembekalan, ketidaktentuan konflik geopolitik dan pasaran. 

Beliau juga memberitahu bahawa inflasi yang dijangka lebih tinggi nanti masih menjadi risiko utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi terutamanya kepada kuasa beli isi rumah dan aktiviti pelaburan yang lain. 

Walau bagaimanapun, negara kita tidak dihimpit dengan risiko kemelesetan sebagaimana yang dihadapi oleh negara dunia yang lain.

Laporan prospek ekonomi global yang terkini menjelaskan tiga perkara yang menjadi halangan utama kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi khusus kepada negara-negara membangun antara lainnya ialah kadar hutang yang tinggi khususnya ketika kerajaan memberi pelbagai rangsangan bagi meringankan beban rakyat sewaktu musim pandemik yang lepas. 

Kedua ialah pasaran komoditi yang tidak menentu menjadikan negara yang bergantung dengannya akan berada dalam kitaran ‘boom and bust’; sementara yang ketiga pula ialah kesamarataan yang semakin menimbulkan jurang dengan terutamanya melibatkan akses kepada vaksin, pendidikan dan penjagaan kesihatan serta peluang pekerjaan dan gaji yang semakin mengecil.

Perkara-perkara di atas dilihat sebagai satu cabaran mendatang pada tahun ini yang berkemungkinan sedikit sebanyak mendatang kesan negatif atau mungkin positif kepada penduduk di negara ini.

Hidayah al-Quran dalam keadaan inflasi

Peranan al-Quran sebagai cahaya yang menunjuki manusia dalam mengharungi hidup ini bukanlah terhad hanya untuk perkara ukhrawi malah kitab mukjizat ini juga membimbing kita tatkala berada dalam kemelut dan konflik. 

Dalam hal ini, al-Quran membimbing manusia dalam dua fasa, pertama, fasa sebelum krisis dengan membentuk kesedaran untuk berbelanja dengan berhemah dan berpada-pada.

Allah S.W.T berfirman dalam Surah al-An’am ayat 141 yang bermaksud: “… Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah S.W.T tidak suka kepada orang-orang yang melampau.”

Ayat di atas mengandungi beberapa mesej seperti anjuran Allah S.W.T untuk memanfaatkan pemberiannya, mengeluarkan zakat serta tidak melampaui batas dalam memanfaatkan nikmat Allah S.W.T. 

Ayat tersebut juga saling berkaitan dan menyokong ayat 29 Surah al-Isra yang bermaksud: …“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.”

Allah S.W.T juga mengulangi pesanan dan bimbingan yang sama pada ayat 67 Surah al-Furqaan pula yang bermaksud: “…Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

Jelas di sini Allah S.W.T mengajar manusia untuk mensyukuri nikmat kurniaannya dengan penggunaan secara berhemah serta menyalurkan lebihan atau jumlah yang perlu kepada mereka yang berhak dan memerlukan sebagaimana ayat 19 Surah al-Dzaariyaat yang membawa maksud: …“Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”

Menerusi beberapa ayat al-Quran di atas, dapat difahami bahawa setiap kurniaan Allah S.W.T itu sama ada berbentuk nikmat harta, wang dan sebagainya perlu diuruskan dengan penuh kesederhanaan dan memastikan harta itu tidak hanya dinikmati oleh satu golongan sebaliknya dikongsi bersama menerusi zakat dan sedekah. 

Justeru, dua kata kunci utama kepada pengurusan nikmat yang perlu dipelihara ialah kesederhanaan dan perkongsian. 

Secara kontranya boleh disimpulkan berlebih-lebihan, membazir, penggunaan secara melampau serta tidak berkongsi nikmat seperti kedekut atau bakhil hanya akan menjadikan harta itu semakin sedikit.

Bimbingan ketika dalam krisis

Fasa kedua pula Allah S.W.T menyampaikan panduan bagaimana respon yang perlu dilakukan oleh manusia ketika berada dalam sesuatu konflik. 

Surah Yusuf A.S. yang berada dalam al-Quran mengandungi kisah teladan kepada kita dalam pelbagai peringkat dan keadaan. 

Juga berlaku dalamnya bagaimana Allah S.W.T membimbing Nabi Yusuf A.S dalam menguruskan krisis kemarau yang berlaku pada zamannya. Ayat 47 dan 48 Surah Yusuf bermaksud:

Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

“Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).”

Kedua-dua ayat ini memandu Nabi Yusuf A.S agar merancang dalam menghadapi krisis yang melanda dengan mengoptimakan sumber yang sedia ada. 

Sumber yang sedia ada itu pula hendaklah dikawal penggunaannya mengikut kepada keperluan dan etika penggunaan yang sesuai.

Dalam konteks individu hari ini, zaman inflasi adalah kitaran yang pasti berlaku dalam kitaran ekonomi kerana sesetengah ahli ekonomi menganggap inflasi yang berkadar sederhana adalah perlu bagi memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah lokaliti. 

Apa yang perlu dilakukan ialah melaksanakan penggunaan sumber yang optimum dengan mengasingkan perkara keperluan dan kehendak. Hal ini boleh merujuk kepada prinsip doruriyyat (keperluan asasi), hajiyyat (kemestian) serta tahsiniyyat (pelengkap). 

Perbelanjaan yang berbentuk tahsiniyyat atau semata-mata kehendak boleh dikurangkan tanpa mengabaikan keperluan dan kemestian bagi mengekalkan hidup yang seimbang.

Seterusnya Allah S.W.T berfirman dalam ayat 49 yang bermaksud: “Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya).”

Krisis ekonomi itu adalah satu kitaran yang pasti wujud bukan sahaja pada abad ini bahkan ia wujud di setiap zaman, abad dan dekad-dekad sebelum ini lagi. Walau bagaimana dahsyat pun sesuatu krisis itu ia pasti akan berakhir dan pulih seperti sediakala.  

Manusia pernah menghadapi krisis yang dahsyat setelah perang dunia kedua yang menyaksikan kehancuran negara-negara utama dunia seperti China, Jepun, Jerman dan beberapa negara Eropah lainnya, namun hari ini ia telah kembali pulih dan ada yang menjadi negara yang lebih maju berbanding sebelumnya.

Lanjutan dari perkara di atas, sewajarnya kita tidak perlu berasa panik dengan ramalan-ramalan mengenai inflasi ini. 

Ia bukanlah krisis seperti peperangan, malapetaka gempa bumi yang menghancurkan, sebaliknya ia adalah krisis pembekalan dan ketidaktentuan harga yang boleh dimitigasi dengan beberapa mekanisme yang sedia ada dan diusahakan oleh pelbagai pihak.

Kawal perbelanjaan

Perancangan kewangan adalah perkara penting dalam semua keadaan dan suasana, dan ia juga bukan bermaksud menyekat segala jenis perbelanjaan sehingga menukar secara total gaya hidup yang selama ini diamalkan. 

Cumanya pengawalan perbelanjaan dari yang tidak berapa penting kepada perkara yang lebih penting adalah satu perubahan yang perlu berlaku dalam suasana begini. Kita juga adalah unit ekonomi yang penting dalam ekosistem ekonomi di Malaysia. 

Sekiranya kesemua kita menyekat secara drastik corak perbelanjaan kita selama ini, ia mungkin sedikit sebanyak mengganggu aliran wang di dalam ekonomi dan boleh menjadi faktor kepada deflasi yang juga merupakan satu krisis ekonomi yang lebih kompleks dan rumit.

Perancangan kewangan juga boleh dikategorikan dalam proses menghidupkan wasatiyah serta mengelakkan pembaziran dan israf. 

Mudah-mudahan usaha ini diberikan keberkatan sebagaimana usaha pengawalan yang dilakukan oleh Nabi Yusuf A.S. ketika krisis ekonomi di zamannya.

DR MOHD SHAHID MOHD NOH
Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya – HARAKAHDAILY 6/1/2023

- Advertisement -