Iktibar agung surah al-Isra’ (20)

- Advertisement -

DALAM perbincangan lalu, diceritakan bahawa orang kafir atau mereka yang tidak beriman kepada Nabi dan Rasul dikenakan hukuman dan azab oleh Allah. Diceritakan juga mengenai al-Quran yang diturunkan dengan kebenaran serta Nabi dan Rasul yang diutuskan sebagai pembawa khabar gembira dan amaran. 

- Advertisement -

Kebenaran al-Quran yang tiada keraguan padanya

وَبِٱلْحَقِّ أَنزَلْنَٰهُ وَبِٱلْحَقِّ نَزَلَ وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

“Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmat Kami turunkan al-Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar).”

(al-Israk: 105)

Al-Quran diturunkan bertujuan untuk membawa kebenaran. Kebenaran di dalamnya tidak mempunyai sebarang keraguan berbanding dengan kitab-kitab suci yang lain yang telah ditokok tambah seperti yang disebutkan pada permulaan ayat dalam Surah al-Baqarah [1].

Ia datang secara langsung daripada Allah. Berbeza dengan kitab Taurat dan Injil yang bukan asli yang ada pada orang Yahudi dan Kristian pada hari ini. Sebab kitab-kitabnya sudah dipinda oleh para pendeta dan paderi. 

Ada pandangan yang mengatakan bahawa kalimahnya sudah ditukar yang menyebabkan isi kandungannya sudah berbeza. Pandangan lain pula mengatakan bahawa kalimah yang ditukar itu memberikan tafsiran yang menyeleweng. 

Sekiranya mahu mencari panduan hidup, rujuklah al-Quran. Sekiranya mahu belajar atau mengkaji perbandingan agama, dibolehkan untuk membaca kitab Taurat dan Injil. Pernah Sahabat ditegur oleh Nabi kerana dia membawa bersama kitab Taurat untuk ditekuni bagi mendapatkan panduan. Nabi memberitahunya bahawa al-Quran sudah memadai [2]. 

Berita gembira yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga. Manakala orang-orang yang tidak beriman akan mendapat kemurkaan Allah dan dimasukkan ke dalam neraka. 

Pengenalan agama Samawi

Dalam pengajian perbandingan agama, agama langit atau agama Samawi terbahagi kepada tiga iaitu agama Yahudi, Kristian dan Islam. Agama-agama ini berasaskan kepada wahyu dan mempunyai kitab suci. Cuma konsep wahyu adalah berbeza. 

Dalam agama Kristian, wahyu dikenali sebagai God Inspired. Tuhan memberikan ilham kepada Rasul, Rasul tersebut menyampaikan agama dan ditulis kitab. 

Dalam agama Islam, wahyu konsepnya secara tanzil atau diturunkan daripada langit kepada para Nabi dan Rasul melalui perantaraan Jibril. 

Pengenalan agama budaya

Selain daripada itu, dikenali sebagai agama budaya yang lahir daripada pemikiran dan kebijaksanaan individu tertentu iaitu agama Hindu, Buddha, Sik, Zoroaster dan sebagainya. 

Agama Buddha lahir daripada pemikiran Gautama yang merupakan seorang anak raja yang lari dari istana kerana tidak suka akan kehidupan mewah dan penderitaan yang dihadapi oleh rakyatnya. Beliau membawa diri dan bersemadi di bawah suatu pokok. Allah memberikannya ilham untuk membawa ajaran agama yang baru iaitu Buddha, bersempena dengan nama pokok (Bodhi) tersebut. Agama ini tiada konsep ketuhanan tetapi mencari mengenai kedamaian (Nirvana). Orang yang mencapai taraf keimanan yang tinggi dipanggil sebagai Buddha. Ada pandangan yang mengatakan agama ini mempunyai konsep ketuhanan di mana suatu zat yang tinggi melebihi zat-zat yang ada disebut sebagai Adi Buddha (merujuk kepada Tuhan). 

Agama Sikh pula diasaskan oleh Guru Nanak. Di India dahulunya, masyarakat sentiasa berperang, dan takluk-menakluki yang berlaku antara orang Islam dengan orang Hindu. Guru Nanak memikirkan penyelesaian bagi permusuhan tersebut. Lalu, beliau mencipta agama Sikh yang menggabungkan ajaran agama Islam dan Hindu. Oleh sebab itu, penganutnya memakai serban yang melambangkan orang Islam. Kuilnya disebut sebagai Gurdwara di mana kubahnya berbentuk seperti masjid. 

Agama Hindu tidak diketahui puncanya namun ada asasnya berdasarkan tiga kitab utama iaitu antaranya adalah kitab Rig Veda. Daripadanya terhasil pegangan dan kepercayaan kepada tuhan yang banyak. Ia mempunyai konsep ketuhanan. 

Hebatnya penurunan al-Quran

وَقُرْءَانًا فَرَقْنَٰهُ لِتَقْرَأَهُۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكْثٍ وَنَزَّلْنَٰهُ تَنزِيلًا

“Dan al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dalam tempoh tertentu; dan Kami menurunkannya secara beransur-ansur.”

(al-Israk: 106)

Al-Quran diturunkan secara sedikit demi sedikit dalam tempoh 23 tahun. Tujuannya adalah supaya;

1. Orang sempat membaca, memahami dan menghafal ayat-ayatnya. 

2. Menjawab segala persoalan yang timbul mengikut keperluan semasa. Misalnya, ayat mengenai Raja Zulkarnain dan hari kiamat di Makkah. Juga mengenai wanita haid dan rampasan perang di Madinah. Ayatnya biasa bermula dengan ‘wayas alunaka’

3. Membetulkan keadaan. Berlakunya nasakh dan mansukh iaitu ayat yang menghapuskan ayat yang lain atau ayat tidak dihapuskan tetapi hukum berubah. Misalnya, a) hukuman kepada penzina. Pada peringkat awal, hukumannya adalah dibuang daerah atau dikurung sehingga meninggal. Kemudian, barulah datangnya hukuman rejam atau sebatan. Begitu juga dengan b) hukum arak. Pada peringkat awal, ia dikategorikan sebagai minuman yang tidak baik. Kemudian, dilarang mengerjakan solat jika dalam keadaan mabuk kerana ada kes imam membaca silap dalam bacaan Surah al-Kafirun. Pada ketika itu, arak masih tidak haram. Kemudian pada suatu hari, golongan Aus dan Khazraj yang meminum arak telah bergaduh sehingga mencederakan antara satu sama lain. Lalu, turunlah ayat yang menyatakan bahawa arak itu diharamkan. Ketika ayat ini dibacakan, mereka yang tengah meminumnya berhenti dan mencurahkannya sehinggakan bandar Madinah dibasahinya. 

Tiada paksaan dalam Islam bagi orang kafir

قُلْ ءَامِنُوا۟ بِهِۦٓ أَوْ لَا تُؤْمِنُوٓا۟ إِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ مِن قَبْلِهِۦٓ إِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): “Sama ada kamu beriman kepada al-Quran atau kamu tidak beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk);”

(al-Israk: 107)

Islam tidak memaksa dan terpulanglah kepada mereka (orang kafir) sama ada mahu beriman atau tidak. Mereka ada pilihan. Cuma Islam menunjukkan yang mana tidak benar, mengkritik yang salah dan memberitahu kebaikan apabila beramal dengannya. Kita orang Islam pula tidak boleh bertindak sedemikian dan wajib menerimanya sama ada kita suka atau tidak sebab kita sudah pun mengucap dua kalimah syahadah. Syahadah itu umpama sumpah setia kita yang harus dituruti. 

Kebenaran kemunculan Nabi akhir zaman

Ada beberapa orang pendeta Yahudi yang telah memeluk Islam seperti Abdullah bin Salam [3], Ka’ab al-Ahbar [4], dan Wahb bin Munabbih [5]. Abdullah yang mendengar bacaan Nabi ketika Baginda membaca al-Quran mendapati ia adalah sama dengan yang terkandung di dalam kitab Taurat yang asal. Sebab di dalamnya telah disebut mengenai kedatangan Nabi akhir zaman. Hatta orang Hindu juga ada menulis buku dan mengkaji simbolik-simbolik yang menggambarkan Nabi akhir zaman:

وَيَقُولُونَ سُبْحَٰنَ رَبِّنَآ إِن كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولًا

“Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): “Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. “”

(al-Israk: 108)

Apabila mereka membaca kitab suci, mereka nampak kebenaran Nabi Muhammad S.A.W terutamanya orang-orang Yahudi yang ada di Madinah pada ketika itu:

وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا

“Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang al-Quran menambahkan mereka khusyuk.”

(al-Israk: 109)

Sebahagian tafsir menyebutkan bahawa orang-orang yang beriman dengan Nabi pada ketika itu sujud sebanyak dua kali [6]. Sujud yang pertama adalah kerana bersyukur mengenai kebenaran yang dijumpai di dalam kitab suci mereka. Sujud kedua pula adalah kerana keyakinan yang bertambah apabila Al-Quran dikaji. Oleh itu, berusahalah untuk memahami makna ayat-ayatnya. Untuk menjadi golongan Muttaqin, pemikiran, tutur kata, amal perbuatan dan segala kegiatan hidup mestilah berlandaskan ajaran al-Quran. 

Berhajat? Mintalah dengan nama-nama-Nya dan bersederhanalah

قُلِ ٱدْعُوا۟ ٱللَّهَ أَوِ ٱدْعُوا۟ ٱلرَّحْمَٰنَ أَيًّا مَّا تَدْعُوا۟ فَلَهُ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَٱبْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Serulah nama ‘Allah” atau nama ‘Ar-Rahman’, yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia”. Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.”

(al-Israk: 110)

Apabila berhajat kepada sesuatu, mintalah dengan Allah S.W.T. Dia mempunyai nama-nama yang baik seperti yang disebut dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا ، مِائَةً إِلا وَاحِدَةً ، مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ

“Sesungguhnya bagi Allah S.W.T sembilan puluh sembilan nama, seratus kecuali satu, barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga”. [7]

Nama-nama ini merupakan sifat bagi-Nya. Jika berhajat, pilihlah mana-mana nama dan gunakanlah ia untuk memohon hajat kita kepada-Nya. Misalnya jika mahu dimurahkan rezeki, sebutlah ‘Ya Allah… Ya Razzaq…’. Jika mahu Allah mengasihani kita, sebutlah ‘Ya Allah.. Ya Rohman… Ya Rohim…’. Jika mahu selamat rumahtangga, isteri dan anak-anak, sebutlah ‘Ya Allah… Ya Salam’. Jika mahu dibukakan hati dengan ilmu, sebutlah ‘Ya Fattah… Ya ‘Alim…’. Jika mahu kehidupan yang baik, sebutlah ‘Ya Allah… Ya Rahman… Ya Rahim…’. 

Jika mahu hidupkan hati, sebutlah ‘Ya Hayyu Ya Qayyum…’. Ketika ditimpa masalah yang berat, sebutlah ‘Ya Hayyu Ya Qayyum… Birohmatika Astaghitsu… (Wahai Tuhan Yang Maha Hidup Lagi Maha Berdiri Sendiri, dengan rahmat-Mu aku meminta tolong)’. Bacaan yang agak panjang sedikit adalah:

يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ، وَأَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ 

“Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmatMu aku minta pertolongan, perbaikilah segala urusanku dan jangan diserahkan kepadaku sekali pun sekejap mata tanpa mendapat pertolongan dariMu.” [8]

Apabila kita solat dan berdoa, bersederhanalah. Tidak terlalu kuat sehingga menyakitkan telinga orang lain dan tidak terlalu perlahan sehingga orang lain tidak mendengarnya. 

Mensucikan, memuji dan membesarkan-Nya

وَقُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ شَرِيكٌ فِى ٱلْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ وَلِىٌّ مِّنَ ٱلذُّلِّ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًۢا

“Dan katakanlah: “Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!””

(al-Israk: 111)

Pujilah Allah pada setiap masa. Allah itu tidak mempunyai anak. Menafikan kenyataan orang kafir bahawa malaikat itu merupakan anak perempuan-Nya. Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tidak memerlukan kepada pembantu. Dia boleh mentadbir alam dengan kuasa dan kebesaran-Nya. 

Selain itu, besarkanlah Allah dengan bersungguh-sungguh. Nabi mengajarkan kepada kita zikir yang paling utama iaitu ‘Subhanallah.. Walhamdulillah… Wala Ilaha Ilallah… Wallahu Akbar…’. Sebab dalamnya terkandung tasbih (mensucikan-Nya), tahmid (memuji-Nya), tahlil  dan takbir (membesarkan-Nya). 

Ayat 110 dan 111 terkandung dalam Ma’thurat Kubra yang disusun oleh Imam Hassan Al-Banna yang disunatkan untuk kita membacanya. Nabi pernah mengajarkan ayat ini supaya dibaca bagi menghilangkan kesakitan dan kemudharatan. Sahabat yang beramal dengan ayat 110 ini kemudiannya selamat, dan semakin baik keadaannya [9].

Imam Ja’afar as-Sadiq [10] yang merupakan seorang ulamak besar dalam Islam dan sangat diagungkan oleh golongan Syiah menyebut bahawa jika kita mahu melindungi rumah, keluarga dan harta benda daripada pencuri pada waktu malam, amalkanlah membaca ayat 110 sebelum tidur [11]. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 5 Disember 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 9/12/2022

Rujukan: 

[1] Surah Al-Baqarah, ayat ke-2.

[2] Hadis ini ada diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya (3/387).

[3] Memeluk Islam pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. Berasal dari Madinah. (Siyar A’alam al-Nubala’ oleh Al-Zahabi, 2/414).

[4] Memeluk Islam pada zaman pemerintahan Khalifah Pertama Abu Bakr As-Siddiq. Berasal dari Yaman. (Siyar A’alam al-Nubala’ oleh Al-Zahabi, 3/490).

[5] Lahir di Yaman pada tahun 34H pada zaman pemerintahan Khalifah Ketiga Uthman Bin Affan. Ayahnya dikatakan memeluk Islam pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. Kemudian berhijrah ke Yaman. (Siyar A’alam al-Nubala’ oleh Al-Zahabi, 4/545).

[6] Antaranya Tafsir Al-Kashif oleh Muhammad Jawad.

[7] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (6410).

[8] Doa ini diajarkan oleh Nabi kepada anaknya Fatimah untuk dibaca setiap pagi dan petang. Hadis Riwayat al-Nasa’i dalam As-Sunan Al-Kubra (6/147).

[9] Diriwayatkan oleh Al-Hafiz Abu Ya’la dalam Musnadnya (6671) dan Ibnu al-Sunniy (546).

[10] Daripada keturunan Nabi melalui Sayyidina Husin Bin Ali. Lahir di Madinah pada tahun 80 Hijriyyah.

[11] Amalan ini ada disebutkan oleh Ibnu Kathir dalam Kitab Tafsirnya (5/129).

- Advertisement -