Pengaruh PAS meningkat sekali ganda di Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: PAS Pahang berjaya melebarkan pengaruh lebih sekali ganda pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 berbanding PRU 2018 apabila berjaya menguasai 17 Dewan Undangan Negeri (Dun).

- Advertisement -

Sedangkan pada PRU14 PAS menang di lapan kerusi Dun iaitu Tanjung Lumpur, Damak, Luit, Beserah, Jengka, Chenor, Panching dan Tahan.

Pada PRU15 PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) menawan Dun Cheka, Pulau Tawar, Sungai Lembing, Lepar, Pulau Manis, Kuala Sentul, Semantan dan Ibam, di samping mengekalkan lapan Dun yang dimenangi pada PRU14.

Peningkatan pengaruh PAS ada hubungkait dengan peranan wakil rakyat PAS sebelum ini yang bekerja untuk rakyat tanpa mengira masa dan ketika.

Situasi itu diteruskan wakil-wakil rakyat baharu yang menang pada PRU lepas.

Antaranya Adun Sungai Lembing Ayub Ashri yang sentiasa berada di tengah-tengah masyarakat berkongsi susah senang bersama penduduk.

Semalam beliau menziarahi lebih 12 penduduk yang terlantar sakit di pelbagai kampung, di samping hadir pada program anjuran penduduk tempatan.

Antaranya beliau menziarahi Pakcik Idris yang mengidap penyakit kanser paru-paru di Kampung Batu 6, Sungai Lembing.

Kataya, kos ubat-ubatan yang ditanggung penduduk terbabit sebanyak RM5,800.

“Saya menyerah borang zakat untuk meringankan beban yang ditanggung Pakcik Idris. Selepas itu kami melawat seorang lagi penduduk Azizan Awang, 65 di Felda Bukit Goh.

“Pakcik Azizan diuji dengan penyakit strok di sebelah kiri. Semoga Pakcik Azizan diberi kesembuhan atas penyakit yang ditanggungnya,” kata beliau pada kenyataan di laman sosialnya.

Adun Sungai Lembing juga menghadiri Program Majlis Yassin dan Tahlil Perdana di perkarangan Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Goh.

Program itu dianjurkan Persatuan Aspirasi Komuniti Bukit Goh dihadiri ramai penduduk tempatan.

Selain itu Ayub menghadiri majlis bacaan Yassin dan doa selamat Pakcik Zainal sempena sambutan tahun baharu di Kampung Kolek Sungai Lembing.

“Saya bertegur sapa dan bertanya khabar penduduk yang menghadiri program tersebut,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 2/1/2023

- Advertisement -