Kecelaruan kerajaan cacamarba diberikan isyarat protes

PRK P.017 Padang Serai dan N.42 Tioman

- Advertisement -

PENGUNDI di kedua-dua kawasan Pilihan Raya DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai hari ini wajar memberi isyarat kepada BN dan PH mengenai apa yang berlaku. Politik cacamarba pasca PRU-15 antara parti besar orang Melayu  Umno dan gabungan Pakatan Harapan wajar diajar.

- Advertisement -

Umno yang kalah teruk dalam sejarah mereka di seluruh negara terutamanya di Pahang sanggup memilih musuh ketat Umno selama ini, Pakatan Harapan dan DAP sebagai gandingan untuk membentuk kerajaan negeri. 

Krisis pembentukan kerajaan pasca PRU telah membuka mata bagaimana pentingnya sesebuah parti itu mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri dan pusat. Walaupun parti itu menang hampir kepada angka majoriti mudah, mereka ini belum tentu boleh menjadi kerajaan.

Andai ada parti-parti yang menang sedikit mampu membentuk gabungan atau kerjasama sesama mereka yang lebih kecil bilangannya maka gabungan ini mampu membentuk kerajaan. Walaupun musuh, lawang utama semasa tempoh pengundian. 

Pengundi Umno terutamanya, ambillah peluang ini, beri isyarat kepada Zahid, apa yang dia lakukan, sehingga Umno kalah teruk dalam sejarah negara. Akhirnya dia menjadi barua kepada seseorang yang dinafikan dakwaannya sebelum ini. 

Rupa-rupanya curiga dari kalangan Ahli Parlimen Umno sebelum PRU-15 benar-benar berlaku. Zahid terpaksa bersumpah demi menafikan apa yang tersebar pada waktu itu. Tapi sebaliknya selepas PRU. Tidak kasar jika penulis mengatakan penipuan terbesar seorang Presiden parti terhadap ahli-ahli Umno seluruh negara. 

Laungan di PAU yang menggegarkan PAU sebelum ini, hanyalah lakonan, ‘No Anwar..No DAP‘ hanyalah retorik penyedap halwa telinga perwakilan sahaja. Gema teriakan perwakilan menyokong penuh laungan Zahid kini terbukti tipu belaka. Terang-terangan Zahid menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri. 

Kepada pengundi PH pula, mana janji-janji kempen besar-besaran oleh Anwar dan pimpinan utama PH, Zahid penyangak, Zahid perompak hasil negara. Bagaimana teriakan kamu bertempik menyokong laungan Anwar nak humban Zahid dan rakan-rakan perompak ke dalam penjara? Sebaliknya Zahid dilantik Timbalan Perdana Menteri, sungguh cacamarba.

Mana janji-janji pemisahan seseorang Perdana Menteri tanpa menjawat kementerian lain? Menteri Kewangan sebagai contohnya, kerana Mat Sabu mendakwa kemusnahan Malaysia era Najib Razak ialah kerana Najib Perdana Menteri, Najib Menteri kewangan, Najib pengerusi itu, Najib pengerusi ini. Bergegar pentas ceramah oleh orang besar PH ini. Apakah semua ini? Bila dapat kuasa Anwarlah Perdana Menteri, Anwarlah Menteri Kewangan, sungguh cacamarba.

Jadi, anda pengundi yang diberi kuasa hari ini. Anda di Tioman, anda di Padang Serai, mampu mewakili rakyat Malaysia mengajar pimpinan Umno dan PH yang penipu, anda mampu ‘ajar’ mereka, agar tidak cacamarba apabila memerintah, laksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan, bukan asyik buat tuduhan-tuduhan pelik-pelik kepada pembangkang.

Masih tidak berkesudahan berpolitik sepanjang masa. Tidak menyakinkan rakyat dengan dasar-dasar baharu,  akan tetapi terus berpolemik, terus berpolitik bodoh seolah-olah tidak percaya yang mereka sudah Perdana Menteri, mereka sudah Menteri dan mereka sudah Kerajaan.

Kepada andalah semua pengundi Tioman dan Padang Serai, kami rakyat Malaysia kebanyakan, merayu, meletakkan tugasan ini kepada anda dengan menolak BN dan PH hari ini. Ajar pimpinan parti yang masih kebingungan ini. Sedarkan mereka. Kejutkan mereka dari mambai polemik yang tidak menguntungkan rakyat.

NARAZA MUDA – HARAKAHDAILY 7/12/2022

- Advertisement -