Piala Dunia Qatar: 4 pasukan layak ke pusingan 16 terakhir

Marcus Rashford menjaringkan dua gol untuk membantu England menewaskan Wales 3-0
- Advertisement -

Dua pasukan Kumpulan B, England dan Amerika Syarikat serta dua lagi dari Kumpulan A, Belanda dan Senegal, layak ke peringkat kalah mati Piala Dunia Qatar selepas berjaya menumpaskan lawan masing-masing.

- Advertisement -

England menghampakan jiran tetangga, Wales 3-0 dalam perlawanan Kumpulan B, manakala dalam satu lagi perlawanan kumpulan yang sama, wakil Asia, Iran gagal mara ke peringkat seterusnya apabila kalah tipis kepada Amerika Syarikat 1-0.

Dalam perlawanan Kumpulan A, Belanda ternyata terlalu kuat apabila menumpaskan tuan rumah, Qatar, 2-0. Wakil Afrika, Senegal pula mara ke pusingan 16 terakhir buat kali kedua selepas menumpaskan Ecuador, 2-1.

Malang buat Qatar yang sudah pun tersingkir sebelum sepak mula, kini berada dalam rentetan sejarah Piala Dunia sebagai pasukan tuan rumah pertama yang menamatkan peringkat kumpulan tanpa sebarang mata.

England-Wales

Dalam perlawanan England-Wales, penyerang Manchester United, Marcus Rashford, meledak dua gol pada babak kedua untuk membolehkan skuad Three Lions meraih tiga mata dan muncul juara Kumpulan B, sekali gus menamatkan harapan Wales untuk mara ke pusingan kalah mati.

Rashford menjaringkan gol pada minit ke-50 sebelum Phil Foden menggandakan pendahuluan England selang seminit kemudian. Pada minit ke-68, Rashford berjaya menewaskan penjaga gol, Danny Ward untuk menjamin kemenangan 3-0

Amerika Syarikat-Iran

Amerika Syarikat mara ke pusingan 16 terakhir selepas menewaskan Iran 1-0 hasil jaringan Christian Pulisic di Stadium Al Thumama.

Jaringan minit ke-38 Pulisic itu sudah cukup untuk meletakkan Amerika Syarikat di tangga kedua Kumpulan B, di belakang England. Kemenangan ini juga menebus kekecewaan Amerika Syarikat terhadap seteru lamanya yang kali terakhir bertembung di peringkat kumpulan Piala Dunia 1998 di Perancis dengan Iran menang 2-1.

Sergino Dest menanduk bola kepada Pulisic, yang menolaknya ke dalam gawang dan kemudian bertembung dengan penjaga gol, Alireza Beiranvand.

Aksi Kalidou Koulibaly selepas meledak gol untuk Senegal

Senegal-Ecuador

Sementara itu, jaringan babak kedua kapten Kalidou Koulibaly, memberikan Senegal kemenangan 2-1 ke atas Ecuador. Jaringan pada minit ke-70, tiga minit selepas Moises Caicedo menyamakan kedudukan untuk Ecuador.

Pada babak pertama, Ismaila Sarr menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Senegal di depan dalam aksi terakhir Kumpulan A. Senegal berada di tangga kedua dengan enam mata, satu di belakang Belanda.

Belanda-Qatar

Belanda menempah tempat ke pusingan 16 terbaik selepas muncul juara kumpulan dengan menewaskan tuan rumah Qatar 2-0.

Walaupun hanya memerlukan satu mata untuk layak, Belanda tetap bertindak garang menerusi jaringan Cody Gakpo pada babak pertama, gol ketiga berturut-turutnya dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Frenkie de Jong menambah jaringan pada minit ke-49 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Bayt yang nyata suram. – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -