Hapus monopoli BERNAS perlukan kawalselia selari obligasi sosial

PAS Kedah garis lima tumpuan terhadap dasar keselamatan makanan

- Advertisement -

PAS Negeri Kedah menanggapi pengumuman Perdana Menteri mengenai cadangan penghapusan monopoli BERNAS dalam industri padi dan beras negara. 

- Advertisement -

Walaupun cadangan penghapusan monopoli BERNAS itu telah lama diutarakan, namun PAS Kedah berpandangan kerajaan perlu menyediakan justifikasi dan langkah susulan yang kukuh terhadap tindakan tersebut.

Pertama, adakah menghapuskan monopoli BERNAS bermaksud akan membuka ruang kepada syarikat swasta lain untuk mengimport beras daripada luar? Ini kerana monopoli tersebut berkait dengan pengimportan beras ke dalam negara.

Bagaimana kesan dan impak kepada pengusaha beras tempatan yang terpaksa bersaing disebabkan harga beras import yang lebih murah? Apakah ada ‘safety net’ terhadap perkara tersebut?

Bagaimana kerajaan akan mengawal import beras sedangkan langkah sedia ada dilakukan bagi mengawal selia jumlah beras yang diimport memenuhi keperluan dan permintaan? 

Kedua, pengistilahan ‘monopoli’ kepada BERNAS sebenarnya diikat dengan obligasi sosial yang ketat, bahkan kerajaan mengawal sepenuhnya bidang kuasa BERNAS ketika ini melalui ‘golden share’.

Ia berkait dengan pengawalseliaan terhadap stok penimbal yang disasarkan kepada 290,000 tan metrik kelak. Obligasi ini mengikat peranan monopoli import BERNAS termasuk dalam klausa pembaharuan konsesi bagi 10 tahun akan datang sehingga 2031. 

Persoalannya, adakah syarikat swasta yang lain turut diikat dengan obligasi yang sama seperti yang ditanggung BERNAS? 

Oleh itu, PAS Kedah berpandangan isu ini memerlukan penelitian yang lebih lanjut dan tidak sekadar semberono. Ironinya, pengumuman penghapusan monopoli terpisah daripada perbincangan lain yang mustahak. 

PAS Kedah mencadangkan lima perkara berikut sebagai keutamaan kepada kerajaan dalam konteks keselamatan makanan ini;

i. Mengupayakan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) yang menumpukan kepada peningkatan produktiviti serta mobiliti sosial para pesawah. 

ii. Menyokong usaha Kerajaan Negeri Kedah dengan dasar penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan penghasilan padi seterusnya menyokong sasaran tahap sara diri melebihi 80 peratus menjelang 2030 seperti yang digariskan DAN 2.0.

iii. Memerangi kartel padi secara sistematik, transparent dan berstrategik serta mengawal rantaian pengeluaran padi dengan lebih efektif.

iv. Mencontohi model asas pelaksanaan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Asnaf yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). 

Strategi Smart SBBA ini bukan sahaja berjaya memastikan peningkatan terhadap penghasilan padi bagi sehektar, bahkan juga berjaya memastikan mobiliti sosial para pesawah keluar daripada zon kemiskinan.

v. Memberikan tumpuan yang serius bagi meremajakan industri padi dan beras negara serta tumpuan terhadap penerimagunaan teknologi. 

PAS Kedah berpandangan isu keselamatan makanan wajar ditangani secara komprehensif. Langkah yang diatur Kerajaan Persekutuan ketika ini lebih didorong oleh tindakan populis yang tiada justifikasi kukuh terhadapnya. 

Sekian, terima kasih.

YB USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
9 Disember 2022 / 14 Jamadil Awwal 1444 H – HARAKAHDAILY 9/12/2022

- Advertisement -