Singa-singa Palestin yang digeruni

- Advertisement -

KALAU kita mengikuti perkembangan kebangkitan yang sedang berlaku di Tebing Barat ketika ini, nama yang pastinya tak akan terlepas daripada menjadi sebutan ialah kumpulan ‘Arin Al-Usud’.

- Advertisement -

Kumpulan misteri ini mula kelihatan muncul di Tebing Barat sejak awal September lepas dan sejak itu mula mengiklankan operasi demi operasi yang menggegar kestabilan musuh Zionis dengan modus operandi melepaskan tembakan ke atas pos kawalan penjajah dari dalam kereta yang dipandu.

Mengenali kumpulan misteri ini sangat penting kerana ia adalah masa depan dan titik pembebasan Palestin. Jom kita meneliti serba-sedikit yang kita tahu mengenai mereka;

1. ‘Arin Al-Usud’ bermakna rumah singa atau ‘The Lion’s Den’, berpusat di kawasan Nablus. Ia bukanlah kumpulan anak muda tunggal yang bangkit kerana selain kumpulan ini ada juga kumpulan lain yang diberi nama Ish Ad-Dababir (The Wasp’s Nest).

2. Semangat membentuk kumpulan ini muncul selepas kesyahidan As-Syahid Ibrahim Nablusi yang berusia 19 tahun. Beliau yang merupakan seorang ahli kumpulan Fatah membuka mata penduduk bahawa perjuangan pembebasan perlu didukung akar umbi yang lebih ikhlas berkorban berbanding pemimpin yang berkepentingan.

3. Walaupun pemimpin-pemimpin utama Arin Al-Usud disebutkan mempunyai keterikatan dengan kumpulan-kumpulan pejuang sedia ada seperti Hamas dan Jihad Islami malah Fatah, tetapi di dalam kumpulan Arin Al-Usud itu sendiri identiti tersebut tidak dibawa, malah mereka membawa mesej kesepaduan Palestin dan Islam yang telah lama hilang daripada radar perjuangan Palestin.

4. Kelebihan tidak terikat dengan mana-mana kumpulan lama menjadi kelebihan kepada Arin Al-Usud kerana – musuh tidak mempunyai maklumat pergerakan, kepimpinan dan modus operandi, musuh tidak boleh mengaitkan tangkapan atas alasan politik (contoh Fatah menangkap pejuang Hamas kerana ia mengancam politik mereka), ia didukung oleh rakyat yang bersatu dan letih dengan agenda politik dan kepentingan peribadi.

5. Antara pemimpin utama yang mengasaskan Arin Al-Usud ialah Abu Soleh Al-Azizi, Abud Subuh, Musa’ab Shteyyeh dan Wadi’ Alhuh. Abu Soleh, Abud Subuh dan Wadi’ Alhuh telah syahid. Kesemua mereka pernah ditawarkan jawatan dan gaji ribuan Dollar untuk meninggalkan Arin Al-Usud, malah ditawarkan untuk dipadam segala kesalahan mereka melakukan operasi ke atas penjajah dengan syarat menyerahkan senjata, tetapi ditolak. Musa’ab Shteyyeh sehingga kini berada di dalam tahanan PA. Ya PA, bukan penjajah.

6. Sejauh mana Arin Al-Usud akan berjaya di Tebing Barat menjadi pemegang taruh utama menjatuhkan penjajah bergantung kepada beberapa faktor – kejayaan penjajah mematahkan organisasi Arin Al-Usud khususnya melalui maklumat daripada musuh dalam selimut, tindakan kerajaan PA dan respon terhadap kebangkitan baru ini memandangkan mereka lebih dekat dengan pergerakan rakyat dan mampu mematahkannya (sama bahasa, tinggal bersama penduduk, sama bangsa) dan yang paling penting, penerimaan rakyat setempat terhadap mereka.

7. Antara faktor besar kejayaan Briged Izzuddin Al-Qassam di Gaza ialah dukungan penduduk terhadap mereka. Pada waktu peperangan, penduduk yang tinggal di sempadan akan meninggalkan rumah terbuka dan peti yang penuh dengan makanan untuk para mujahidin menjadikannya kubu-kubu mereka berdepan serangan darat penjajah.

Moga kebangkitan pemuda-pemuda ini terus mekar!

MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZAMAN – HARAKAHDAILY 2/12/2022

- Advertisement -