Gabungkan KASA dan KETSA mundur ke belakang

- Advertisement -

PERTAMA sekali saya mengucapkan tahniah kepada Saudara Nik Nazmi Nik Ahmad yang telah dilantik sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Berdasarkan latar belakang beliau, diyakini beliau berpotensi untuk memikul amanah yang amat besar ini. Sewajarnya beliau dibantu dengan dua orang Timbalan Menteri memandangkan bidang tugas kementerian beliau ini sangat penting.

- Advertisement -

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan iklim adalah gabungan dua kementerian sebelum ini, iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA). Tidak jelas apa rasional dua kementerian ini digabungkan, melainkan tujuannya hanyalah untuk mengecilkan saiz kabinet. Seperti yang telah saya nyatakan dalam tulisan sebelum ini, saiz kabinet kerajaan terdahulu adalah bilangan yang optimum untuk melancarkan jentera kerajaan.

Di kebanyakan negara, kementerian berkaitan dengan alam sekitar atau kelestarian atau perubahan iklim diasingkan daripada kementerian sumber asli. China, negara yang sering dijadikan contoh berkaitan dengan saiz kabinetnya yang dikatakan kecil berbanding populasi, negara ini mempunyai Kementerian Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Kementerian Sumber Air. Di Malaysia, ketiga-tiganya digabungkan dalam satu kementerian.

Berdasarkan Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud: 

“Manusia berkongsi tiga perkara (keperluan asas), air, api (tenaga) dan padang ragut (sumber alam)”. 

Ketiga-tiga perkara ini adalah keperluan paling asas (basic needs) untuk kehidupan manusia. Sekiranya tiada keterjaminan terhadap ketiga-tiga perkara ini, kelangsungan hidup manusia boleh musnah. Oleh yang demikian, adalah wajar wujud kementerian berasingan supaya fokus dapat diberikan kepada ketiga-tiga keperluan asas tersebut. 

Selepas Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Jeneiro tahun 1992, polisi-polisi global dan di sesebuah negara amat dipengaruhi oleh faktor-faktor kelestarian alam sekitar. Polisi-polisi ekonomi, sains, teknologi, pendidikan dan lain-lain mula diorientasikan dengan sasaran mencapai kelestarian. Dengan sebab itu, ada beberapa negara yang sudah meletakkan Kementerian Alam Sekitar setaraf dengan Kementerian Kewangan, bagi menggambarkan betapa pentingnya kementerian tersebut.

Di dalam temuramah antara Nik Nazmi dan wartawan semalam, Nik Nazmi menyebut akan memberi fokus kepada banjir, tenaga, perubahan iklim dan penjagaan alam sekitar. Sememangnya keempat-empat fokus tersebut antara bidang penting kementerian beliau. Bagaimanapun, ada satu lagi yang sangat penting berkaitan dengan kementerian tersebut iaitu keterjaminan air (water security), yang tidak kurang penting dari keterjaminan makanan (food security).

Keterjaminan air di Malaysia merupakan antara isu yang serius bukan hanya di Kelantan seperti yang digembar-gemburkan, bahkan di negeri lain termasuklah Selangor. Hampir semua negeri belum mencapai sasaran margin simpanan air di paras 30 peratus, malah ada negeri yang margin simpanannya sifar. Menteri KASA sebelum ini, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, dengan komitmen pihak pengurusan kementerian memberi fokus yang utama terhadap keterjaminan air di Malaysia. Harapan besar kepada Nik Nazmi agar perkara ini turut menjadi fokus utama.

Selain daripada itu, di bawah KASA sebelum ini terdapat sebuah jabatan teknikal iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Di dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan, JPS antara jabatan teknikal yang wujud selain daripada Jabatan Kerja Raya (JKR). Tanggungjawab jabatan teknikal seperti JPS sangat besar, untuk melaksanakan projek-projek berkaitan kepentingan rakyat termasuklah mitigasi banjir dan hakisan pantai.

Menyedari hakikat tersebut, langkah kerajaan terdahulu mewujudkan dua kementerian berasingan iaitu KASA dan KETSA adalah langkah terkehadapan untuk memberi fokus sekurang-kurangnya kepada enam perkara utama, keterjaminan air, kelestarian tenaga, mitigasi banjir atau hakisan, pemuliharaan alam sekitar atau ekologi, perubahan iklim dan teknologi hijau. Dengan gabungan kedua-dua kementerian tersebut, menteri yang diamanahkan bakal berhadapan tanggungjawab yang cukup besar.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI – HARAKAHDAILY 6/12/2022

- Advertisement -