Mesut Ozil jadi simbol lawan pilih kasih Barat

Penyokong Qatar mempamerkan lakaran dan wajah Mesut Ozil ketika Piala Dunia 2022
- Advertisement -

QATAR: Piala Dunia 2022 di Qatar menjadi antara pertandingan bola sepak yang paling dipolitikkan dalam tempoh beberapa dekad lalu, malah terbukti lebih kontroversi berbanding Piala Dunia 2018 di Rusia yang diadakan selepas negara Komunis itu menakluk Crimea milik Ukraine.

- Advertisement -

Dalam episod terbaru pertelingkahan antara pasukan Barat dan peminat tempatan, warga Qatar yang menonton perlawanan Jerman menentang Sepanyol, mengangkat poster bekas pemain antarabangsa Jerman, Mesut Ozil, yang meninggalkan pasukan itu pada 2018 berikutan dakwaan dasar perkauman dalam hierarki bola sepak negara itu.

Protes dalam stadium itu adalah sebagai tindak balas terhadap aksi pemain pasukan Jerman menutup mulut mereka ketika sesi gambar rasmi pasukan sebagai membantah keputusan FIFA mengharamkan sebarang paparan politik di padang, termasuk lilitan pelangi yang digunakan untuk menyatakan sokongan kepada komuniti LGBTQ+.

Pemain bola sepak kelahiran Jerman keturunan Turki, Ozil, mendedahkan bahawa dia menjadi kambing hitam berikutan penyingkiran awal Jerman dari Piala Dunia pada 2018.

Dia menjadi terkenal apabila memberitahu media ketika itu: “Saya orang Jerman apabila kita menang, tetapi saya seorang pendatang apabila kita kalah.”

Pengalaman pahit Ozil digunakan oleh peminat Qatar dan lain-lain untuk menunjukkan persepsi pilih kasih pasukan kebangsaan Jerman dan pasukan Eropah lain yang menyertai Piala Dunia.

Perkauman dan diskriminasi

Bantahan terbaru ini menunjukkan kekuatan perasaan dalam kalangan warga Qatar serta peminat lain dunia Arab dan Islam, yang menyatakan bahawa tuan rumah menjadi sasaran tekanan dan kritikan yang tidak wajar terhadap rekod hak asasi manusia negara itu.

Qatar menjadi subjek pemantauan melampau sejak mendapat hak menganjurkan kejohanan sukan paling berprestij dunia oleh Fifa pada 2010.

Kritikan tertumpu terhadap layanan negara itu terhadap pekerja yang membina stadium dan infrastruktur lain yang diperlukan untuk kejohanan itu, selain rekod berhubung isu LGBTQ+.

Pegawai Qatar menyatakan negara itu mengalu-alukan semua pelancong yang melawat negara itu ketika kejohanan itu, tetapi perlu menghormati undang-undang dan tradisi Qatar.

Beberapa pasukan Eropah, termasuk Jerman dan England, merancang memakai lilitan pelangi sebelum kejohanan bermula, tetapi memutuskan untuk tidak berbuat demikian selepas FIFA memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas.

Pertikaian itu memecahbelahkan pakar bola sepak dan peminat dengan satu pihak berhujah bahawa kejohanan itu tidak wajar digunakan untuk memaksa nilai Barat ke atas negara lain, manakala pihak lain berpendapat bahawa kejohanan itu tidak sepatutnya dianjurkan oleh Qatar.

Meningkatkan rasa marah dalam kalangan mereka yang menyokong Qatar ialah sikap pilih kasih yang dilihat dalam permainan berkenaan berikutan bantahan pasukan Jerman.

Dalam satu contoh yang diingati ramai, bekas bintang Mesir, Mohamed Aboutrika, dihukum pada 2008 kerana memakai baju-T di bawah jersi pasukan Mesir memaparkan solidariti bersama rakyat Palestin di Gaza.

Ramai peminat di media sosial memberi respon positif terhadap bantahan penyokong Qatar di Stadium Al Bayt.

“Satu-satunya perkara yang benar-benar didedahkan oleh Piala Dunia ialah dunia sebenar tidak berputar di sekitar Jerman dan Eropah,” tulis seorang pengguna Twitter.

“Arab menunjukkan keberanian mereka. Kadang-kadang bagus untuk melihat orang lain menunjukkan cermin itu kepada Barat (supaya dapat melihat wajah sebenar Barat),” tulis seorang pengguna lain media sosial itu.

Mesut Ozil menunjukkan skarf kelab Turki, Fenerbahce yang disertainya pada 2021

Fakta Menarik Mesut Ozil

1. Ozil memulakan kerjaya bola sepak bersama Schalke 04. Ketika berusia 19 tahun menyertai Werder Bremen pada 2008. Kehebatan Ozil membawanya ke kelab terkemuka Sepanyol, Real Madrid pada 2010 dan membantu kelab itu memenangi kejuaraan La Liga. Dia kemudian menyertai Arsenal pada 2013 dengan nilai perpindahan £42.5 juta. Di England, Ozil memenangi tiga Piala FA dan mengakhiri penantian kelab selama 9 tahun untuk muncul juara Liga Perdana. Pada 2021, Ozil menyertai kelab Turki, Fenerbahce, secara percuma dan tahun ini menyertai İstanbul Basaksehir.

2. Menyertai pasukan kebangsaan Jerman pada usia 20 tahun, Ozil beraksi dalam lima pertandingan utama bola sepak. Dia muncul sebagai pemain paling banyak memberi bantuan pada Piala Dunia 2010 dan UEFA 2012 serta membantu Jerman mara ke separuh akhir. Ozil membantu Jerman muncul juara Piala Dunia pada 2014 dan bersara dari perlawanan antarabangsa pada 2018 berikutan dasar diskiriminasi dan tidak hormat Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) serta media Jerman.

3. Selepas prestasi cemerlang Ozil dalam Piala Dunia 2010, dia menjadi rebutan kelab elit seluruh dunia. Walaupun Ozil memilih untuk mewakili Real Madrid, Arsene Wenger yang mengendalikan kelab Arsenal menjadikannya sebagai pemain yang wajib dibeli.

4. “Saya selalu membaca al-Quran sebelum keluar. Ini benar-benar membantu saya untuk fokus. Saya berdoa dan rakan sepasukan saya tahu bahawa mereka tidak boleh bercakap dengan saya dalam tempoh singkat ini (ketika membaca al-Quran),” kata Ozil memberitahu amalannya sebelum turun ke padang.

5. Rupa Ozil tidak kelihatan seperti orang Jerman. Namanya juga tidak seperti kebanyakan rakan sepasukannya ketika bermain untuk pasukan kebangsaan Jerman. Ini kerana nenek moyangnya berasal dari Turki dan dia adalah generasi ketiga Jerman. Nenek moyang Ozil berasal dari Turki Utara dan dia boleh berbahasa Turki. – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -