Maghribi, negara Arab pertama mara ke suku akhir Piala Dunia

Pemain Maghribi terlalu gembira melangkah ke suku akhir Piala Dunia
- Advertisement -

Maghribi terus menyalakan impian bersemangat dunia Arab untuk mara lebih jauh ke puncak Piala Dunia apabila menyingkirkan Sepanyol dalam penentuan sepakan penalti untuk layak ke suku akhir.

- Advertisement -

Negara di Afrika Utara itu menjadi negara Arab pertama mara ke peringkat lapan terakhir, memastikan kejayaan bagi rantau itu dalam kejohanan global pertama di Asia Barat dan juga menjadi pasukan Afrika keempat yang pergi sejauh ini dalam sejarah Piala Dunia.

Kemenangan Maghribi dilihat bukan sahaja kemenangan untuk negara itu, tetapi menunjukkan keputusan FIFA menyerahkan hak tuan rumah kepada Qatar sebagai tepat. Kejayaan Maghribi menambah kejayaan negara Arab lain seperti Arab Saudi menewaskan Argentina dan Tunisia mengecewakan juara bertahan, Perancis, dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Maghribi yang mengetepikan Sepanyol 3-0 dalam penentuan sepakan penalti selepas seri 0-0 dalam aksi dua jam yang memenatkan, kini mempunyai peluang untuk mewakili dunia Arab dan Afrika, melangkah ke separuh akhir pertama jika terus mendapat sokongan luar biasa di luar padang.

Dalam perlawanan suku akhir Sabtu ini di Stadium Al Thumama, Maghribi akan menentang Portugal yang membelasah Switzerland 6-1.

Gabungan hiruk-pikuk nyanyian, gendang, ejekan dan siulan yang memekakkan telinga penyokong Maghribi, mencipta suasana yang jauh berbeza berbanding stadium lain di Qatar.

Pemain Maghribi mengangkat penjaga gol, Yassine Bounou, yang menyelamatkan tiga tendangan penalti Sepanyol

Penyokong Maghribi menguasai sebahagian besar kapasiti 44,667 penonton di Stadium Education City, menenggelamkan penyokong Sepanyol sepenuhnya.

Tidak ada keraguan mengenai sokongan padu penyokong yang menceriakan pasukan Maghribi dan menjengkelkan pasukan lawan. Pemain Maghribi juga sering berpaling kepada penyokong mereka untuk mendapatkan kekuatan semangat apabila diperlukan.

Maghribi tidak tertekan dengan penguasaan Sepanyol, malah bermain bermati-matian yang membawa kepada penentuan penalti. Sepanyol menguasai 63 peratus penguasaan bola dan selepas diberikan 30 minit masa tambahan, membuat 1,068 hantaran dengan 988 berjaya disempurnakan.

Namun, kebanyakan hantaran berlegar dari satu sisi ke sisi lain, jarang menghasilkan gerakan yang dapat menembusi pertahanan Maghribi.

Maghribi turut mendebarkan Sepanyol melalui serangan balas yang dilakukan secara individu seperti pemain tengah Sofyan Amrabat dan pertahanan sayap, Achraf Hakimi dan Noussair Mazraoui.

Bagaimanapun, Maghribi kini berisiko kehilangan pertahanan tengah, Nayef Aguerd, yang menangis kesakitan pada separuh masa kedua. Dia sebelum ini menjalani pembedahan buku lali yang menyebabkannya tidak dapat bermain sepanjang musim untuk kelab Inggeris baharunya, West Ham United. – REUTERS

- Advertisement -