Pengiktirafan UEC mengancam perpaduan negara

- Advertisement -

BARU-baru ini sebaik sahaja selesai Pilihan Raya Umum ke-15 telah bangkitnya isu mengiktiraf UEC sebagai syarat am untuk kelayakan memasuki institusi pengajian awam (IPTA).

- Advertisement -

Pakatan Harapan yang merupakan Kerajaan Malaysia pada ketika ini ada meletakkan UEC ini sebagai manifesto di bawah tajuk Reformasi Pendidikan. Mereka ingin meneruskan usaha untuk mengiktiraf sijil UEC tersebut. Tindakan mereka ini telah menimbul rasa tidak puas hati masyarakat Melayu.

Apa itu UEC?

Pasti ramai diantara kita masih tidak arif tentang maksud di sebalik tiga huruf ini. Malah, ada segelintir masyarakat yang menganggap huruf C dalam UEC ini adalah Bahasa Cina atau orang Cina. Anggapan itu ternyata tidak benar.

Maksud sebenar perkataan UEC ini adalah singkatan daripada Unified Examination Certificate atau boleh dipanggil dengan Sijil Peperiksaan Bersama.

Untuk makluman semua, isu UEC ini adalah isu Pendidikan. Bukanlah isu kaum atau politik. Segala khabar angin yang mengatakan UEC ini tentang perkauman adalah tidak benar sama sekali.

Sijil UEC adalah peperiksaan di bawah kendalian badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

Sukatan isi kandungan mata pelajaran UEC adalah berasal dari Taiwan dan dikelolakan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). Rata-rata Sekolah Menengah Persendirian Cina di Malaysia mengiktiraf sijil UEC tersebut.

Namun, ada sesetengah tokoh-tokoh berbangsa cina di Malaysia menentang pengiktirafan UEC ini. Hal ini kerana, mereka beranggapan bahasa mampu menyatukan bangsa Malaysia. Dengan pengiktirafan UEC ini, ia akan membantutkan perpaduan dalam negara tercinta ini.

Antara tokoh cina yang menentang pengiktirafan UEC ini adalah Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin. Malang sekali, tindakan mereka menentang pengiktirafan UEC ini telah dikecam hebat oleh masyarakat Cina.

Namun, dari perspektif lain pula, Lim Lian Geok yang merupakan seorang guru dan aktivis telah dibuang kerakyatan akibat lantang bersuara mendesak kerajaan mengiktiraf UEC. Ini kerana dia telah cuba mencetuskan rasa tidak puas hati dan ketidakharmonian antara kaum.

Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kerajaan tidak akan mengiktiraf UEC. Beliau menegaskan lagi bahawa UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan.

Pada pendapat saya, isu UEC ini tidak perlu dibangkitkan lagi kerana di Malaysia, kita sudah pun ada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK). SMJK masih kekal diiktiraf sehingga kini oleh kerajaan, malah dikategorikan sebagai aliran arus perdana.

Langkah ini sudah cukup bagus dan profesional dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menjaga hati bangsa bukan Melayu. Justeru, pelajar-pelajar lepasan SMJK diberikan kebebasan dan layak untuk memasuki mana-mana IPTA serta layak untuk menyertai sektor perkhidmatan awam.

Saya lihat di sini tiada langsung bentuk diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu. Secara dasarnya, perjanjian tersebut sudah jelas terang lagi bersuluh telah memberikan peluang yang sama dan adil kepada semua pihak.

Secara faktanya, UEC lahir disebabkan keputusan yang diputuskan oleh SMPC sendiri. Mereka membuat pilihan untuk berada di luar sistem pendidikan kebangsaan. Seterusnya ini adalah merupakan titik tolak kepada tuntutan 60 buah SMPC yang secara kolektif tidak
sekepala dengan sistem Pendidikan kebangsaan sehingga kini.

Bukan itu sahaja, ada juga beberapa buah universiti awam yang cuba mengenengahkan isu UEC ini. Sebagai contoh, pihak KMUM (Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya) baru-baru ini di dalam muat naiknya di laman Instagram, mereka menyatakan beberapa seruan terhadap kerajaan yang baru dibentuk baru-baru ini.

Mereka menyeru bahawa pengiktirafan sijil UEC sebagai syarat am untuk memasuki IPTA. Pada pendapat saya, mereka tidak sewajarnya menyatakan hal sebegini, ini kerana mereka sepatutnya mementingkan lagi isu pelajar-pelajar mereka berbanding isu ini.

Malah mereka berkata ini kenyataan bersama sedangkan mahasiswa Universiti Malaya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu. Masih banyak isu mahasiswa yang boleh mereka perjuangkan, bukan campur tangan isu hal luar universiti.

Sehubungan dengan itu, sistem UEC ini jelas bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan yang dibentuk demi memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jika dinilai dengan rasional, kita boleh lihat bahawa sistem pengajaran, kurikulum dan peperiksaan UEC ini jelas sekali berada di luar pemantauan serta kelolaan pihak kerajaan.

Lebih-lebih lagi kaedah dan proses pembelajaran UEC ini yang meletakkan bahasa ibunda sebagai medium utama juga tetap tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

Oleh hal yang demikian, hal ini menunjukkan bahawa pembawakan kurikulum UEC mampu mencacatkan proses pembentukan budaya, sejarah dan identiti kebangsaan.

Dalam pada itu, sekiranya UEC diiktiraf oleh kerajaan, ia akan menyebabkan ketidakadilan kepada semua rakyat Malaysia, tidak terkecuali kaum Cina itu sendiri. Hal ini kerana, sebilangan besar rakyat Malaysia amat komited dengan sistem Pendidikan kebangsaan dengan menghantar anak-anak mereka ke sistem aliran arus perdana.

Di Malaysia, undang-undang dan perlembagaan langsung tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menuntut ilmu atau mempelajari sebarang bahasa.

Namun, dalam isu yang panas seperti ini, penelitian yang baik dan hati-hati perlu dilakukan demi mengelakkan sebarang perlanggaran asas negara bagi menjamin perpaduan.

Akhir kata, saya berharap agar kabinet yang baru dibentuk yang masih segar ini dapat membuat keputusan dengan baik.

Mereka sewajarnya memberi fokus kepada isu-isu penting negara seperti reformasi sistem pendidikan, terutama sekali berkenaan isu literasi dan keciciran Pendidikan. Selain itu, harapan saya agar isu berkaitan UEC ini dapat mencapai kata putus dan diberikan satu titik noktah.

Kita perlu buka mata bahawa dasar pendidkan yang telah dibentuk selama ini bagi tujuan perpaduan semua kaum adalah tidak wajar sama sekali dikorbankan hanya kerana satu perubahan yang mungkin akan membinasakan negara tercinta ini.

PROF DR MOHD ROSLAN MOHD NOR & MUHAMMAD DANIAL ABD SAMAD
Pensyarah & Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam
Universiti Malaya (UM) – HARAKAHDAILY 18/12/2022

- Advertisement -