Terjemahkan P.017 sebagai simbol rakyat tolak PH-BN

- Advertisement -

PADANG SERAI: Segelintir politikus menjadikan politik sebagai alat untuk rakus mengaut harta kebendaan dan menjadi ruang menyelamatkan diri agar bebas daripada pendakwaan kes mahkamah dihadapi.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azzamudden berkata, sebab itulah berlaku ketamakan haloba peribadi yang mendesak pilihan raya segera diadakan kerana mahu mengambil kuasa bagi melakukan perbuatan tersebut.

Walaupun sebelum itu kesalinya, mereka yang tersebut telahpun menjatuhkan dan merampas kuasa daripada Perdana Menteri sebelumnya secara desakan meletak jawatan serta sudahpun dinaikkan Perdana Menteri dari kalangan mereka.

Bahkan ujarnya, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) daripada dua kumpulan yang memperlihatkan saling membenci, tiba-tiba telah bersama erat membentuk Kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri.

Sedangkan menurut beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, PERIKATAN NASIONAL (PN) adalah satu-satunya gabungan yang mampu mengemukakan Akuan Kanun Bersumpah (SD) setiap Ahli Parlimen seramai 115 orang.

“Parti lain hanya bagi surat daripada parti saja. Kita buat dengan cepat, akur dengan arahan-arahan yang dikeluarkan. Ikut patuh ‘time frame’, masa yang ditetapkan untuk menyelamatkan negara daripada terumbang-ambing,” jelasnya.

Oleh itu katanya, pengundi P.017 Padang Serai mesti menjadikan undi mereka sebagai simbol daripada rakyat menterjemahkan penolakan kepada PH dan BN atas gabungan membentuk kerajaan tersebut dan menafikan majoriti asal PN.

Beliau mengupas demikian ketika menyampaikan ucapan pada program Himpunan Bersama Asatizah Muda Istiqomah di Kompleks Dakwah Wadi An-Nasr, Sungai Seluang, di sini kelmarin dahulu.

Beliau juga menyifatkan politik hari ini sentiasa berubah cepat pagi, petang, siang dan malam, sehubungan itu memerlukan kepada strategi-strategi yang ditentukan oleh orang yang dilantik menjadi kepimpinan. 

“Dan sebab itulah dalam bab politik, ulamak-ulamak dibenarkan berijtihad sebab dia sentiasa berubah. Ijtihad berpandu kepada prinsip. PAS dalam PERIKATAN NASIONAL tak pernah menggadai prinsip perjuangan. 

“Politik bukan alat untuk menyelamatkan diri. Politik bukan alat untuk rakus mengambil sebanyak mungkin harta untuk kepentingan kroni. Politik bukan ruang untuk membebaskan diri daripada kes mahkamah. 

“Politik alat untuk melaksanakan perintah tuhan. Politik alat untuk manusia menjalankan tugas sebagai khalifah. Politik alat untuk menghubungkan manusia dengan tuhan bukan menyelamatkan diri daripada kes rasuah, kes mahkamah yang menunggu berpuluh-puluh kes.

“Tuan-tuan guru kita dan asatizah kita yang lain mengambil peranan masing-masing di kuliah masjid, online, surau, semua bercakap, bercerita tentang mengundi seumpama memberi penyaksian asy-syahadah.

“Maka pilihan raya baru ni mereka memilih, memberi undi, kepercayaan kepada PERIKATAN NASIONAL untuk menjadi kerajaan. Tapi mesej ini tak dapat sampai kepada pemimpin-pemimpin Umno, terutamanya Presiden Umno. 

“Mesej ni tak sampai kepada pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Harapan. Bagi mereka, kalau kita bercakap tentang agama, ni penunggang agama. 

“Komen dalam Facebook bercakap dikaitkan dengan Islam dibawa dalil hujah sirah, akan adalah juak-juak politik yang membebaskan politik daripada dosa pahala, dia komen ni menunggang agama menggunakan agama untuk politik.

“Kalau tak digunakan agama Islam untuk membimbing politik, maka nak guna apa? Nak guna akal, nak guna otak, nak guna nafsu selera kamu? Itulah politik yang menyesatkan. Ada panduan dia. Nabi dah tunjuk. 

“Maka tentulah kena menggunakan Islam, melihat panduan dalam Islam, al-Quran al-Sunnah, ulamak untuk menafsirkan politik itu bagaimana,” jelas beliau yang mencipta sejarah sebagai calon Melayu pertama menang di P.009 Alor Setar. – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -