‘PM bukan Pengerusi JKK, bercakap selidik dulu’

PH-BN adalah Kerajaan Campuran perompak dan penyamun

- Advertisement -

ROMPIN: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan pembatalan projek tebatan banjir melibatkan peruntukan RM15 bilion dan RM7 bilion telah dibidas oleh bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

“Kita lihat bagaimana hari pertama mengadakan mesyuarat (Kabinet), (Anwar)menyerang individu, menyerang Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kononnya berlaku penyelewengan RM600 bilion.

“Semalam dia serang KASA, saya secara peribadi. Kononnya meluluskan projek sebanyak RM7 bilion dan beliau isytiharkan beliau batalkan projek itu. Eh tuan-tuan, projek itu tak lulus lagi batal apa? Projek itu tak lulus pun, belum lulus lagi. 

“Ini Perdana Menteri cakap, bukan (Pengerusi) JKK. Takkanlah Perdana Menteri nak cakap sesuatu, tak semak dulu, tak teliti dulu?” bidasnya ketika berucap pada Ceramah Perdana sempena PRK N.42 Rompin di Tapak Pasar Besar Rompin, di sini semalam.

Menurut beliau, setiap hujung tahun, negara ini khususnya di Pantai Timur akan dilanda banjir di mana setiap kali bencana itu berlaku negara akan kerugian antara RM6 bilion hingga RM7 bilion, sekali gus bermakna memerlukan suatu tindakan dibuat.

Sehubungan itu terangnya, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri, Dato’ Ismail Sabri Yaakob yang kemudian mendapatkan dana RM15 bilion melibatkan semua projek tebatan banjir berpuluh tahun tidak dilaksanakan untuk disegerakan tindakan.

“Projek ini belum pun dibagi mana-mana syarikat, surat setuju terima tak beri satu pun lagi tuan-tuan. Baru kita senarai projek yang menjadi keutamaan bagi menyelesaikan masalah banjir seluruh negara. 

“Tahun lepas kita rugi RM6 bilion tuan-tuan kerana banjir ya. Sebab itu saya pelik bila beliau (Anwar) minta projek ini, dibatalkan dulu, ditangguhkan dulu. Eh projek tak buat, tangguh apa, batal apa?” bidas beliau yang juga Timbalan Presiden PAS.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim turut menempelak Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli atas kempen PRU15 lalu yang membuat tuduhan fitnah konon KASA meluluskan peruntukan sebanyak RM2 bilion setelah Parlimen dibubarkan, sedangkan perkara itu tidak berlaku.

“Sebab itu, bila saya tengok renung balik, betullah kerajaan yang ada ni, bukan Kerajaan Perpaduan. Tapi Kerajaan Campuran perompak campur penyamun, campur penyokong penyamun, campur penyokong sakau.

“Maka kerajaan ialah Kerajaan Campuran perompak dan penyamun. Setuju tak? Jangan tuan-tuan sokong Kerajaan Campuran perompak penyamun ni. Mutakhir ni kita lihat dia menggelabah. Kerajaan yang ada ni tak tahu hala tuju.

“Sepatutnya bila dah jadi kerajaan, fokus, tunaikan manifesto yang kamu janji pada rakyat. Bukan duduk bagi isytihar. Ini di Tioman ada yang dapat geran tanah, betul? Macam tambang feri turun 50 peratus, alhamdulillah

“Kalau macam ini pilihan raya setiap bulan lagi bagus ya. Sebab itu bagi kita, kita tak nak kerajaan mee segera macam ini, dah tiga penggal jadi wakil rakyat, bila rakyat desak, jangan hanya di DUN Tioman lulus tanah, seluruh Pahang rakyat (sudah) 40-50 tahun tak dapat geran.

“Kalau boleh lulus di DUN Tioman kenapa tak lulus di Lipis, di Raub, di Jerantut, di Benta, seluruh negeri Pahang? Apakah nak tunggu Pilihan Raya Kecil lagi?” ujarnya menyifatkan Kerajaan Campuran PH-BN kini amat terdesak.

Berikutan dalam keadaan terdesak katanya, maka segala tuntutan dan permintaan pun diluluskan, hatta sindirnya jika dimohon membina sungai pun akan digali oleh mereka. – HARAKAHDAILY 7/12/2022

- Advertisement -