PAS Kawasan Temerloh dengan berat hati ingin memaklumkan bahawa Jamuan Kesyukuran Parlimen Temerloh yang dijadualkan akan berlangsung pada hari esok (14 Disember 2022) di Dewan Tun Razak, Temerloh terpaksa dijalankan di perkarangan Surau Al-Khairiah, Seberang Temerloh atas arahan khas Kerajaan BN-PH Negeri Pahang yang baru dikeluarkan kira-kira jam 10 pagi tadi.
PAS Kawasan Temerloh sangat terkejut dengan tindakan dan arahan mengejut untuk membatalkan tempahan Dewan Tun Razak, Temerloh sehari sebelum program ini akan dijalankan tanpa apa-apa justifikasi yang relevan dan rasional. Segala prosedur tempahan dan wang deposit juga telah diselesaikan mengikut jangka masa dan ketetapan yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Perbandaran Temerloh (MPT). Persiapan jamuan juga telah pun selesai hampir 90 peratus dan jemputan telah dihebahkan kepada semua lapisan masyarakat di Parlimen ini termasuklah kepada semua agensi kerajaan dan pasukan keselamatan.
Pihak kami juga ingin melahirkan kekesalan atas tindakan yang tidak bertamadun dan menghormati hak demokrasi negara ini. Janganlah kerana dendam politik rentetan keputusan yang rakyat dalam PRU15 baru ini, keputusan ini diambil.
Dalam masa yang sama, pihak kami ingin mendesak pihak berkuasa tempatan supaya membatalkan juga konsert Ratu Rock Malaysia Ella yang akan berlangsung pada pada tarikh yang sama di Dataran Temerloh sebagaimana di pautan link berikut https://www.facebook.com/100067033012188/posts/473007341610362/?sfnsn=mo
Jangan sesekali bersikap double standard dalam perkara ini.
Pihak kami juga ingin memberikan peringatan kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk mentadbir negeri ini dengan matang dan harmoni serta menghormati perbezaan dan kepelbagaian latar belakang, fahaman politik mahupun pandangan.
Jangan sesekali bertindak rakus dan pengecut dengan menggunakan kuasa pemerintahan untuk menghadapi pihak yang berbeza pandangan mahupun pendirian dengan kerajaan negeri. Kami tidak teragak-agak untuk menggerakkan kebangkitan rakyat untuk menolak kezaliman dan kebobrokan pentadbiran kerajaan negeri ini.
Sekian.
ZULKIFLI MOHD YUSOF
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Temerloh – HARAKAHDAILY 13/12/2022