Pertama kali tunai umrah: Shah Rukh Khan cetus kontroversi

Shah Rukh Khan dikesan menunaikan umrah di Makkah pada 1 Dis 2022 (FOTO: @teamsrkfc/Twitter
- Advertisement -

JEDDAH: Bintang Bollywood tersohor, Shah Rukh Khan yang pertama kali menunaikan umrah di Mekah pada tahun ini telah mencetuskan susulan pertikaian hangat dan meluas dalam kalangan netizen di media sosial.

- Advertisement -

Pelakon berusia 57 tahun itu dikesan menunaikan umrah semalam (1 Dis) selepas foto-fotonya menunaikan umrah dan solat di Mekah tular dalam Instagram, Team Shah Rukh Khan dan twitter @teamsrkfc, lapor opindia.

Wartawan yang berpangkalan di Arab Saudi, Said Hafiz turut menggunakan Twitternya untuk berkongsi imej pelakon Bollywood itu sedang menunaikan solat di Mekah. 

“Pelakon Bollywood Shah Rukh Khan @iamsrk menunaikan umrah di #Makkah hari ini. Semoga Allah SWT menerima umrahnya, Ameen,” tweetnya.

Shah Rukh dikatakan meluangkan masa menunaikan umrah selepas selesai menjalani penggambaran filem terbaharu lakonannya, Dunki di Saudi di bawah arahan sutradara, Rajkumar Hirani.

Kontroversi tercetus susulan beberapa netizen mempersoalkan kewajarannya dalam menunaikan umrah memandangkan beristerikan wanita Hindu dan menyimpan berhala (dewa Hindu) di kediamannya.

Isteri Shah Rukh, Gauri Khan atau nama sebenarnya, Gauri Chhibber pernah membuat kenyataan kepada The Siasat Daily bertarikh 6 April 2022 bahawa ‘dia menghormati agama anutan Shah Rukh (Islam), namun tidak akan sesekali memeluk agama Islam’.

Shah Rukh dan Gauri berkahwin pada 25 Okt 1991 dalam majlis perkahwinan tradisi Hindu dan telah dikurniakan dua orang anak, Ayran, 25, dan Suhana, 22.

Sementara anak ketiga mereka, AbRam dilahirkan pada 2013 melalui kaedah ‘ibu tumpang’ – teknologi bioperubatan moden yang difatwakan hukum Islam sebagai haram kerana anak dikandung oleh wanita yang bukan isteri (dalam kes ini – bukan Gauri) menggunakan benih lelaki atau suami (Shah Rukh).

Sebilangan netizen Muslim yang memberi respons terhadap tweet Hafiz menyelar tindakan Shah Rukh yang menyimpan berhala di kediamannya yang dianggap sebagai dosa terbesar dalam Islam.

“Tidak ada dosa yang lebih besar daripada syirik”, tweet seorang pengguna Twitter.

Akaun Twitter bernama Riz berkata bahawa pendapatan Shah Rukh Khan hasil daripada karier lakonannya di Bollywood yang mencecah AS$600 juta (RM2.6 bilion) adalah haram. 

“Oleh kerana dia melakukan ‘Haraam’, umrahnya itu tidak akan diterima,” tweet Riz.

Seorang lagi pengguna twitter mempersoalkan fakta bahawa Shah Rukh telah berkahwin dengan seorang wanita Hindu (Gauri Khan) dan menyimpan berhala di rumahnya. 

“Hanya kerana dia (Gauri Khan) mempunyai nama Islam, itu tidak bermakna orang Islam perlu memilikinya,” kata pengguna Twitter itu.

Terdapat beratus-ratus komen di Instagram dan Twitter yang pada dasarnya mengatakan bahawa Shah Rukh Khan tidak cukup Islam untuk menunaikan umrah dan, memandangkan beliau berkahwin dengan seorang Hindu dan menyimpan berhala di rumahnya, maka Shah Rukh adalah seorang pendosa dan umrahnya  diterima. – HARAKAH DAILY 2/12/2022

- Advertisement -